Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

22 September 2009

PERUTUSAN AIDILFITRI PRESIDEN PBS (Persatuan Blogger Sabah)

Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh dan Salam 1Sabahkini, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

PERJUANGAN membongkar kebenaran dan mempertahankan kejujuran bukanlah perkara yang mudah, namun telah berjaya dilaksanakan oleh semua Ahli Persatuan Blogger Sabah (PBS) yang berdaftar di Sabahkini.net.

Hari Raya bukanlah ‘tiket’ untuk berbulan madu atau ‘cease fire’ bagi para Blogger yang terpaksa berkhidmat dengan penuh tanggung jawab sekalipun tidak bergaji namun atas nama fardu kifayah dan tugas kepada Negara, maka hari raya adalah ‘Hari Jihad’ atau peperangan bagi para Blogger untuk memerangi pembaziran, penyalahgunaan kuasa, kezaliman kepada mereka yang tidak berdaya, mengekang penyuburan rasuah melalui budaya ‘angpau’ dan pergaulan bebas tanpa batasan sehingga melahirkan anak luar nikah atau melakukan pengguguran haram di luar Negara.

Sabahkini.net yang menjadi medan Para Blogger Sabah berjuang akan terus memainkan peranan sekalipun menerima pelbagai tekanan dan kekurangan dana untuk melakukan penyelidikan dan menyediakan laporan berasaskan fakta dan bukti yang melampaui keraguan munasabah.

Walaupun ahli PBS kebanyakannya adalah ‘Blogger Amatur’ yang baru belajar mengenali dunia IT dan ada juga yang sudah mahir namun masih baru dalam dunia penulisan Blog dan Laman Web dan masih terbawa-bawa dengan penulisan berita di akhbar yang stereotype dan dari sudut yang kurang menarik.

Sebagai laman web bebas sebebas-bebasnya, namun tertakluk kepada etika kewartawanan siber @ myra, Sabahkini.net akan sedia menggempur sesiapa sahaja yang melakukan jenayah luar tabii atau amalan songsang sehingga menyusahkan rakyat dan tidak pernah pro atau cenderung kepada mana-mana parti politik atau kumpulan tertentu.

Bagi memperkemaskan operasi, Sabahkini.net amat memerlukan sumbangan daripada para Blogger untuk membuat ‘Scoop’ atau laporan khas daripada daerah masing-masing kerana ianya akan dipertandingkan dalam Anugerah Kewartawanan Blog dan Web yang akan dilancarkan pada tahun hadapan.

Sehubungan itu, Sabahkini.net dengan tegas dan berprinsip berikrar, akan melaporkan segala penyelewengan yang berlaku termasuk di pihak Kerajaan atau Pembangkang sekiranya mempunyai bukti atau alasan yang munasabah, tanpa tunduk kepada tekanan dan desakan pihak tertentu.

Dalam menyediakan laporan lengkap, wartawan Sabahkini.net dan para Blogger kemungkinan kebarangkalian telah menyinggung perasaan atau menyakitkan hati sesetengah pemimpin Barisan Nasional dan Pembangkang, namun tugas tetap dilaksanakan dan tidak dapat dilenturkan dengan pujukan, asakan dan desakan daripada pelbagai pihak.

Sehubungan itu, bagi pihak para Blogger di Sabah saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf daripada mereka yang tersindir sehingga tersinggung, terkuis sehingga terpelanting, terselak sehingga terburai, tertuduh sehingga didakwa dan terdedah sehingga menjatuhkan maruah.

Kami bukanlah musuh pemimpin politik atau rakyat sebaliknya suara hati rakyat Sabah yang tidak mendapat layanan baik daripada Kerajaan terutama petani miskin yang terpaksa memerah keringat dan air mata untuk membayar kenaikan gaji menteri dan pegawai kerajaan yang sebahagian daripada masa mereka digunakan untuk melakukan penyelewengan amanah dan membudayakan rasuah.

Akhirkata, jika tidak berani ditegur jangan jadi ahli politik dan kembalilah belajar di politeknik sebelum menceburi bidang yang telah melahirkan ramai Abu Nuwas, Brutus dan Si Kitul. Salam Hormat dan berjuang melalui blog. MUTALIBM.D


“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia