Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

29 August 2009

PARTI KEADILAN RAKYAT MENGUTUK TINDAKAN KUMPULAN MENGHINA AGAMA HINDU

Parti Keadilan Rakyat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan 50 orang yang kononnya mewakili penduduk Seksyen 23 di Shah Alam yang telah mengarak dan bertindak menghina kepala seekor lembu dalam memprotes isu penempatan semula sebuah kuil Hindu. Tindakan mereka ini dengan jelas bertujuan untuk mengaibkan dan menimbulkan kemarahan penganut Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang yang suci. Agama Islam tidak pernah mengajar penganut Islam untuk mencemuh mahupun menghina agama atau kepercayaan orang lain malah telah melarang sekali orang-orang Islam berbuat sedemikian. Keadilan juga percaya bahawa tindakan ini berupa satu cubaan untuk mewujudkan kemarahan dan kebencian di antara orang-orang Islam dan Hindu sekaligus mencetuskan perbalahan kaum dan agama dan suasana yang tegang di Selangor lantas memberi peluang untuk UMNO untuk merampas balik Selangor sebagaimana yang dilaung-laungkan kononnya atas nama bangsa dan agama. Keadilan menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas untuk menjaga keamanan dan keharmonian dan tidak memandang remeh terhadap perbuatan yang jelasnya salah disisi undnag-undang dan berbentuk provokasi dan menggugat ketenteraman awam dan hubungan antara kaum/agama. Keadilan juga kesal kerana pihak polis Selangor gagal menghalang kejadian ini dari berlaku dan sebaliknya Ketua Polis Selangor menyatakan bahawa tindakan boleh diambil hanya sekiranya terdapat laporan polis. Ini jelas menunjukkan sikap sambil lewa pihak polis seolah-olah membenarkan atau mengalakkan perkara sebegini. Keadilan meminta semua pihak yang berkenaan untuk bertenang dan berwaspada supaya tidak terperangkap dengan reaksi yang boleh diambil kesempatan oleh pihak UMNO yang berusaha untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Selangor dengan mencetuskan insiden-insiden berunsur perkauman dan agama. Latheefa Koya Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat

Puisi Untuk Renungan Kita Bersama

KESAH AJANG CERITA KITA

adalah dikesahkan ajang pun dilahirkan

lalu ajang dibesarkan lalu ajang disekolahkan lalu ajang diuji dan dipereksa lalu ajang lulus ujian

gembiralah satu keluarga gembiralah ajang se ajang-ajnangnya

ajang pun belajar lagi diuji dan diperiksa ajang pun luluslah

ajang pun dilamar bekerja maka bekerjalah ajang berbaris dan beratur dijalan raya bangun dari tidor untuk menjual tenaga

sebulan sekali menerimah upah lalu ajang membeli tv untuk rehat dan bersenang hati

setiap hari beratur berbaris dijalan raya bangun untuk menjual tenaga dihujung minggu ajang berehat buntang mata menonton tv

duit terkumpul lagi lalu membeli kereta sebelum mencari bini berbaris beratus dijalan raya bagun dari tidor untuk menjual masa dan tenaga agar dapat bayar hutang kereta dan rumah sewa

lalu ajang pun berbinilah bangun pagi berasak asak menjual tenaga untuk membayar kereta dan rumah sewa lalu ajang dan isteri menjadi cerdik tak perlu bayar sewa kalau rumah dimiliki lalu mereka berhutang lagi untuk membayar kereta dan hutang bank lalu mereka bangun pagi berasak asak di jalan raya untuk memburuh dan mengumpul duit nak jadi kaya

adalah dikesahkan anak pun lahir dan dibesarkan lalu anak di anjangkan sekali lagi lalu anak diajar agar dia pun bangun pagi bangun berasak-asak dijalan raya bersedia cekap bijak pandai untuk menjadi hamba kepada kerja

akhirnya anjang tua dan hendak mati anjang terlantar dikatil lalu anjang teringat sebuah buku cinta yang dibelinya tetapi lupa tidak dibaca lalu anjang teringat sekuntum bunga mawar yang dia terlupa baunya lalu anjang teringat sebuah pantai landai sebuah tasik permai sebuah gunung berhutan saekor burung belibis terbang menyambar

lalu dia teringat gesekan biola dan tiupan seruling sawah dan gaung hutan dan pacat

ajang memanggil anak datang ingin menyampai pesan lalu mereka pun berkumpul ajang hanya sempat berkata – jangan jadi bodoh – semua tercengang semua hairan mereka menangis ajang telah hilang ingatan.

ajang mengulangi lagi – jangan jadi bodoh – lalu anjang mati

esoknya anak dan isteri bagun pagi pagi berasak asak di jalan raya entah apa hendak dicari mengulangi hidup berpusing-pusing tak pernah sedar diri hilang ingatan jadi injin bangun pagi untuk beli kereta rumah dan tv

Dipetik daripada http://tukartiub.blogspot.com -Hishamudin Rais

Sebuah puisi yang sangat mendalam maknanya, menyentuh langsung kepada 'orang kita' yang sangat berbangga jika mempunyai majikan (makan gaji la tu). Bagaimana agaknya kita dapat mengubah mentaliti masyarakat yang mahukan anak-anak pandai belajar, "bila besar nanti boleh dapat 'kerja baik', jadi pegawai". Jarang kita dengar da orang nak nasihat anak "besar nanti jadi usahawan"..

Sama-samalah kita fikirkan, bukankah sembilan per sepuluh sumber rezeki itu datangnya dari perniagaan?

28 August 2009

DANAGAYA YANG BERDANA DAN BERGAYA

DANAGAYA Sdn.Bhd (747769-D) yang didaftarkan pada 18 September 2006 dengan modal berbayar RM100 dan dimiliki oleh dua orang lelaki Lau Chen' berketurunan Cina, Michael  Chia Tien Foh (670406-12-5261) dan Lo Man Heng (691121-12-5631) adalah syarikat 'DORMANT' dan Jabatan Hasil Dalam Negeri tidak langsung berselera untuk membuka fail.

Manakala lembaga pengarahnya terdiri daripada seorang wanita Cina daripada Semenanjung Malaysia yang tinggal secara haram di Sabah tanpa jaminan atau taraf penduduk tetap setelah berhenti bekerja sebagai GRO di Gin Karaoke, Sandakan bernama Yap Siaw Lin yang kini menjadi 'VVIP' di kalangan 'VIP' di Sabah kerana menjadi pengarah lebih daripada lima syarikat pembalakan, termasuk Danagaya Sdn.Bhd.

Pemilik Danagaya Sdn.Bhd telah melantik nominee mereka masing-masing iaitu Michael Chia melantik 'Gundiknya' Yap Siaw Lin (740710-14-5364) dan pemandunya Raymond Chau Chaing Yip (820308-12-6237), manakala Lo Man Heng melantik adiknya, Lo Shwu Fen sebagai nominee pada 27 Mei 2008.

Walaupun tidak ada sebarang dokumen proksi ditemui di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), namun Michael Chia dan Lo Man Heng adalah proksi tokoh penting di Sabah kerana dua anak muda ini bagaikan belacan yang hanya melengkapi sambal.

Danagaya Sdn.Bhd telah 'dikurniakan' konsesi pembalakan pada 29 Mei 2007 yang pada mulanya diluluskan kepada Sabapioneer Sdn.Bhd. Namun atas sebab tertentu dan dengan persetujuan 'VVIP' kelulusan tersebut dipindahkan kepada Danagaya Sdn.Bhd.

Kehebatan Danagaya Sdn.Bhd. terserlah kerana bukan sahaja diluluskan sebuah konsesi seluar 4,729.95 hektar hutan simpan semula jadi yang mempunyai dirian isipadu balak yang tinggi (kerana belum pernah dibalak) di kawasan tanah tinggi yang mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah, malah beberapa konsesi lagi diluluskan kepada syarikat ini dan juga subsidiarinya. 

Persoalannya, jika syarikat ini hanya menjadi kontraktor kepada Rakyat Berjaya Sdn.Bhd iaitu anak syarikat Yayasan Sabah, maka dengan berlindung di sebalik syarikat dormant atau tidak aktif mampu memiliki sebuah konsesi yang bernilai puluhan juta ringgit tanpa membayar cukai walau satu sen pun!

Pengurusan Yayasan Sabah sendiri mungkin terkejut dengan keizinan khusus sehingga Danagaya Sdn.Bhd yang mula membalak sejak 29 Mei 2007 belum membayar baki Jaminan Bank yang dikehendaki pada 18 Ogos 2009 iaitu RM500,000 kerana syarikat ini hanya menyediakan Jaminan Bank bernilai RM500,000 sahaja.

Mengikut maklumat yang diterima, Michael Chia telah bersetuju 'membayar' sejumlah RM8,000 sehektar konsesi berkenaan kepada 'pihak berkenaan'. Jika 4,729.95 Hektar didarab dengan RM8,000  sehektar (kadar harga yang ditetapkan Michael Chia) maka 'pihak berkenaan' telah mengaut untung bersih RM37,839,600 yang dikecualikan cukai kerana tidak pernah diisytiharkan.

Jika Michael Chia menjual konsesi tersebut pada kadar RM16,000 sehektar (lazimnya kawasan berisipadu balak yang padat bernilai RM20,000 sehektar), maka Michael Chia boleh membuat untung kasar sejumlah RM37,839,600. Daripada jumlah tersebut Michael Chia akan memperolehi untuk bersih 70 peratus, manakala Lo Man Heng akan memperoleh 30 peratus berdasarkan saham masing-masing.

Pengarah Lembaga Hasil Sabah sepatutnya meletakkan jawatan sebelum dilantik kerana isu ini amat memalukan Kerajaan Malaysia disebabkan 'Rasuah' menjadi pemudah cara sehingga kayu balak yang diangkut dengan lori merentasi beberapa lebuh raya dan jalan yang mempunyai Jambatimbang JPJ serta peronda boleh menjadi 'Invisible'iaitu halimunan atau tidak kelihatan seperti 'kayu balak' di restoran yang dibuat pencungkil gigi.

Siapakah yang menerima RM37,839,600 daripada Michael Chia? Jawapannya dalam siri yang akan datang!

 

Disedut dari: www.sabahkini.net

27 August 2009

Chua Soi Lek Dipecat Sebagai Timbalan Presiden MCA

Usaha BN untuk menonjolkan keretakan dalam Pakatan Rakyat terjejas dengan pemecatan Datuk Seri Chua Soi Lek oleh Majlis Disiplin Parti malam tadi. Kita tunggu apakah pula ulasan para pemimpin tertinggi BN terhadap perkara ini. Untuk berita penuh pemecatan tersebut sila klik tajuk posting ini.

26 August 2009

Tahniah Ustaz Salleh

Anak Sabah Anak Malaysia mengucapkan tahniah kepada calon PAS yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang atas kemenangan beliau dalam PRK DUN Permatang Pasir. Takbir!!

Apa pun alasan yang diberikan oleh UMNO/BN, yang kalah tetap kalah, yang menang tetap menang. Rakyat (pengundi) Permatang Pasir dah tunjukkan pilihan mereka, bukan menolak pembangunan tetapi menolak rasuah dan pemimpin yang tidak layak memimpin (pelaku pecah amanah). Harapnya rakyat Sabah juga akan mengambil iktibar daripada apa yang dilakukan oleh saudara kita di Semenanjung, buktikan suara rakyat lebih berkuasa. Insya Allah.

24 August 2009

MITOS DAN PENIPUAN




Mitos ialah naratif yang dibuat bertujuan untuk memesongkan hakikat. 

Contoh mitos : Raja di katakan jelmaan tuhan. Ini adalah mitos bertujuan untuk membodohkan kaum tani agar mereka memberikan tanaman mereka pada satu kumpulan manusia yang malas bekerja. Mitos ini berpanjangan dan ditokok tambah lepas satu – satu lagi ditambah. Hakikatnya mitos raja dari muntah lembu atau raja jelmaan tuhan bertujuan untuk menipu. Walhal antara raja dengan sesiapa sahaja tidak ada bezanya. Yang melahirkan perbezaan hanyalah mitos.

Contoh mitos : Pokok itu berhantu. Pokok itu wujud dan dapat dilihat dan dibuktikan. Tetapi hantu itu tidak wujud. Mitos hantu diwujudkan untuk menakut-nakut. Apabila kita takut maka kita akan mencari perlindungan. Peranan untuk melindungi kita dari hantu ialah bomoh dan dukun. Akhirnya kita tunduk pada kuasa bomoh dan dukun.

Mitos diwujudkan untuk tujuan baik dan tujuan jahat. Jangan pergi di dalam gua ini ada hantu - adalah nasehat yang bersalurkan penakutan. Nasehat ini baiak kerana cuba menjaga keselamatan. Ianya juga tidak baiak kerana asasnya satu pembohongan.

Hari ini mitos masih cuba di wujudkan – tetapi agak susah. Dengan kemajuan ilmu tidak ramai yang akan mempercayai mitos-mitos baru yang hendak direka. Mitos seperti angkasawan Neil Armstrong turun ke bulan terdengar suara azan. Atau mitos Bruce Lee mati kerana bersilat dengan Dicky Zulkarnain – semua ini cuba disebarkan untuk menjadi bahan lawak jenaka.

Tujuan asal mitos ialah untuk membodohkan dalam masa yang sama menakut-nakutkan orang ramai. Kalau Raja Jepun berasal Tuhan maka diharapkan rakyat Jepun akan tunduk – walhal kalau Raja Jepun ini makan petai – kencing dia tetap haring. Kalau Prince Charles tercirit baunya tetap busuk. 

Lawan mitos ialah fakta. Fakta dapat dibuktikan melalui pengkajian. Ilmu pengetahuan manusia datang dari fakta dan pemikiran manusia. Semua ilmu dalam dunia ini berpunca dari tiga sumber. Pertama : Pengumpulan pengalamnan. Kedua: Kaji selidik. Ketiga : Ujian dalam bilik makmal.

Mitos ini akan pecah jika kita berfikir secara rasional. Kajian ilmiah akan dapat membuktikan sama ada ianya mitos atau fakta. Jika sesutu masih dalam kajian dan belum dapat dibuktikan betul atau slah maka ianya masih di tahap teori. Satu ketika dahulu Letupan Besar/ Bing Bang hanya satu teori – hari ini telah diterima sebagai fakta. Teori menjadi fakta apabila kajian dapat dibuktikan teori ini.

Ilmu pengetahuan adalah pengumpulan pengalaman manusia dari satu zaman ke satu zaman. Buruk atau baik pengalaman ini akan menjadi panduan. Panduan ini adalah ilmu pengetahuan. Ada ilmu pengetahuan yang turun dari mulut ke mulut. Ada yang dibukukan. 

Dalam negara kita ada beberapa mitos yang disebarkan. Pada ketika mitos ini disebarkan ramai warga negara kita belum bersekolah. Maka mitos ini di terima bulat-bulat. Penyebaran mitos ini memang bertujuan untuk membodohkan kita semua. Tetapi dengan adanya internet kita dapat memecahkan mitos-mitos ini melaui pengkajian berdasarkan fakta-fakta..


MITOS PERTAMA:


Hari Malaysia bukan pada 31 Ogos tetapi 16 September. BOHONG. Sabah , Serawak, Singapura dan Pesekutuan Tanah Melayu menjadi Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tidak percaya sila tanya orang Sabah dan Serawak.

MITOS KE DUA :

Merdeka dimulakan oleh United Malays National Organisation. BOHONG.Parti yang awal memperjuangan dan melaugkan slogan MERDEKA ialah Kesatuan Melayu Muda di tubuh pada 1938. United Malays National Organisation belum wujud lagi. Apabila wujud slogan United Malays National Organisation ialah HIDUP MELAYU dan bukan MERDEKA !

MITOS KE TIGA :

Kemerdekaan didapati tanpa tumpah darah. BOHONG. Parti Komunis Malaya, Angkatan Pemuda Insap, Anakatan Wanita Sedar, Hisbul Musliman, Peta, Malayan Democtaric Union, KMM dan ribuan warga telah bangun mengangkat senjata – pada mulanya melawan Jepun – kemudian melawan British. Tanpa angkat senjata British tidak akan undur.

MITOS KE EMPAT :

Lagu Negara-Ku dikatakan lagu kebangsaan kita. BOHONG. Lagi ini bukan ciptaan warga Tanah Melayu. Peciptanya orang Peranchis bernama Pierre Jean de Beranger (1780-1857) Nama asal ialah Memula Moon. Bertukar menjadi Terang Bulan. Di zaman Konfrontasi - Radio Repuklik Indonesia memainkan lagu ini untuk mengejek Tunku yang dianggap budak suruhan British. Dari Terang Bulan menjadi Negara-ku.

MITOS KE LIMA :

Bendera Jalur Gemilang – namanya baru 5 tahun. Ini adalah tiruan bulat bulat dari bendera Amerika Syarikat yang bernama Star Spangled –Banner, Stars and Stripes dan Old Glory. Nama jalur gemilang pun di ciplak dari nama bendera Amerika. Buktinya : lihat Jalur Gemilang tidak ada motif Nusantara/Melayu – warna merah dan puteh adalah motif Nusantara - merah darah rakyat - puteh hati rakyat.Motif Nusantara ini wujud dalam bendera Singapura dan Indonesia.

MITOS KE ENAM :


Wujud perpaduan Melayu. BOHONG. Tidak ada perpaduan Melayu. Tidak pernah terjadi perpadun Melayu semenjak konsep Melayu itu wujud. Tidak mungkin adanya perpaduan Melayu seperti mustahilnya lahir perpaduan China, perpaduan Arab, perpaduan Itali , perpaduan India. 

Mito perpaduan Melayu bergerak dengan menakut-nakutkan orang Melayu dari di'telan' oleh China dan India. Apabila Melayu jadi takut maka akan datang pembantu. Seperti mitos pokok ada hantu. Orang kampong takut pada hantu lalu memanggil bomoh untuk menghalau hantu. Ini cara klasik mitos bergerak. Takut-takut orang ramai. Apabila orang ramai takut maka mereka akan mencari perlindungan. Maka muncul United Malays National Organisation menjadi perlindung walhal yang menimbulkan kerena gerombolan ini.

MITOS KE TUJUH:

Malaysia negara unik. BOHONG. Mitos ini disebarkan untuk membodohkan rakyat negara ini yang malas membaca dan hanya suka mendengar. Mitos ini bertujun untuk menunjukkan hanya gerombolan United Malays National Organisation sahaja yang dapat memerintah kerana Malaysia unik. 

Hakikatnya Malaysia tidak unik – bukan Malaysia sahaja dalam dunia ini yang berbilang kaum , yang berbilang bahasa, pelbagai agama dan budaya. Tidak ada negara yang monolith dalam dunia ini – semua ada kepelbagian. Setiap negara dalam dunia ini ada kepelbagaian.

TEKNOLOJI PECAHKAN MITOS


Lihatlah betapa teknoloji dan ilmu pengetahuan telah memecahkan mitos-mitos ini. Betapa internet telah membolehkan kita bersama-sama mencari fakta dan menilai dokumen sejarah.

Kalau dulu kita tidak tahu asal usul lagu Negara-ku – hari ini gambar dan riwayat hidup pembuat lagi ini kita kenali. Kalau dulu ada yang menerima mitos tentang kemedekaan dicapai tanpa tumpah darah. Hari ini mitos ini telah terbarai pecah. Dokument-dokumen sejarah semuanya boleh kita baca melaui internet.

Kemajuan manusia akan terus memecahkan mitos mitos yang lapuk dan berkarat ini. Teknoloji akan membebaskan manusia dari di perangkap dan di belenggu oleh mitos-mitos. Tanpa mitos manusia akan jadi berani. Insan yang berani bebas adalah insan yang berfikir. Manusia yang berfikir tidak akan tunduk kepada sesipa kecuali fikrahnya yang rasional. (TT)

Nota:
 
Tulisan ini bebas untuk diambil untuk tujuan memecahkan mitos –http://tukartiub.blogspot.com

Musa Yang Aman

Dari Kacamata: HALIK ZAMAN

RAKYAT Sabah terasa sangat hairan kerana para pemimpin UMNO Sabah mempunyai rumah ala-mansion atau istana, namun tidak pun disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ? 

Yang paling menghairankan dari mana mereka mendapat duit sebanyak itu untuk membina rumah ala mansion itu sedangkan gaji mereka hanya mampu untuk membeli rumah yang bernilai RM1 atau RM2 juta melalui pinjaman bank. Rumah yang mereka miliki bernilai lebih RM20 hingga RM100 juta!

Datuk Seri Musa Aman dikhabarkan mempunyai beberapa buah mansion walaupun menggunakan nama anak, isteri, menantu atau proksi. Begitu juga dengan Datuk Seri Yahya Hussin yang turut memiliki koleksi beberapa buah rumah bungalow dan mansion; yang diikuti oleh jemaah menteri kabinet, namun oleh kerana prinsip 'NO CASE TO ANSWER' maka mereka kalis siasatan SPRM.

Berbanding rakyat biasa yang berhempas pulas memburu hidup di penjuru nasib yang sekadar memiliki lesen PKK kelas F dan memiliki rumah pangsa atau dua buah proton saga kelabu, pasti akan diburu SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri bagaikan pesalah yang mencuri berjuta ringgit harta kerajaan.

Bukan sahaja Ketua Menteri yang kalis siasatan, malah Jemaah Menteri Sabah juga kalis dari sebarang pertuduhan rasuah dan tidak pernah disiasat, melainkan melalui khabar angin sahaja. Kalaupun Musa Aman didatangi Pegawai Siasatan SPRM, hanya sekadar untuk berbasa basi yang dibalas dengan pengurniaan Pingat Kebesaran Negeri termasuk Datuk Seri Panglima ataupun Datuk ataupun ASDK yang lebih kurang bermaksud 'Angkat Semua Dua Kaki' atau remaja kita menggelarkannya sebagai 'Aku Suka Dengan Kamu'.

Untuk meyakinkan orang ramai, satu reformasi harus dilakukan iaitu sistem penyiasatan SPRM terhadap pemimpin politik UMNO dan pembangkang, mestilahlah dibuat dari satu badan berkecuali, bukan terdiri daripada kaki tangan Kerajaan yang boleh dipengaruhi dari pertalian persahabatan dan sama-sama cari makan dengan Kerajaan "you scratch my back, I punch your ribs". Tutup kes, maka jadilah "No case to answer" walaupun daripada 81 Dalil yang difailkan Datuk Dr Jeffrey Kitingan terhadap Musa Aman, sekurang-kurangnya 10 Dalil mempunyai asas yang kukuh untuk pendakwaan.

Ironinya, Menteri Besar Selangor, Kerajaan Pakatan Rakyat yang menyedekahkan lembu korban pula akan dituduh rasuah, sehingga Tan Sri Khalid mahu mengganti  kereta lama pun dituduh menyalahguna kuasa, namun SPRM di Sabah hanya membisu seribu bahasa apabila melihat kapal di laut, pesawat di udara dan Gedung harta di Darat serta Kayu balak di rimba semuanya milik Musa Aman dan kroni, sedangkan gajinya sekadar mampu beristeri dua dan memiliki harta ala kadar yang setaraf dengan Ninja King atau Kong.

Kewibawaan SPRM sebagai sebuah badan berkecuali kini sangat diragui oleh rakyat Malaysia, begitu juga dengan polis yang tidak lagi diyakini rakyat, kerana mereka tidak menjalankan penyiasatan ke atas semua harta Datuk Seri Musa Aman di Singapura, Hong Kong, Australia dan sebagainya kerana sebelum menjadi Ketua menteri Sabah, beliau telah mengisytiharkan diri bernilai RM300 Juta atau 'Three Hundred Million Dollar Man' lebih hebat daripada siri TV, 'Six Million Dollar Man'.

 

Namun menurut sumber yang dipercayai, saya bersyukur kerana Musa Aman adalah salah seorang yang terkaya di Asia dengan asset luar negara bernilai USD 16 Billion, namun tidak diisytiharkan. Hanya Allah dan orang tertentu sahaja yang tahu! Kalau tidak percaya tanya Richard Barnes atau Michael Chia. Mungkin Daud Tampokong pun tahu tetapi buat-buat tidak tahu.

   

Bukankah lebih baik jika Kerajaan Malaysia melantik Badan Bebas atau pihak berkecuali untuk menyiasat mereka yang berpengaruh seperti 'Raja Bersiong'  Musa Aman; terutama tokoh yang dipercayai masyarakat antaranya, Tan Sri Lee Lam Thye dan Professor Khoo Kay Kim untuk mengulangi penyiasatan yang dibuat oleh kakitangan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang selama ini amat diragui ketelusannya?

Kes paling menjolok mata ialah pemilikan bangunan Wisma Bandaraya oleh Musa Aman dan Isterinya yang disewakan oleh Kementerian Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Sabah serta subsidiarinya; sedangkan pada dasarnya Musa menyedarinya tugasnya sebagai Menteri Kewangan ialah memastikan semua sewa bangunan kerajaan negeri dibayar oleh Kementerian Kewangan dan wang tersebut masuk ke koceknya!.

Ramai rakyat mendesak agar Panel Khas yang dilantik turut menyiasat jasa-jasa Datuk Seri Ahmad Said Hamdan kepada Negeri Sabah sehingga dikurniai pingat Seri Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (S.P.D.K) tidak lama setelah beliau selesai membuat penyiasatan ke atas Datuk Seri Musa Aman yang bukan sahaja didapati BERSIH daripada sebarang Skandal rasuah, malah berbau bersih daripada sebarang skandal lain di Sabah.

Kemungkinan keberangkalian kalau Musa Aman menyedekahkan sejuta lembu menggunakan wang kerajaan negeri untuk dikorbankan sekalipun beliau akan tetap kekal bersih, kelihatan bersih dan berbau bersih. Itulah kehebatan Musa Aman yang tidak dimiliki oleh Semua Menteri Besar atau Ketua Menteri di Malaysia. Wallahualam!

 

23 August 2009

BUKU ‘LEST WE FORGET’ SATU POLEMIK BUAT RAKYAT SABAH

PELANCARAN buku 'Lest We Forget' atau 'Jangan Kita Lupakan' karya Dr Chong Eng Leong oleh Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim malam semalam di Restoran Atlantis, Bundusan, Kota Kinabalu telah memulakan satu titik baru polemik keselamatan dan kedaulatan di Sabah yang dipertikaikan rakyat Sabah selama ini.

Dalam kenyataan ringkasnya semasa pelancaran buku ini, Zaid menyifatkan buku ini sebagai 'isihati' rakyat Sabah yang perlu ditelaah dan ditunaikan bukan sahaja janji 20 perkara, malah secara berseloroh mengesa BN menunaikan 50 perkara penting yang belum pernah dilaksanakan Kerajaan BN selama ini termasuk janji pembangunan, ekuiti dan royalti minyak.

Walaupun buku ini ringkas dan boleh dibaca dalam tempoh 30 minit sahaja, namun memerlukan penyelesaian yang beratus tahun kerana Kerajaan Barisan Nasional tidak menampakkan sebarang 'political will' untuk menumbuhkan keyakinan rakyat, malah membiarkan krisis perlembagaan yang bersangkutan dengan Keselamatan dan Kedaulatan di Sabah, seperti seadanya dan enggan diubah sekalipun berpeluang melakukannya secara tuntas.

Pengerusi Yayasan Warisan Borneo (BHF), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dalam ucapannya sebelum pelancaran buku berkenaan mendedahkan 'niat jahat' Kerajaan BN terhadap rakyat Sabah yang telah membentuk Negara Malaysia dan menyifatkan penerbitan buku 'Lest We Forget' sebagai tindakan nekad 'Anak Jati Sabah' untuk membela maruah 'Ibu Pertiwi' yang dicabul 'Pendatang Tanpa Izin' dengan restu Kerajaan BN.

Menjurutera semula semua masalah yang dibangkitkan dalam beberapa buah buku MUTALIB M.D antaranya, IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC PROJEK-Agenda Tersembunyi Mahathir? dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir? serta buku Justice For Sabah karangan Datuk Dr Jeffrey Kitingan, buku 'Lest We Forget' yang dihidangkan secara santai tetapi membawa persoalan yang berat isu dan sarat dengan agenda.

Isu keselamatan yang meranjau kehidupan rakyat Sabah akibat kehadiran ratusan ribu warga asing tanpa dokumen dan isu kedaulatan yang merampas hak asasi rakyat jati Sabah oleh 'Warga Terapung' dari Filipina dan Indonesia sehingga mereka tidak mempunyai kata putus untuk memilih kerajaan, menubuhkan kerajaan atau menurunkan kerajaan yang zalim kerana kuasa undi mereka berada di tangan pendatang asing tanpa izin yang telah diizinkan memiliki Mykad atau dokumen pengenalan diri Malaysia ketika hari pengundian.

Misteri kehadiran begitu ramai warga asing telah dibuktikan dengan beberapa teori terutama yang dilengkapi dengan fakta demografi yang sukar untuk diberi jawapan oleh Pakar Sosiologi dan Antropologi dari mana-mana universiti di dunia kerana pertubuhan mendadak penduduk bumiputera lain di Sabah sehingga 631 peratus adalah tidak masuk akal.

Walaupun buku ini setebal 194 muka surat yang disaratkan dengan bukti sekunder berbentuk fakta dan keratan akhbar, namun persoalan yang dimuatkan dalam lima bab buku Dwi Bahasa (Inggeris-Melayu) ini amat sarat dan membuatkan 'denyutan nadi' kita semakin pantas dan mampu melumpuhkan urat saraf bagi mereka yang tahu berfikir tentang bahaya yang sedang ditempah atau meranjau kehidupan masyarakat Sabah.

Buku terbitan sulung Yayasan Warisan Borneo (BHF) dijual dengan harga RM15 sebuah dan boleh dipesan terus daripada Sabahkini.net atau dibeli daripada Book and Magazines, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mulai 25 Ogos 2009.

Naib Presiden SUHAKAM, Tan Sri Simon Sipaun dalam Prakata buku ini melakukan servis kuda kerana telah berjaya menukarkan cogankata jolokan 'the land below the wind' sebagai 'the land of illegal immigrant' sehingga mengklasifikasikan isu 'Pendatang Tanpa Izin' atau 'Diizinkan' melalui 'Pintu Belakang' ini sebagai 'Ibu Kepada Segala Masalah Di Sabah.

Dalam frasa akhir buku tersebut, Dr Chong melampiaskan kegelisahannya bagaikan melantak paku keranda terakhir dengan berkata;

"Sabah mengambil bahagian dalam pembentukan Malaysia pada 1963 kerana keamanan dan kedaulatan Sabah dalam Malaysia akan terjamin. Pendedahan oleh SUHAKAM telah menyokong fakta-fakta yang dihuraikan secara terperinci dalam buku ini. JPN dengan arahan pihak berkuasa telah memperbodoh dan memperlekehkan rakyat Sabah selama ini, tidak menghormati 'Cobbold Commission Report', 'Inter-Government Committee (IGC) Report' dan 'Malaysian Agreement'. Sebenarnya, tanpa cadangan-cadangan yang telah disebutkan dalam laporan dan perjanjian tersebut, mungkin tidak wujud Negara Malaysia."

 

Ehsan: www.sabahkini.net


“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia