Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak yang berautoriti.

“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Anak Sabah Anak Malaysia

lambunau78@yahoo.com.my

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia

10 December 2009

REMAJA HILANG

Sebagai warganegara Malaysia yang prihatin, saya siarkan artikel mengenai kehilangan anak gadis ini bagi membantu seorang ayah yang sedang mencari anak gadisnya yang hilang. Walau di mana kita berada, hulurkanlah bantuan dengan menyiarkan berita ini di blog masing-masing.

Assalamualaikum kepada tuan/puan

Mohon jasa baik kepada semua tuan/puan untuk mencari anak kawan saya telah hilang sejak 11 Nov 2009 dan minta forwardkan maklumat ini seberapa banyak yang mungkin, jasa baik tuan/puan dikenang.

Zainal Abidin - 019-2119119

Email asal dari ayahnya

Assalamualaikum,

Zainal, gambar anak Aiman Amanina berumur 16 tahun. Telah keluar dari rumah semenjak 11 Nov 2009. Dipercayai ada sekitar KL.

Wassalam.

Rahim - 019-2881788

08 December 2009

Air tiada, penduduk Weston ambil air laut

PENDUDUK di Pekan Weston, Beaufort kesal ketiadaan air yang berlanjutan selama hampir empat minggu seolah-olah tidak mendapat perhatian daripada pihak yang berkenaan, berikutan bantuan air tidak pernah di hantar kepada penduduk.

Menurut pengadu yang mewakili empat buah kampung yang terlibat, ketiadaan air sejak bulan September lepas memaksa penduduk bergantung sepenuhnya dengan sumber air laut, air hujan dan juga air mineral yang dibeli dari mesin kiosk.

“Kami amat tertekan dengan situasi ini. Bagi penduduk yang tinggal berdekatan dengan laut mereka terpaksa menggunakan sumber tersebut walaupun air laut masin dan menyebabkan kulit gatal. Bagi kami yang tinggal jauh dari laut pula kami hanya mampu bergantung kepada air hujan, jika tidak ada hujan kami terpaksa membeli air mineral dari mesin kiosk bagi membolehkan kami menjalankan aktiviti harian seperti mandi dan memasak,” katanya.

“Kami masih boleh bersabar jika bantuan lori tangki air di hantar ke kawasan kami, tetapi sehingga ke hari ini kami belum pernah menerima bantuan dari lori tangki air tersebut…. Kami terus berharap agar ada air yang di hantar oleh Jabatan kepada penduduk namun harapan kami tidak pernah tertunai,” adunya dengan nada sedih.

Hairan dengan situasi yang sudah berpanjangan, pengadu mendakwa pernah menemui Jabatan Air Beaufort bertanyakan masalah berkenaan namun jawapan yang diberi ialah ‘pam rosak’.

“Kami cuba faham situasi mereka namun bagi saya sesiapapun yang berada di tempat kami pasti akan timbul rasa tidak puas hati. Bayangkanlah dalam setahun hampir empat atau lima kali perkara seperti ini berlaku dan jika ditanya alasan yang sama diberikan ‘pam rosak’,” ujarnya lagi.

“Kami cuma berharap agar perkara ini dapat diselesaikan segera sebelum ia bertambah teruk,” tambahnya lagi dengan harapan pihak yang berkenaan dapat mencari alternatif lain untuk membantu penduduk yang terlibat dengan masalah tersebut.

Jurucakap bagi Jabatan Air Beaufort ketika dihubungi oleh ActionLine mengakui sedia maklum akan masalah itu.

Menurut beliau kejadian tersebut dikatakan berpunca daripada kerosakan pam air di loji air Beaufort.

“Kami telah menerima banyak aduan yang sama tetapi kami hanya mampu memaklumkan bahawa terdapat kerosakan pada sebuah pam air sungai (Intake Pam) kami,” ulasnya sambil menjelaskan bahawa hanya terdapat lima buah pam air di loji air mereka; tiga daripada pam tersebut digunakan untuk menyedut air dari sungai dan dua buah lagi digunakan untuk membekalkan air bersih ke setiap tangki air di sekitar Beaufort.

Katanya, “Catuan elektrik yang kerap juga menyebabkan janakuasa elektrik kami tidak dapat menampung kuasa mesin pam air dan menyebabkan punca tekanan air semakin rendah di daerah ini dan akhirnya gagal memenuhi bekalan air bagi kawasan yang jauh seperti Weston… ”

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa kebocoran paip saluran juga sering berlaku disebabkan tindakan kontraktor cuci parit yang cuai dan kelewatan pihak kontraktor berkenaan memaklumkan kepada Jabatan Air Beaufort berhubung kebocoran menyulitkan lagi aliran air di daerah itu.

Menjawab kepada soalan berhubung bekalan air tangki yang tidak di hantar, beliau menjelaskan pembaikkan pam air tangki sedang dijalankan dan penghantaran segera akan dibuat sebaik sahaja pembaikian pam air tangki selesai.

“Untuk membantu masalah air penduduk daerah ini, pihak kami telah menyediakan paip untuk mengambil air secara percuma yang beroperasi 24 jam di hadapan pejabat Jabatan Air Beaufort. Buat masa ini kami sedang berusaha memperbaiki segala kesulitan yang berlaku,” jelasnya lagi.

Sumber- http://www.sabahdaily.com

Ini bukan cerita dongeng zaman dahulu kala tetapi realiti apa yang berlaku pada zaman RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN.. Paip air disediakan di hadapan pejabat air Beaufort sedangkan tahukah tuan/puan para pembaca bahawa jarak antara Kg. Weston dan Pekan Beaufort adalah jauh. Betulkah itu dapat membantu penduduk kg. Weston yang ketiadaan bekalan air???

Salah satu punca ketiadaan air ialah disebabkan masalah bekalan elektrik yang sering dicatu, bukan saya yang kata, tetapi itulah kenyataan yang diberikan jurucakap Jabatan Bekalan Air Beaufort. Nampak seperti hendak jadi lagu "Bangau Oh Bangau" pula.. Saya malas hendak komen panjang-panjang kerana anda para pembaca lebih layak memberikan komen mengenai perkara ini..

29 November 2009

KEM DATUK DR JEFFREY TUBUH PARTI BARU?

KEMUNGKINAN besar mantan Naib Presiden PKR Kebangsaan Datuk Dr Jeffrey Kitingan tidak akan melayani apa-apa pun bentuk hasil keputusan ‘pelan damai’ yang diilhamkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) beberapa minggu lalu, yang menyebabkan Datuk Dr Jeffrey (DDJ) mendiamkan diri seketika sebagai menghormati kata dua DSAI yang mahukan DDJ terus berada dalam kepimpinan PKR.

Meskipun keputusan perbincangan di TVRC pada November 5,2009 yang dihadiri kira kira lebih 200 pemimpin akar umbi yang datangnya daripada bahagian bahagian ( kecuali Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Tawau tidak dapat hadir kerana kesuntukkan masa) rata rata memberi bayangan bahawa DDJ perlu menubuhkan parti baru sebagai kesinambungan perjuangan mereka sebelum ini, kerana merasakan bahawa PKR sudah tidak bertempat dihati mereka.

Malahan beberapa pemimpin bahagian tanpa segan silu dan tidak berselindung lagi menyuarakan pelbagai pandangan dan cadangan keperluan sebuah parti baru ditubuhkan adalah kerana setelah PKR yang sudah tidak relevan lagi digunakan sebagai landasan perjuangan untuk membetulkan ‘kecelaruan kuasa autonomi politik’ yang dipelopori Umno sehingga Sabah perlu mendapatkan restu Kuala Lumpur dalam pelbagai keputusan yang dikatakan ada persamaan dengan kepimpinan PKR.

Jika tidak keadaan yang sama akan terus berlaku sepertimana sekarang jika pun PKR yang membentuk kerajaan di Sabah. Kerana semuanya akan ditentukan KL termasuklah siapa akan menjawat Ketua Menteri kelak.

Dalam pada itu, DDJ sendiri difahamkan telah membayangkan akan berbuat sedemikian seandainya ‘pelan damai’ tidak membuahkan hasil maksudnya pendemokrasian kepimpinan PKR tidak berubah dan terus bertahan dalam sistem lama seiras dengan sistem yang ada dengan UMNO.

Menurut sumber rapat dengan kem DDJ, beberapa siri mesyuarat telah pun diadakan di Sokid Villa iaitu selepas perbincangan ‘pelan damai’ tamat tempohnya yang diberikan DDJ kepada MP Batu Tian Chua (Wakil perunding DSAI), dimana telah dihadiri kira kira 18 bahagian PKR yang masih setia dengan beliau telah membincang dan merumuskan hala tuju perjuangan parti baru yang mungkin akan memperolehi kelulusan rasmi pendaftaran seawal tahun depan (2010).

Sumber rapat dengan DDJ itu berkata, bahawa panel Peguam DDJ kini sedang beriya iya menanti pengumuman ROS berhubung pendaftaran parti baru itu, tetapi mereka pasti akan memperolehinya sekurang kurangnya Januari, 2010 jamin seorang daripada panel Peguam itu.

Sumber itu juga tidak memberitahu sama ada parti baru itu berstatus nasional atau state, tetapi hanya memberi andaian bahawa kemungkinan ia berstatus state. Bagaimana pun tambahnya lagi, imej kepimpinan parti baru sangat menarik kerana bukan sahaja ia dibarisi dikalangan professional dan korporat dari golongan muda, bahkan ia turut dibarisi dari pelbagai suku kaum yang ada di Sabah.

Teras perjuangan parti baru kemungkinan tertumpu kepada intipati ‘Deklarasi Tambunan’ dan memperjuangkan hak hak rakyat Sabah berbilang bangsa dan keturunan sepertimana yang terkandung didalam 20 Perkara.

Selain itu usaha membanteras RASUAH DAN PENYELEWENGAN, fokus perjuangan juga turut tertumpu kepada kaedah penyelesaian ekonomi yang semakin merudum diSabah, pengangguran, kemiskinan, dan mengkaji semula projek projek mega yang sedang dan telah dilaksanakan kerajaan BN yang tidak berstatus keutamaan ditangguhkan, jelas sumber itu.

Ketika ditanya satu soalan kepada sumber berkenaan sama ada parti baru yang bakal didaftarkan apakah ia akan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR) atau SAPP yang bukan dalam PR untuk menumbangkan BN pada PRU ke-13 sumber itu berkata, sudah tentu itulah misi dan visi parti baru pimpinan DDJ, kerana apa yang penting kerajaan BN dan Umno akan tumbang di Sabah.

Kepada soalan lain, apakah benar desas desus DDJ akan membawa parti baru itu untuk bersekongkol dengan BN pada atau selepas PRU13 sumber itu berkata, semua itu spekulasi semata mata kerana tiada kemungkinan akan berlaku, dimana DDJ telah mempersetujui kehendak dan suara barisan kepimpinan parti baru bahawa apa pun yang dilakukan beliau selaku Presiden hendaklah mendapat persetujuan suara 2/3 daripada akar umbi.

Sumber itu juga turut menepis beberapa andaian dari pihak tertentu yang tidak bertanggung jawab yang sengaja merendah rendahkan kredibiliti DDJ kononnya DDJ sudah hilang sokongan masyarakat KDM malah DDJ dianggap seorang pemimpin yang tidak boleh diharap, semua itu adalah kata kata bagi mereka yang dalam barisan ‘seteru politik’ dengan DDJ yang hanya mewakili dirinya sahaja.

Tambahnya lagi, kita akan lihat dan saksikannya sendiri apabila tiba masanya nanti dimana di situ kita akan lihat dan kagum dengan perjuangan pelapis muda sudah berada di barisan hadapan untuk sama sama berjuang dengan DDJ bagi menentukan hala tuju dan masa depan generasi muda kita di negeri di bawah bayu Sabah yang suatu ketika dahulu sebuah negeri yang kaya dan aman damai.

Ditulis oleh: GONOD http://www.sabahkini.net

22 November 2009

POLIS DALANGI SIJIL ANAK NEGERI PALSU?

Oleh: HAFIZ JAMAIL www.sabahkini.net

ISU penggunaan Sijil Anak Negeri telah menambah hangatkan senario politik Negeri Sabah apabila pada 17 November 2009 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong, Datuk Samsudin Yahya, membangkitkannya di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Sabah negeri di bawah bayu yang belum lagi reda dengan isu penggunaan kad pengenalan dikeluarkan kepada kaum pendatang daripada Filipina dan Indonesia kini telah dikejutkan lagi dengan isu sijil anak negeri yang kesahihannya diragui.

Pihak Polis bersama beberapa agensi lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) digesa supaya menyiasat Adun Sri Tanjung, Jimmy Wong Sze Pin yang didakwa oleh Ahli Dewan Undangan negeri Kawasan Sekong sebagai penipu kerana memiliki Sijil Anak Negeri yang kesahihannya meragukan demikian kenyataan, dibuat oleh Samsudin yang disiarkan di muka depan akhbar New Sabah Times, memberi gambaran peri pentingnya isu tersebut yang telah lama menghantui rakyat sabah.

Penggunaan Sijil Anak Negeri dimiliki oleh golongan yang tidak berhak memilikinya bukan masalah baru kepada rakyat Sabah. Pengeluarannya telah dibekukan di era Kerajaan Parti Berjaya memerintah disebabkan adanya penyalahgunaankuasa dalam proses pengeluarannya.

“Sebagai formula memelihara hak kaum anak negeri daripada terjejas akibat pengeluarannya yang didalangi segelintir Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri tidak bertanggungjawab, Kerajaan Parti Berjaya telah membekukan pengeluarannya sejak tahun 1983,” demikian kenyataan yang pernah dibuat bekas Ketua Daerah Sandakan, OKK Hassnar Hj Ebrahim.

Ramai daripada kalangan pemimpin masyarakat Sabah pernah menyoal penggunaan sijil anak negeri palsu tetapi setiap kali isu tersebut dimatikan begitu saja menyebabkan sebilangan besar rakyat Sabah daripada keturunan anak negeri menerima nasib ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Padah kesan penggunaannya ramai kaum anak negeri telah hilang tanah milik mereka yang dikeluarkan geran taraf Native Title kerana geran mereka diambil oleh golongan taukeh- taukeh yang ada hubungan dengan kakitangan diJabatan Tanah dan Ukur.

Walaupun ianya merupakan satu jenayah dan seorang Menteri BN pernah memberi jaminan kepada rakyat bahawa mereka yang menggunakan sijil anak negeri palsu akan diserah kepada Polis tetapi sehingga kini tidak ada satupun dari kalangan mereka yang memiliki dan menggunakan sijil anak negeri yang kesahihannya diragui telah diheret dan didakwa ke mahkamah untuk diadili.

“Keengganan anggota PDRM menyiasat dan mengambil tindakan ke atas aduan kaum anak negeri terhadap golongan yang memiliki sijil anak negeri yang kesahihannya diragui adalah punca penggunaan sijil anak negeri palsu berleluasa di Sabah” ujar Zainuddin Hasssan, ketua Penerangan AMK negeri Sabah.

“AMK menyeru Kerajaan BN jika mereka tulus hendak memperjuangkan hak kaum anak negeri yang kini tertindas akibat penggunaan Sijil Anak Negeri yang dikeluarkan kepada mereka yang tidak berhak, jangan hanya tumpu kepada pemilikan sijil sedemikian oleh pemimpin pembangkang sahaja. Banyak Taukeh- taukeh proksi BN dan UMNO telah merampas ribuan ekar Tanah orang kampung dengan mengunakan Sijil Anak Negeri serupa! Apakah mereka diberi kekebalan dan imuniti daripada kerajaan dan tidak boleh diambil tindakan Undang-Undang?” tambah Zainuddin.

Sabahkini.net telahpun menyiarkan tindakan seorang wanita berbangsa Sungai daripada daerah Kinabatangan, Rosmina Binti Nazry, melaporkan kepada Polis akan perbuatan seorang wanita berbangsa Cina tetapi memiliki serta menggunakan satu sijil Anak Negeri yang tidak ada rekod di Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu. Malangnya aduan Rosminah Nasry kepada Polis tidak langsung disiasat oleh Polis walaupun telah diadu secara rasmi di Balai Polis daerah Sandakan.

Sehubungan itu, Zainuddin mencabar Kerajaan BN dan Polis, SPRM agar jangan berat sebelah hanya kerana terdapat sijil yang dimiliki oleh seorang ahli pembangkang sahaja. Terdapat ramai golongan taukeh-taukeh dari Sabah yang menyokong Barisan nasional juga memiliki sijil yang kesahihannya diragui tetapi enggan diambil tindakan oleh kakitangan Kerajaan BN Sabah walaupun aduan demi aduan telah dibuat.

“Siasat semua laporan yang pernah dibuat oleh kaum anak negeri Sabah kalau memang PDRM jujur hendak menangani perkara ini dan bukan menangguk di air keruh untuk mencari untung peribadi, “ tambah Zainudin lagi.

11 November 2009

Ex-USNO Akan Tentang Shafie Habis-habisan

Oleh: ABDULLAHSANI HAJI ABDUL SALLEH

MERUJUK kepada laporan Sabah kini yang memberitakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tersingkir dari Kabinet Najib dalam masa terdekat ini disebabkan kes VVIP di Hong Kong dan juga laporan KPI yang bakal dikeluarkan.

Pihak kami akan berbuat sesuatu untuk menghadapi kemungkinan ini jika berlaku Pilihanraya Kecil di Sabah. Nampaknya Ahli-Ahli Politik dari Kumpulan Ex-USNO yang di singkirkan oleh Kumpulan Sakaran yang majoritinya dari Kumpulan Tun Mustapha tidak akan membiarkan Shafie terus mara ke Sabah.

Pantai Timur Sabah yang dianggap sebagai kawasan dan kubu USNO sebelum ini akan menjadi pertarungan hebat kepada dua kumpulan ini. Ayuh kita lihat sejauh mana kehebatan mereka untuk membelenggu para pejuang USNO yang telah disingkirkan lantaran kelicikan mereka untuk mendapat Kuasa daripada rakyat dengan menghalalkan cara, termasuk mencipta legasi palsu.

Bagi maksud ini beberapa mesyuarat telah diadakan sejak awal tahun sebaik sehaja pilihanraya PRU 12 selesai 2008, bagi menghadapi kemungkinan ini berlaku dan menghadapi Piliharanraya ke 13 di Sabah.

Ex-UNSO juga tidak ingin terlibat dalam masalah di antara KUMPULAN SHAFIE dan KUMPULAN MUSA di SABAH bagi mengekalkan kuasa dan kekangan terhadap harta kekayaaan negeri ini, sebaliknya kami akan berjuang untuk rakyat Negeri Sabah supaya mendapat HAK dan KEADILANnya yang selama ini dinafikan oleh KERAJAAN ISLAM HADARI dan KERAJAAN 1 MALAYSIA.

Kami akan berusaha untuk mengadakan kerjasama dengan pihak pembangkang di Sabah samada ‘National Base’ atau ‘Sabah Base’ bagi mendapatkan laluan menghadapi pilihanraya kecil berkenaan dan jika boleh pertarungan satu lawan satu EX-USNO vs SHAFIE APDAL atau sesiapaun yang diletak oleh kroni-kroni mereka di sana nanti.

Saya yakin mereka akan ‘divert’ isu bahawa Shafie adalah mangsa Musa jika berlaku kemungkinan ini dan meminta masyarakat pantai Timur supaya bersatu berjuang bersamanya bagi mendapat pembelaan.

Shafie sebagai Penasihat sebuah N.G.O iaitu USBO juga akan menggunakan kekuatan USBO di Sabah bagi merealisasikan cita-citanya yang diusahakan sejak sekian lama kerana perkara ini bukanlah rahsia bagi masyarakat Semporna dan kroni-kroninya.

Masyarakat Daerah Semporna dan orang di sekelilingnya telah ditanamkan satu kepercayaan bahawa Shafie akan menjadi Ketua Menteri Sabah dan Tun Sakaran Menjadi TYT semula.

“ Tunggulah jika Shafie jadi Ketua Menteri barulah giliran kita pula. “

Perkara ini diganyang oleh kumpulannya bagi meyakinkan usahanya untuk menuju puncak, sehingga kita lupa pada masa yang sama kegiatan membolot kekayaan, pangkat dan harta di kalangan mereka dan kroni-kroninya dari kumpulan masing-masing berleluasa seperti mana dilaporkan oleh Naib Presiden PKR, Tian Chua di ruang legar parlimen baru-baru ini.

Penentangan EX-USNO kepada Shafie Afdal tidak bermakna bahawa Ex-USNO tidak menyukainya secara peribadi, perkara ini lebih kepada masalah KPI dan Perilaku keterlaluan seperti mana di laporkan dan warta-warta Nasional, negeri dan sumber berita siber.

Andai kata Shafie diletakan sebagai calon pilihanraya kecil itu oleh BN di Sabah, bukan ke ini satu perkara yang amat menyedihkan dan sangat janggal. Seorang yang dianggap mempunyai salah laku dan KPI rendah dihantar pula ke Sabah untuk merosakkan negeri ini?.

Jadi semua ‘pelakon’ dan Wakil kerajaan BN di Sabah yang dianggap ‘DAMAGE CONTROL’ ini kenapa dilonggokkan di SABAH. Adakah negeri Sabah ini dianggap seperti Benua Australia zaman dulu oleh British yang menjadi tempat pembuangan penjenayah, pembunuh, perompak, penjahat dan penipu?

Ex-USNO akan bangkit untuk menentang mereka seperti mana rakyat negeri ini yang pernah di bawah pimpinan KERAJAAN NEGERI KAYA , Kerajaan BERDISIPLIN, Kerajaan yang lebih mengutamakan kepentingan Rakyat daripada kepentingan individu.

Kami berbangga jika ada pemimpin seperti Allahyarham Tun Mustapha yang telah pergi meninggal kita dalam keadaan tidak membawa bersamanya kekayaan dan harta benda, bahkan kita dikejutkan dengan ‘Perlelongan’ Rumah mantan Pemimpin Agung ini oleh Mahkamah.

Bukan ke ini satu contoh pimpinan yang harus menjadi teladan kepada kita, tidak membolot kekayaan rakyat dan negerinya untuk diri sendiri dan keluarganya sehaja.

Rasullullah S.A.W sendiri tidak meninggalkan kekayaan dan kuasa atau menunjuk pengganti sebagai penerus legasinya terhadap umat Islam setelah pemergiannya, bahkan dikisahkan Rasullullah S.A.W hanya meninggalkan 8 riyal wang kepada anak kesayangannya, Sitti Fatimah.

Semoga kita sama-sama mendapat pengajaran dan iktibar dari peristiwa ini, dua contoh pimpinannya ini dan janganlah pula ada yang melabel dirinya sebagai ‘Ulama’ tetapi sibuk mengumpul kekayaan dengan cara haram dan sibuk pula mengurus dan mempersiapkan legasinya untuk menunjuk-nunjuk kepada umat manusia sebelum pemergiannya.