Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

13 May 2008

SABAH: Penentu Masa Depan Kerajaan BN

Perkembangan masa depan politik Sabah kelihatan agak menarik kebelakangan ini. Tahniah kepada pemain-pemain politik Sabah kerana menjadi man on the spot yakni orang yang paling mendapat tumpuan sejak berakhirnya Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu. Media sentiasa menanti dan bersedia menangkap apa sahaja ayat yang diluahkan dari mulut pemain politik Sabah. Walaupun isu kenaikan harga bekalan makanan terutama beras adalah isu hangat yang perlu diberikan perhatian, perkembangan mutakhir politik Sabah memerlukan kerajaan BN memberikan tumpuan yang lebih kepada Sabah dan tuntutan pemimpin BN Sabah. Kerajaan boleh saja mengumumkan pelbagai pelan, subsidi, dan peruntukan khas membendung kenaikan harga barangan bagi memuaskan hati rakyat agar tidak memberontak. Tetapi isu penghijrahan pemimpin BN Sabah adalah sesuatu yang sangat sulit untuk ditangani kerana isu yang dibawakan bukanlah seperti isu beras yang baru sahaja timbul akibat ketidakstabilan ekonomi dunia. Isu Sabah adalah mengenai tuntutan terhadap kenaikan royalti yang memang menjadi hak Sabah, isu ketidakadilan terhadap Sabah yang warganya mendapat layanan kelas kedua, isu ketidakseimbangan pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah walaupun Sabah mempunyai sumber hasil bumi yang bernilai. Di pihak Barisan Nasional, mereka sentiasa diulit mimpi ngeri takut kehilangan kuasa memerintah sekiranya spekulasi penghijrahan pemimpin BN Sabah ke dalam Pakatan Rakyat menjadi realiti. Mereka lebih rela ianya sekadar mimpi walaupun mimpi ngeri. Kenyataan dan ucapan di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli parlimen BN dari Sabah kebelakangan ini membayangkan seolah-olah penghijrahan itu bukan sekadar spekulasi murahan. Datuk Anifah Aman dan Datuk Ghapur Salleh telah memperlihatkan isyarat bahawa mereka tidak main-main dengan tuntutan yang mereka nyatakan. Saya sangat-sangat bersetuju dengan dakwaan Datuk Ghapur bahawa rakyat Sabah diberikan layanan Kelas Kedua selama ini. Datuk Ghapur ada membaca artikel saya agaknya mengenai diskriminasi terhadap rakyat Sabah. Apa yang sangat menarik perhatian saya ialah apabila Datuk Ghapur membayangkan penubuhan sebuah parti baru untuk Sabah menyertai Pakatan Rakyat. Hal ini telah saya bangkitkan lebih awal sebelum Datuk Ghapur menyuarakannya di parlimen. Bukan hendak mengatakan Datuk Ghapur menceduk idea saya, tetapi itulah sebenarnya kehendak rakyat Sabah yang mempunyai kesedaran. Alhamdulillah rupanya suara kecil anak Sabah ini sealiran pula dengan mereka yang jauh lebih tinggi di atas. Mungkin itulah aspirasi keseluruhan rakyat Sabah yang mahukan pembaharuan dan keadilan. Mengenai penubuhan parti baru, idea ini bukan hendak menafikan kebolehan dan kepercayaan terhadap PKR, PAS, atau DAP sebagai wakil rakyat Sabah. Seperti yang pernah saya nyatakan dalam artikel yang terdahulu, Sabah memerlukan sebuah parti sendiri yang berpusat di Sabah, tetapi ia akan bergabung dalam Pakatan Rakyat untuk menjadi pembangkang yang kuat atau tidak mustahil menjadi Kerajaan Baru Malaysia. Apa relevannya parti baru ditubuhkan boleh anda dapatkan dari artikel saya yang lalu. Salah satu alasan utamanya ialah kita tidak mahu penjajahan bentuk baru yang dimulakan pada 16 September 1963 diperbaharui pula lagi pada hari penghijrahan pemimpin Sabah meninggalkan Barisan Nasional nanti. Cepat atau lambat, hijrah pemimpin Sabah ke dalam Pakatan Rakyat tetap akan berlaku, dan mesti berlaku. Sabah dan rakyatnya tidak akan selamat di bawah pemerintahan kerajaan Barisan nasional yang dikepalai UMNO. Cuma diharapkan mereka yang akan melompat tidak mempunyai sebarang agenda bersifat kepentingan peribadi. Utamakanlah perjuangan untuk anak-anak Sabah yang telah lama tertindas dan dijajah. Penjajahan terhadap Sabah tidak berakhir pada 16 September 1963, tetapi ianya diperbaharui pada tarikh keramat itu tanpa disedari oleh rakyat Sabah seluruhnya. Semoga tumbangnya kerajaan BN akan membawa Harapan Baru Untuk Sabah, Harapan Baru Untuk Malaysia. Tamatkan penjajahan teruskan perjuangan.

Rakyat Sabah Bukan Warga Kelas kedua

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan Barisan Nasional (BN) diminta tidak terus mengetepikan rakyat Sabah dalam arus pembangunan negara jika mahu mengelakkan tsunami politik melanda negeri itu seperti di Semenanjung pada pilihan raya umum lalu. Ahli Parlimen Kalabalakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh dalam nada tegas, berkata pembangunan Sabah harus disegerakan, manakala royalti minyak dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus atau RM2 bilion supaya pembangunan dapat dilakukan segera. "Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia tetapi dianggap seperti rakyat kelas kedua. Sudah lama kita menunggu pembangunan tetapi sampai sekarang tidak kunjung tiba. "Jawapan yang sering diberikan apabila kita minta peruntukkan ialah wang sudah tiada. Rakyat Sabah beri BN kuasa, jangan sampai mereka melucutkan kuasa itu daripada kita," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, semalam. Beliau juga sekali lagi mengingatkan kerajaan pusat Sabah sudah banyak berjasa termasuk menjadi tonggak kemenangan BN untuk terus mengekalkan kuasa dan wajar jika segala tuntutan pembangunan di negeri itu dipandang serius. Abdul Ghapur yang menolak menjadi Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar juga menggesa rombakan Kabinet dilakukan segera bagi memberi peluang kepada lebih banyak wakil rakyat Sabah memegang jawatan dalam kerajaan. "Kita ada tiga menteri di Kabinet tetapi yang jaga muzium...semuanya bukan kementerian penting sedangkan Sabah dan Sarawak mewakili 58 kerusi yang dimenangi BN. "Walaupun saya minta ambil tindakan serius, tidak bermakna membayangkan nak lompat parti. Tak pernah... kita tidak masuk pembangkang tapi kalau buat parti baru, kita join (sertai) sini (menunjukkan kepada pembangkang), ini kemungkinan. "Kalau tsunami politik sampai ke Sabah, dengan saya-saya sekali tenggelam jika kerajaan pusat tidak mengambil tindakan," katanya yang berharap segala yang diperkatakannya itu tidak disalah tafsir sebagai mewakili pembangkang, sebaliknya dianggap sebagai teguran membina. Beliau juga menegaskan wakil rakyat BN Sabah tidak akan melompat parti, tetapi tidak menolak kemungkinan akan wujud parti baru di negeri itu jika tuntutan rakyat Sabah tidak dihiraukan pemimpin negara dengan segera. "Sabah dan Sarawak selamatkan BN tetapi ada negeri dapat sampai tujuh menteri, malah ada negeri yang kalah dapat empat menteri penting. Jadi, kita minta Perdana Menteri rombak Kabinet, bagi balik jawatan menteri penting kepada Sabah. "Saya dan Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) tak berani terima jawatan timbalan menteri kerana ini penghinaan...orang Sabah marah," katanya. Beliau berkata antara isu yang belum diselesaikan adalah pendidikan dan menggesa Kementerian Pelajaran turun padang menyaksikan sendiri kedaifan sekolah di negeri itu sehingga ada pelajar yang terpaksa meniarap di lantai berlapikkan surat khabar berikutan ketiadaan kerusi dan meja. "Sebagai contoh, makanan berzat di sekolah, ada yang diberikan mi segera Ini budak sekolah tetapi di beri makanan tidak berzat macam kucing di rumah," katanya.
sabah-kita.net

Anwar Terus Buat UMNO/BN Gelisah

Malaysiakini Selasa, 13 Mei 2008 KL:
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim masih bermain teka-teki berhubung jumlah ahli parlimen BN yang akan melompat parti dan tarikh sebenar peristiwa besar itu akan terjadi. Beliau berkata pihaknya masih menunggu masa yang sesuai.
"Masa itu bergantung kepada keadaan (sokongan) Umno yang semakin sedikit. Sekarang mereka mulai panik dan memainkan sentimen perkauman, isu kelangsungan masa depan Melayu. Jadi kami rasa biar mereka sambung perdebatan itu. Kita akan mempertimbangkan pilihan kita.
"Perubahan besar begini tidak harus dilakukan secara tergesa-gesa. Kita harus beri ruang kepada pimpinan (Pakatan) untuk meneliti semua aspek. "Dan baiknya ialah apabila kita berikan tempoh, ia dibahaskan di seluruh negara. Jadi dia tidak menimbulkan hal yang agak tegang," katanya di sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya petang tadi.
Mengulas jumlah ahli parlimen BN yang sudah berada di pihaknya, Anwar menjawab: "Saya sudah jelaskan, biar Umno dan BN buat spekulasi masing- masing. Kita ambil langkah mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur dan kita akan umumkan pada waktu yang tepat. "Bila sampai waktu, saya bagi notis," katanya, sambil ketawa kecil dan disambut ketawa beberapa wartawan.
Anwar juga berkata, terpulang kepada ahli-ahli parlimen itu sendiri jika hendak membuat pengumuman lebih awal meninggalkan BN. "Ada pilihan pada mereka untuk mengumumkan pada masa yang sesuai. Mereka bebas untuk mengumumkan bila masa yang sesuai. Tugas saya sebagai memimpin tiga parti hanya mengumumkannya mengikut jadual," katanya. Tentang langkahnya bertanding dalam pilihanraya kecil untuk dilantik sebagai seorang ahli parlimen, Anwar berkata beliau mempunyai pilihan sama ada untuk bertanding sebelum atau selepas pembentukan kerajaan baru.
"Kita mempertimbangkannya kedua-duanya (pilihan). Berlawan dalam pilihanraya dan membentuk kerajaan," katanya. Mengulas kenyataan menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa kegiatan lompat parti sebagai tidak bermoral, Anwar menjawab perkara itu bergantung kepada keadaan. "Yang dimaksudkan dengan tidak bermoral (oleh Nik Aziz) itu apabila ada kaedah membeli orang," katanya.
"Kita tahu proses pilihanraya banyak penipuan. Pilihanraya yang dilaksanakan pada 8 Mac itu penuh dengan penipuan termasuk pembatalan dakwat. Kerusi yang wajib dimenangi, dikalahkan dengan cara tipu-helah," tambahnya. Beliau mengulangi kenyataan awalnya bahawa dasar lompat parti yang sedang diusahakannya tidak melibatkan duit tetapi kesediaan wakil BN mengikut agenda parti-parti pembangkang. "Banyak ahli dan kawan kita daripada BN, termasuk juga mereka di Sabah dan Sarawak sedar bahawa berlaku penipuan pada pilihanraya lalu. Tiada harapan untuk perubahan atau reformasi yang bermakna dalam pemerintahan sekarang atau bawah kerajaan pimpinan Umno," katanya.
Ditanya tentang kemungkinan BN membubarkan parlimen untuk mengelakkan peralihan kuasa melalui langkah lompat parti, Anwar tidak menolak kemungkinan itu. Beliau berkata jika pilihanraya umum yang baru diadakan, beliau berharap ia tidak dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang sedia ada. "Saya yakin ia (BN) akan menyaksikan kekalahan cukup parah," katanya.
Mengulas isu pengerusi DAP Karpal Singh yang didakwa mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu, Anwar berkata media yang dimiliki Umno terus-terusan cuba menggambarkan pembangkang tidak menghormati institusi raja. Dalam perbincangannya dengan Karpal, tambah bekas timbalan perdana menteri itu lagi, ahli parlimen Bukit Gelugor "tidak bermaksud menyinggung atau tidak menghormati kedudukan Raja-raja Melayu". Beliau juga menganggap siasatan polis terhadap Karpal menunjukkan pihak berwajib menggunakan piawaian yang tidak konsisten apabila penghinaan terhadap institusi raja yang jelas seperti di Terengganu dilambat-lambatkan siasatannya.
"Ketua polis negara hanya menyegerakan siasatan terhadap ahli parlimen pembangkang," katanya. "(Keadaan) ini mengesahkan kebimbangan rakyat selama ini bahawa dalam badan kehakiman, dalam siasatan polis, dalam pendakwaan Jabatan Peguam Negara, tidak banyak perubahan selepas pilihanraya yang lalu."

11 May 2008

Assalamualaikum.. Saya memohon maaf kepada pengunjung laman blog ini kerana telah lama tidak mengemaskini dengan perkhabaran atau artikel yang baru. InsyaAllah, dalam masa terdekat ini saya akan cuba meluangkan sedikit masa untuk berkongsi pandangan saya mengenai pelbagai isu dan perkembangan terkini terutama mengenai hal ehwal politik Sabah. Kepada saudara bayumurni, yang memberikan peringatan kepada saya mengenai adanya pihak yang memantau blog yang dianggap negatif oleh sesetengah pihak, terima kasih atas maklumat anda. Cadangan saudara untuk blog ini membuat undian akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini. Terima kasih atas keprihatinan saudara. InsyaAllah saya akan kembali ke Sabah tidak lama lagi, mungkin kita boleh bertemu untuk bertukar-tukar fikiran dan membincangkan cadangan saudara dahulu. Ruang waktu yang sangat-sangat terbatas ini membuatkan saya terpaksa mengundur diri seketika, Insya Allah esok lusa akan ada sedikit pembaharuan di blog ini. Terima kasih kepada semua yang menyokong kelangsungan hayat blog ini. Wassalam.

“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia