Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

19 January 2010

FELDA NAIKKAN HARGA GULA?

HARGA gula di seluruh negara naik mendadak sebaik saja FELDA (Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan) membeli semua kepentingan pengusaha komoditi itu daripada Kuok Brothers baru-baru ini.

Keadaan sedemikian sangat mendukacitakan lebih-lebih lagi kerana FELDA merupakan agensi Kerajaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun.

"Kuok Brothers pernah memberi jaminan tidak akan naikkan harga gula dan mereka menepati jaminan itu bertahun-tahun lamanya tetapi FELDA sebuah agensi Persekutuan selang beberapa hari saja sudah naikkan harga barang keperluan itu," katanya.

Eric selaku Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berucap pada majlis perasmian empat cawangan baru SAPP, Pogunon dan Kimoligan, semuanya berada dalam kawasan Parlimen Penampang.

Presiden SAPP yang juga bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee menyempurnakan majlis itu.

Hadir sama Timbalan Presiden SAPP Datuk Liew Teck Chan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong, Ketua Pemuda Edward Dagul, Ketua Penerangan Chong Pit Fah, Naib Presiden Don Chin Hon Kiong, Pembantu Setiausaha Agung Foo Fook Ming dan beberapa pemimpin parti.

Gula di sekitar Kota Kinabalu diniagakan pada harga RM1.70 sekilogram. Sebelum ini gula dijual pada harga RM1.55 sekilogram di Ibu Negeri.

Teck Lee berkata, kenaikan harga barang sudah pasti menambah beban rakyat Sabah yang merupakan termiskin di negara ini.

"Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal diperkenalkan Kerajaan Persekutuan akan menjadikan harga barangan di Sabah jauh lebih mahal. Pada masa ini harga barangan di Sabah lebih mahal berbanding di Semenanjung dan pengenalan GST itu bakal menyebabkan harga barangan di negeri ini bertambah mahal lagi," katanya.

Katanya, pengenalan GST itu adalah satu musibah bagi rakyat Sabah kerana dalam keadaan kemiskinan terpaksa membayar harga barangan jauh lebih tinggi berbanding dengan penduduk di Semenanjung.

Katanya, sebungkus Milo seberat 1kg di Sabah dijual pada harga RM14.49 manakala di Semenanjung harga minuman itu hanya RM12.58 saja.

"Susu kanak-kanak Dutch Lady seberat satu kilogram berharga RM23.79 di Sabah tetapi hanya berharga RM17.88 di Semenanjung. Ayam diproses jenama Ayamas di Sabah berharga RM12.99 setiap kilogram tetapi berharga RM7.98 di Semenanjung.

"Sabun pencuci jenama Ekonomi Handalan seberat 2.5 kilogram di Sabah berharga RM10.59 tetapi hanya berharga RM7.50 di Semenanjung. Sekotak (5x80g) mi segera jenama Mamee berharga RM4.19 di Sabah dan hanya berharga RM3.28 di Semenanjung.

"Tayar kereta jenama Silverstone berharga RM259 sebiji di Sabah tetapi hanya berharga RM247 di Semenanjung manakala tayar lori jenama Silverstone berharga RM465 sebiji di Sabah berbanding di Semenanjung hanya RM435 sebiji," katanya.

Katanya, perbandingan harga itu direkodkan oleh Don Chin Hon Kiong.

Beliau seterusnya berkata, harga barangan itu dan banyak lagi barangan lain di seluruh Sabah akan naik sebanyak 4 peratus lagi apabila GST dilaksanakan.

"GST bermakna rakyat Sabah sudahlah termiskin di negara ini tapi terpaksa membayar harga barangan bukan kawalan jauh lebih tinggi dari harga semasa yang sudahpun mahal berbanding Semenanjung," katanya.

Katanya, harga barangan di Sabah mahal kerana Kerajaan Persekutuan tidak benarkan kapal dari luar negara berlabuh di pelabuhan-pelabuhan sekitar Negeri ini.

Beliau berkata, kapal dari luar negara dimestikan berlabuh dan menurunkan barangan di Pelabuhan Klang dan barangan itu kemudiannya diangkut kapal tempatan ke pelabuhan-pelabuhan di Sabah.


“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia