Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

20 March 2010

Persatuan Blogger Sabah Dan Royalti Minyak Sabah

Alhamdulillah, akhirnya pertemuan dengan beberapa nama besar dalam dunia penulisan blog di Sabah yang sememangnya dihajatkan dapat jua terlaksana. Tanggal 19 Mac 2010 menyaksikan para blogger Sabah dipertemukan dalam satu mesyuarat ringkas tetapi amat bermakna kepada semua. Walaupun pertemuan yang diaturkan berlangsung hanya di sebuah 'Curry House' tetapi dapatan yang terhasil akan membawa satu impak besar kepada komuniti blogger Sabah dan juga rakyat Sabah secara amnya.

Bertentang mata, bersahut bicara, bertukar idea dengan para 'otai' blogger Sabah yang diketuai saudara Mutalib MD, dan disertai tokoh dan penulis blog dari pelbagai lapisan masyarakat dan usia seperti Datuk Halik Zaman, Saudara Musli Oli, OKK Asnar Ibrahim, Jabar Khan, Abdullah Sani, juga para blogger muda seperti adik Adam Danial Jendy dan Zul Qairul Nizam yang masih dibangku persekolahan (sekadar menyebut beberapa nama)telah memberikan satu semangat baru kepada saya secara peribadi untuk lebih menumpukan perhatian kepada penulisan blog ini.

Pertemuan yang dirancang Persatuan Blogger Sabah ini bukanlah sekadar satu pertemuan untuk berbicara dan minum-minum kopi sahaja tetapi ia merupakan satu wadah untuk membicarakan agenda-agenda penting bukan sahaja kepada komuniti blogger di Sabah tetapi juga berlanjutan kepada kepentingan mempertahankan hak-hak rakyat Sabah keseluruhannya.

Datuk Halik Zaman dalam alu-aluannya menyatakan blogger bukan sekadar seorang penulis yang menghasilkan tulisan-tulisan remeh tetapi juga telah terbukti mempunyai peranan dalam menukar tampuk pemerintahan di beberapa buah negara-negara besar. Ucapan beliau itu membuktikan betapa tajamnya bicara susunan aksara yang diaturkan oleh seseorang blogger, apatah lagi sekiranya para blogger itu bergerak secara berpadu dalam satu komuniti.

Presiden Penaja Persatuan Bloggers Sabah, Mutalib MD, dalam ucapannya di hadapan puluhan Bloggers daripada seluruh Sabah di Kota Kinabalu kelmarin, menyatakan bahawa tugas utama para Bloggers Sabah bukan sahaja memastikan Kerajaan memajukan Negeri Sabah, tetapi punya tanggungjawab besar untuk membongkar segala penyelewengan para pemimpin dalam melaksanakan tugas mereka sebagai ‘Duta Rakyat’ dan ‘Khadam Rakyat.’

"Sabah memerlukan para Bloggers yang jujur memberi laporan, mengkritik, mengulas dan membuat analisa bukan kerana cemburu dan iri hati atau ada dendam kesumat di sebalik fakta yang disembunyikan, tapi ia mestilah berdasarkan bukti dan kenyataan yang sebenarnya,” tegas Mutalib MD lagi.

Majoriti blogger yang hadir dalam pertemuan tersebut menyatakan persetujuan atas cadangan saudara Mutalib MD untuk mendaftarkan Persatuan Bloggers Sabah sebagai sebuah pertubuhan yang berdaftar. Setiap blogger yang hadir telah diberikan peluang untuk memberikan idea dan pandangan mereka mengenai cadangan tersebut.

Persatuan Blogger Sabah juga membicarakan satu lagi agenda penting yang merupakan tarikan utama kepada kehadiran ramai blogger dalam pertemuan tersebut iaitu mengenai penganjuran ceramah dengan cadangan tajuknya 'Minyak Sabah Untuk Siapa' (tajuk sebenar belum ditetapkan). Ceramah yang akan diberikan oleh Yang Berhormat Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah selaku individu yang bertanggungjawab dalam perjanjian mengenai royalti minyak Sabah dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas yang pertama ini akan mendedahkan mengenai perkara-perkara yang sepatutnya mesti diketahui oleh setiap anak-anak Sabah tetapi tersembunyi dari pengetahuan kita semua selama ini.

Persatuan Blogger Sabah akan bekerjasama dengan para Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ada di Sabah untuk menganjurkan ceramah umum ini. Sehubungan dengan itu Persatuan Blogger Sabah telah mengadakan satu lagi mesyuarat yang dilangsungkan pada sebelah malam di Hotel De Leeton, Kota Kinabalu, untuk berbincang dengan para wakil NGO yang bersetuju untuk menjadi penganjur bersama ceramah itu nanti. Bagi yang berminat untuk mengikuti perkembangan mengenai perkara ini diharapkan memantau blog ini atau laman sabahkini.net untuk mendapatkan perkembangan mutakhir.

Tahniah diucapkan kepada semua blogger yang telah berjaya meluangkan masa untuk hadir dalam kedua-dua pertemuan tersebut, insya Allah kita akan bertemu lagi dan diharapkan pertemuan akan datang dapat diatur lebih rapi dan teliti agar lebih ramai blogger dapat hadir untuk kita saling kenal-mengenali dalam dunia nyata.

1 comment:


“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia