Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

29 April 2009

Ulang Tahun Pertama

Alhamdulillah Blog Anak Sabah Anak Malaysia dah berusia setahun tanpa saya sedari. Pelbagai perkara, isu semasa, pandangan peribadi, petikan tulisan rakan blogger yang lain telah saya muatkan dalam blog ini. Lebih 80 post dalam masa setahun saya mengendalikan blog ini bukanlah sesuatu yang mudah bagi saya yang tidak pernah mengikuti sebarang kursus dalam bidang penulisan.

 

Bermula dengan nama ASAM-Lambunau, blog ini mengalami pelbagai transformasi dalam survival sebuah blog yang dikendalikan secara bersendirian. Semangat untuk memperjuangkan keadilan dan hak adalah punca kepada terhasilnya blog ini dan bertahan hingga ke hari ini. Saya pernah hampir berputus asa untuk meneruskan kewujudan blog ini kerana masalah-masalah yang sukar untuk dielakkan, blog ini pernah terbiar selama hampir empat bulan. Namun sokongan dan kata-kata semangat rakan-rakan blogger yang lain telah berhasil menaikkan semangat dan keinginan saya untuk terus berada dalam dunia penulisan blog. Terima kasih rakan-rakan yang menyokong saya selama ini walaupun persahabatan kita cuma di alam blogger/siber.

 

Semoga blog ini dapat memberikan manfaat kepada diri saya sendiri,dan para pembaca yang merupakan anak-anak Sabah, anak-anak Malaysia.

 

Wassalam...

28 April 2009

Akan Adakah Perubahan?

Perlantikan ramai pemimpin politik dari Sabah dalam Kabinet "Satu Malaysia" DS Najib memang dialu-alukan, namun rakyat Sabah belum boleh bergembira sebenarnya. Biarlah ahli keluarga dan rakan-rakan rapat mereka yang terpilih itu bergembira kerana seharusnyalah golongan tersebut meraikannya sejajar dengan amalan nepotisme dan kronisme yang berleluasa dari dulu, kini dan harapnya bukan selamanya.

Kita (anak-anak Sabah) hanya boleh bergembira sekiranya ada perubahan positif yang jelas mengubah lanskap sosio ekonomi Sabah hasil perlantikan mereka ke jawatan yang mereka impikan. Apakah kita mahu berbangga jika perlantikan mereka sekadar untuk kesenangan mereka dan keluarga serta para kroni yang sentiasa laparkan agihan projek?

Apakah kita boleh berbangga jika Ahli Parlimen kawasan kita menjadi menteri tetapi pembangunan fizikal kawasan yang diwakilinya masih tidak berubah, taraf sosio ekonomi penduduk yang memberikan mereka kedudukan yang dijawat sekarang kekal di takuk lama?

Saya menulis bukan dengan perasaan prejudis atau bersikap pesimis. Niat saya sekadar mengingatkan anak-anak sabah agar tidak terlalu mengharap perubahan besar akan berlaku dengan tingginya kedudukan wakil rakyat kita dalam parti atau kabinet Malaysia.

Saya ( juga rakyat Sabah yang lain) mengharap para pemimpin ini telus memperjuangkan hak dan impian rakyat Sabah yang terlalu jauh ketinggalan dengan apa yang dinikmati saudara-saudara kita di Semenanjung Malaysia. Kita tidak minta menara yang besar, tinggi dan gah seperti KLCC, kita tidak minta Litar Formula One, tetapi apa yang kita harapkan KEADILAN LAYANAN DAN PEMULANGAN HAK yang telah lama dirompak di depan mata kita. Cakaplah mengenai royalti minyak, semua rakyat Sabah bersetuju lima peratus itu tidak adil, tidak berbaloi. Terbaru saluran gas asli dari Kimanis (Kawasan yang diwakili Datuk Anifah Hj. Aman, Menteri Luar) yang hasilnya akan dinikmati di Bintulu, kesannya jelas merugikan SABAH dan anak-anak Sabah. Sabah bukan sahaja kerugian hasil bumi (gas) malah kehilangan padang pekerjaan untuk rakyatnya yang sangat ramai memerlukan pekerjaan. Kenapa saya katakan sangat ramai, pada masa ini ramai anak-anak Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia, malah hingga ke luar negara seperti Brunei, Singapura malah hingga ke New Zealand dan Australia.

Lihat pula pembangunan fizikal, seperti saya tuliskan di atas kita tidak minta KLCC, cukuplah dahulu jika jaringan jalan raya yang ada di Sabah ini tidak memalukan sebuah negara yang telah berpuuh tahun mengecapi kemerdekaan. Hanya jaringan perhubungan yang baik sahaja akan mampu membawa pembangunan fizikal dan sosio ekonomi yang lebih baik. Apalah guna berbangga dengan kemajuan bandaraya Kota Kinabalu yang besarnya tidak sam[ai pun lima peratus keluasan negeri Sabah. Apa ertinya bangunan Lapangan terbang yang cantik dan canggih seandainya Hospital sudah hampir roboh, antara dua bangunan itu yang manakah lebih penting kepada rakyat yang pendapatan perkapitanya hanya RM4,868 (statistik yang dikeluarkan pada tahun 2008).

Seandainya para YB yang terpilih menganggotai Kabinet tidak mampu untuk menunaikan harapan di atas, sekurang-kurangnya tunaikanlah permintaan ini; bekalan air bersih dan tenaga elektrik ke seluruh pelusuk negeri Sabah. Inilah hak yang paling asas bagi Negara yang 'teringin' sangat hendak mencapai status Negara maju. Jika perkara ini pun tidak mampu dilakukan, malulah penduduk yang diwakili Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah!! Terlalu lama anak-anak Sabah terpinggir dari arus kemajuan, sekaranglah masanya untuk para pemimpin tersebut menunjukkan bahawa mereka benar-benar berjuang untuk rakyat, bukan berjuang untuk perut anak-isteri dan para kroni.

 

Semoga ada perubahan positif di Sabah Tanahairku...

 

26 April 2009

Pembangunan Membakut

Sumber Artikel: http://membakut2u.wordpress.com/

Terdapat khabar daripada beberapa sumber yang mengatakan bahawa kawasan Kampung Saga-Saga Pimping akan terus dimajukan sebagai sebuah bandar baru menjelang tahun 2025. Antara usaha yang dicadangkan ialah pembinaan sebuah balai bomba baru dan pembinaan beberapa deret kedai SEDCO. Jika dilihat pembangunan semasa di Saga-Saga, kini terdapat sebuah sekolah menengah, sebuah sekolah rendah dan kediaman guru yang baru dan moden, dianggarkan menelan kos melebihi RM10 juta, Pusat Giat Mara, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Pusat E-Desa dan Pusat Penghasilan Makanan Tradisi Kampung.

 

Pada pendapat saya, Kampung Saga-Saga Pimping lebih sesuai dimajukan sebagai kawasan Kampung Komuniti Bestari bukannya sebagai pekan atau bandar baru. Kampung Saga-Saga seharusnya dikekalkan sebagai kampung tradisi bagi majoriti masyarakat kaum Brunei dengan suasana dan budaya kaum Brunei. Dalam masa yang sama masyarakat di kampung ini dan sekitarnya terus menikmati arus pembangunan dalam bidang pertanian, ekonomi, infrastruktur dan komunikasi seiring dengan kemajuan pesat negara tanpa mengorbankan budaya dan nilai murni yang telah diwarisi sejak turun-temurun.

 

Kita boleh mengambil contoh kejayaan GDW Kampung Bayangan Keningau yang mencipta nama bukan sahaja di peringkat negeri bahkan di peringkat kebangsaan. Semangat muafakat, toleransi, kerja keras dan kerjasama penduduk di kampung cemerlang itu sepatutnya menjadi contoh kepada kita yang tinggal di Membakut ini. Oleh itu, saya berpendapat, adalah wajar bagi pemimpin Membakut, YB Datuk Hj. Ariffin Hj. Arif memberikan sepenuh daya dan tumpuan untuk membesarkan dan memodenkan Pekan Membakut dalam setiap aspek; pentadbiran, pengurusan, ekonomi, infrastruktur dan kemudahan sosial.

 

Pekan Membakut bukan sahaja didiami oleh pelbagai suku kaum seperti Kadazandusun, Brunei, Cina dan Paitan bahkan menjadi tempat persinggahan para pengunjung dari luar daerah. Pekan Membakut perlu mempunyai kemudahan yang lengkap dan memaparkan identiti serta imejnya tersendiri. Misalnya dengan mewujudkan cawangan atau agensi pentadbiran kerajaan pusat dan negeri seperti bangunan hospital baru, balai bomba baru, pejabat polis baru, pejabat pos baru, cawangan Telekom, perpustakaan baru, masjid baru dan sebagainya. Demikian juga halnya dalam bidang ekonomi, peluang pendidikan dan pekerjaan. Bidang-bidang ini perlu diwujudkan dengan lebih banyak di Pekan Membakut untuk memberikan peluang kepada masyarakat di daerah ini meningkatkan taraf ekonomi, taraf pendidikan dan kemahiran.

 

Saya mencadangkan agar peluang perniagaan dan ekonomi dibuka dengan seluas-luasnya kepada masyarakat Membakut menerusi agensi kerajaan seperti SEDCO, FAMA dan MARA. Banyak bidang perniagaan boleh diceburi oleh penduduk tempatan seperti menjual hasil-hasil pertanian, makanan, kraftangan dan sebagainya. Malah bagi skala yang lebih besar dan boleh memberikan manfaat ekonomi jangka panjang kepada penduduk dan daerah, kerajaan boleh mempelawa syarikat-syarikat tempatan atau antarabangsa melabur dengan membina kilang-kilang memproses makanan atau hasil-hasil pertanian, memajukan kawasan-kawasan yang berpotensi untuk pelancongan seperti air terjun dan kawasan pantai, mendirikan restoran makanan segera seperti KFC, MacDonald atau Sugar Bun.

Untuk mewujudkan suasana yang bersih, selesa dan mendamaikan di pekan ini, pihak berkuasa tempatan hendaklah menghiasi pekan ini dengan tanaman bunga-bungaan dan landskap yang indah. Kemudahan awam seperti tandas awam, taman dan tempat duduk awam hendak disediakan dan diuruskan dengan baik.

 

Dalam bidang pendidikan dan kemahiran pula, kerajaan boleh mendirikan cawangan-cawangan institusi pendidikan awam seperti institusi pendidikan cawangan MARA (MRSM atau UiTM), UMS, Institusi Latihan Belia, Institusi Jabatan Tenaga Manusia, Institusi Pertanian, Pusat Latihan Agama, Sekolah Vokasional, Politeknik atau cawangan-cawangan IPT swasta yang boleh memberikan latihan Bahasa Inggeris, ICT dan kemahiran lain dengan kos yang berpatutan kepada anak-anak muda tempatan. Pekan Membakut juga boleh menjadi pusat maklumat, bahasa, sastera dan kebudayaan dengan mewujudkan Pusat Informasi & Kebudayaan Membakut. Masyarakat tempatan dan luar boleh mendapatkan maklumat tentang sejarah, profil dan perkembangan semasa Membakut serta dalam masa yang sama menikmati keindahan bahasa, sastera serta budaya pelbagai kaum yang terdapat di daerah kecil ini. Tidak ada yang mustahil, terpulang kepada kesungguhan dan usaha kita untuk merealisasikan semua cita-cita ini.

 

Pekan Membakut tidak seharusnya menjadi pekan yang sunyi lagi, yang hanya meriah pada hari tamu (hari Rabu dan Ahad) atau pada musim-musim keramaian tertentu sahaja. Pekan Membakut perlu dibangunkan, dibesarkan dan dimodenkan. Dalam masa yang sama penyediaan infrastruktur yang baik dan selesa, seperti kemudahan jalan raya, bekalan air, elektrik dan tempat tinggal tidak sepatutnya tertumpu di sesebuah kawasan sahaja, seperti di kawasan majoriti masyarakat Brunei, tetapi juga perlu adil dan seimbang ke seluruh Daerah Membakut. Kaum lain di Membakut seperti Kadazandusun, Cina, Paitan dan sebagainya juga perlu diberikan peluang menikmati arus pembangunan dan kemajuan yang sama rata untuk mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan kukuh dengan semangat perpaduan. Pembangunan dan kemajuan yang adil dan seimbang juga boleh mengelakkan masyarakat kaum lain daripada terus ketinggalan dalam arus persaingan dan kemajuan negara hari ini.

 

Diharapkan pendapat dan cadangan saya ini mendapat maklum balas yang positif daripada para pemimpin di Membakut. Sebarang usaha untuk membina masa depan Membakut tidak seharusnya dikuasai dan ditentukan oleh individu-individu tertentu yang mempunyai kepentingan kuasa dan politik sahaja. Idea, pendapat dan saranan masyarakat terutama golongan belia juga perlu diambil kira kerana lazimnya golongan belia mempunyai idea dan pemikiran yang sesuai dengan keperluan masyarakat dan perkembangan semasa.

Sila layari LAMAN WEB KOMUNITI MEMBAKUT (http://www.membakut.info) untuk mengikuti perbincangan dalam ruangan Forum tentang hal ini. Terima kasih

Khabar Dari Membakut

UMNO/BN dimana2 pun sama tidak dapat lari dari dasar nepotisme dan kronisme. Apalah sangat tu semua sebab rasuah pun cuba dihalalkan oleh mereka, supaya tidak nampak ianya sebagai satu 'Dosa Besar', rasuah tidak dipanggil rasuah tetapi dikenali dengan nama manjanya POLITIK WANG?!

 

Sekarang ini di mana-mana pun di kawasan Membakut sentiasa kedengaran rungutan terhadap sikap ADUN N.24 membakut, YB Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif yang lebih mementingkan kroni-kroninya sahaja. Rungutan bukan sahaja daripada rakyat biasa yang terdiri daripada pengundi atas pagar atau penyokong pembangkang, malah di kalangan ahli dan penyokong UMNO/BN pun ramai yang mula mempersoalkan kewajaran tindakan YB yang baru sahaja mendapat gelaran Datuk ini. Projek-projek pembangunan yang kecil apatah lagi yang besar hampir kesemuanya dibolot oleh orang-orang kanan (kroni)beliau.

 

Sewaktu menyertai kursus Kepimpinan JKKK dalam kawasan Membakut pada tahun lepas (saya mewakili Pengerusi JKKK kampung saya yang uzur pada masa itu) kedengaran suara-suara tidak berpuashati dengan tindakan sebegitu. Malah ada cadangan di kalangan pengerusi-pengerusi JKKK tersebut untuk mengutarakan ketidakpuasan hati terhadap YB semasa perasmian penutup kursus tersebut tetapi akhirnya tidak ke mana apabila YB tidak menghadirkan diri dan sekadar menghantar wakil.

 

Khabar terbaru mengatakan usaha untuk mewujudkan Bandar Baru Saga-Saga, yang terletak di Kg. Pimping (Kampung kelahiran ADUN Membakut). Pekan Membakut yang sedia ada pun belum layak menjadi daerah penuh, ada hati pula hendak membuka bandar baru di Saga2. Sepatutnya bangunkan dahulu Pekan Membakut hingga layak menjadi sebuah daerah penuh seterusnya menjadi sebuah bandar(?). Lokasi Pekan Membakut sekarang lebih strategik kerana terletak di tepi lebuhraya (?) yang menghubungkan Kota-Kinabalu dengan Labuan, Sarawak, dan Negara Brunei Darussalam.

 

YB Datuk ADUN Membakut seorang berpendidikan tinggi di bidang agama sepatutnya faham dan tahu bagaimana melaksanakan keadilan dalam sistem pemerintahan. Keadilan untuk semua penduduk membakut untuk menikmati pembangunan tanpa mengira suku kaum dan agama, majoriti atau minoriti. Tidak kira kampung itu dihuni oleh kaum Kadazan atau Dusun atau Paitan atau Cina atau apa sahaja suku kaumnya, mereka semua adalah penduduk Membakut yang YB Datuk wakili. Jangan bila dah terhantuk baru nak mengadah. Sudah ada suara-suara yang membayangkan YB Datuk akan ditolak pada pilihanraya akan datang, kerana kata mereka Datuk Arifin tidak menghargai peluang kedua yang telah diberikan (YB Arifin telah memenangi DUN Membakut untuk penggal kedua pada PRU12).

 

*Untuk pengetahuan umum, landskap politik Sabah pada masa ini masih lagi berkisar sekitar isu pembangunan, tidak seperti di Semenanjung Malaysia yang telah membangun secara umumnya walaupun masih ada lagi kawasan yang lebih kurang sama dengan di Sabah.

Sibuknya Anifah Aman

Sumber: http://membakut2u.wordpress.com/

 

Selepas dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Menteri Luar Malaysia yang baru, terdapat desas desus mengatakan bahawa Anifah Aman sudah lupa daratan. "Agak sukar berhubung dengan orang ini sudah" Kata Keong (bukan nama sebenar). Masyarakat Kadazandusun di Kimanis katanya amat sukar menghubunginya dan terpaksa melalui orang ketiga, atau keempat. Ini ditambahkan pula dengan Tadau Kaamatan yang bakal berlansung di Seluruh Sabah mulai 1 Mei 2009. Agaknya YB ini takut melihat karenah pemimpin-pemimpin kampung berjumpa dengannya meminta 'Sumbangan'.

"Kalau sewaktu pilihanraya dan pemilihan UMNO, Anipah (Anifah) sampai masuk kampung tanpa undangan untuk melihat permasalahan rakyat, sekarang SMS dan miss call pun tidak di balas." Kata Keong yang menunjukkan teks SMS di handphone yang dihantar kepada Anifah. Keong yang juga Ahli UMNO Kadazandusun berkata, selepas membaca membakut2u.wordpress.com yang di cetak oleh anaknya, dia amat terkilan dengan perbuatan UMNO sendiri yang mengendahkan masyarakat Kadazandusun Membakut. Beliau juga melahirkan rasa kecewa apabila mengetahui banyak projek jalan kampung dan projek-projek negeri di 'seleweng' ke kg. Pimping.

"Masyarakat Kadazandusun yang menyertai UMNO adalah bodoh. Projek -projek bukan sahaja Kadazandusun tidak dapat, Brunai pun tidak dapat. Siapa yang dapat? Hidung mancung dan telinga besar sahaja. Saya akan meletak jawatan dari UMNO dalam masa terdekat tidak lama lagi" Ujarnya.

Tanpa mengulas lanjut, saya mengetahui Keong bermaksudkan kepada suku-kaum peranakan BANGGALI-Pakistan!


“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia