Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

20 March 2010

Royalti Minyak 20 Peratus: Hak Sabah yang telah lama dinafikan

"Anwar memberitahu, antara agenda pakatan pembangkang yang akan dijelaskan ialah mengenai royalti minyak yang perlu dinaikkan kepada 20 peratus bagi Sabah, Sarawak dan Terengganu memandangkan semua negeri tersebut kebetulan merupakan negeri termiskin."

Membaca kenyataan ini bagi anak-anak Sabah, Sarawak, dan Terengganu yang telah lama memperjuangkan tuntutan menaikkan royalti minyak, sudah pasti berasa sedikit gembira kalaupun tidak sangat gembira.

Berita yang sudah lama dinanti-nantikan ini pastinya suatu perkhabaran yang indah untuk menjadi halwa telinga mereka yang telah lama merasa tertindas di tanahair sendiri.

Jika hendak mengharapkan kerajaan sekarang ini, bolehlah dikata bagaikan bermimpi di siang hari, 5% pun kalau boleh ada yang hendak cilok. Adalah sangat tidak patut Negeri Sabah dan Terengganu yang kaya dengan hasil minyak jadi negeri termiskin di Malaysia..

Kami tidak mengharap untuk jadi negeri terkaya tetapi memadailah sekiranya rakyat Sabah mendapat peluang pekerjaan dengan gaji yang mampu untuk menyara diri dan keluarga. Tidak perlulah anak-anak Sabah berhijrah beramai-ramai ke Semenanjung seperti yang berlaku pada hari ini demi untuk mencari peluang rezeki yang lebih terjamin. Kehidupan anak-anak Sabah sekadar untuk hidup sahaja kerana walaupun pendapatan lebih lumayan sekiranya bekerja di semenanjung, wang yang dikumpul bertahun apabila dibawa balik ke Sabah paling lama pun akan bertahan hanya sebulan sahaja. Dengan kos tambang pergi balik sahaja menyamai gaji 2,3 bulan yang diperolehi di semenanjung bagi yang telah berkeluarga. Bukankah perkara ini boleh menjejaskan hubungan dalam institusi kekeluargaan yang dilaung-laungkan oleh kerajaan. Memadaikah bagi orang tua di kampung berhubung dengan anak-anak yang jauh di mata dengan hanya menggunakan telefon? Itu pun sekiranya di kampung tersebut ada talian telefon.

Bagi mereka yang pernah ke Sabah pastinya tahu bagaimanakah keadaannya di sana, betapa jauhnya Sabah tertinggal dari arus pembangunan yang deras memacu ekonomi di semenanjung.

Simpati juga saya hulurkan kepada rakyat Terengganu yang mengalami nasib sama tak serupa dengan rakyat Sabah. Sudahlah royalti hanya lima peratus, itu pun hendak dinafikan oleh kerajaan Persekutuan dengan pembayaran wang ehsan kononnya.

Saya tidak tahu, siapa yang lebih malang antara Sabah dan Terengganu, tetapi yang pastinya kedua-dua negeri ini memang malang kerana mempunyai hasil bumi yang kurang dinikmati oleh anak-anak negerinya. Perkara ini boleh diumpamakan seperti 'itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan'.

Tuntutan untuk menaikkan royalti minyak ini bukanlah sesuatu yang baru bagi parti-parti politik Sabah. Inilah yang menjadi modal setiap kali pilihanraya tetapi malangnya tidak pernah mendapat jawapan yang menggembirakan dari pihak kerajaan persekutuan.

Dahulu kita dikejutkan dengan berita penahanan Datuk Dr Jeffrey Kitingan di bawah ISA atas tuduhan hendak membawa Sabah keluar dari Malaysia. Kenapa timbul soal begitu sekiranya Sabah hidup aman makmur di dalam Malaysia.

Rakyat mana yang akan berpuas hati sekiranya terasa negeri mereka dijajah, apa bezanya di bawah penjajahan British dahulu, hasil bumi dibawa balik ke England walaupun British mendakwa akan memajukan tanah jajahannya, bandingkan dengan situasi yang berlaku sekarang.

Kemanakah perginya hasil bumi Sabah yang kaya itu? Saya tidak sanggup pula andainya wujud Gerakan Sabah Merdeka seperti Gerakan Acheh Merdeka kerana tindakan sebegitu bukanlah jalan penyelesaian yang baik untuk rakyat. Tetapi siapakah dapat menghalang andainya kesedaran membela tanahair semakin membara di jiwa kami anak-anak Sabah andainya jalan diplomatik tertutup rapat pintunya.

Kerana bagi saya Anak Sabah Anak Malaysia, maju mundur biarlah bersama. Tiadalah namanya Malaysia andai tiada penyertaan Sabah dan Sarawak.

Nota: Ini adalah satu artikel lama yang saya tulis pada 2 tahun yamg lepas (24 April 2008) dan pernah dipaparkan di blog ini. Semasa saya menulis artikel ini, saya masih berada di semenanjung dan baharu sahaja berjinak-jinak dengan penulisan blog.

Artikel ini sengaja di paparkan semula bagi mengingatkan semua pembaca amnya dan anak-anak Sabah khasnya, betapa selama ini hak kita telah dinafikan, pemaparan semula ini juga bersesuaian dengan keadaan semasa iaitu RAKYAT SABAH AKAN MENDENGAR SENDIRI PENERANGAN MENGENAI PERJANJIAN PEMBAHAGIAN ROYALTI MINYAK SABAH OLEH YANG BERHORMAT MULIA TENGKU RAZALEIGH HAMZAH, CEO PETRONAS YANG PERTAMA PADA 2 APRIL 2010.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini, sering-seringlah berkunjung ke blog ini dan juga laman sabahkini.net.

Sesuai dengan motto blog ini,PERJUANGAN KEADILAN DAN HAK RAKYAT, HAPUSKAN DISKRIMINASI, blog ini akan bergabung tenaga dengan para blogger dari Persatuan Blogger Sabah yang diketuai oleh saudara Mutalib MD untuk memberikan sedikit info mengenai HASIL BUMI SABAH yang telah dinafikan kepada rakyat Sabah dulu, kini, dan harapnya TIDAK pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment


“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia