Blog Anak Sabah Anak Malaysia mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal @ Merry Christmas kepada semua pembaca yang beragama Kristian.
WESTON: Penduduk Weston dan Kampung Lubok melahirkan rasa tidak puas hati dan marah terhadap keupayaan Jabatan Air setelah lebih sebulan tidak mendapat bekalan air.
Rasa tidak puas hati penduduk itu dapat digambarkan berdasarkan kepada kertas-kertas yang ditulis dan dilekatkan di premis kedai Pekan Weston pada Selasa.
Terdapat lebih kurang 300 buah rumah dengan bilangan penduduk hampir lima ribu orang tidak termasuk lebih seribu orang penduduk di Kampung Lubok telah terjejas sejak bulan lalu apabila bekalan air terputus.
Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, kesengsaraan ini lebih di rasakan oleh penduduk yang tinggal di kampung atas air yang terpaksa menggunakan air sungai yang masin untuk mencuci peralatan dapur, pakaian dan mandi kerana bantuan bekalan air yang dihantar menggunakan lori tidak sampai ke rumah mereka.
Bekalan air yang dihantar menggunakan lori tangki (tanker) Jabatan Air pun hanya berapa kali saja datang dalam sehari sedangkan terdapat 300 buah rumah di Pekan Weston dan hampir 100 buah di Kampung Lubok Weston dari bantuan ini jelas tidak mencukupi.
Beberapa penduduk juga memberitahu, jika alasan Jabatan Air bahawa pam loji rosak, maka kami boleh terima jika ianya berlaku sekali, tetapi kejadian seumpama ini sudah empat atau lima kali dalam setahun berlaku Menurut beliau pada bulan Ramadan lalu, sedang penduduk menjalankan ibadah puasa, bekalan air juga ‘berpuasa’ dan hanya pulih sehari sebelum hari raya.
Beliau berkata, paling menghairankan, jika pam loji rosak di Batu 60, mengapa pula sekitar pekan Beaufort, Kg Lumadan, Bukau dan Lingkungan bekalan air adalah seperti biasa dan tidak menghadapi masalah air.
Pada masa yang sama kebanyakan penganjur majlis perkahwinan melahirkan rasa kecewa akibat berlakunya masalah bekalan air sepanjang bulan ini yang telah menyebabkan majlis-majlis perkahwinan menjadi hambar.
Selain masalah bekalan air antara agensi yang turut bermasalah ialah Sabah Eletricity Sdn Bhd (SESB) apabila bekalan elektrik juga selalu saja terputus.
Sebagai contoh pada minggu lalu, sedang penduduk mengadakan majlis perkahwinan dalam acara berzanji dan malam berinai dijalankan ,bekalan elektrik telah terputus untuk beberapa jam menyebabkan majlis terganggu dan tertangguh.
Tinjauan New Sabah Times mendapati penduduk terpaksa membayar sewa lori RM25.00 untuk 300 liter air namun bagi mereka yang tidak mampu terpaksa bergantung kepada bekalan air hujan dan air sungai yang masin untuk kegunaan harian.
Sumber: New Sabah Times-17/12/2009
Agak pelik, tetapi benar.. Malang sungguh rasanya orang-orang Weston kerana bekalan air dari beaufort boleh dibekalkan sehingga jauh ke Labuan merentasi lautan. Ibarat kata pepatah Melayu "Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan".
Siapa yang harus dipersalahkan; adakah wakil rakyat? Jabatan Air? SESB? Wartawan yang melaporkan berita?
Apa pun jawapannya, siapa pun yang bersalah, penduduk Weston telah menjadi mangsanya. Oleh itu seharusnya satu tindakan segera perlu dilakukan demi merealisasikan slogan popular "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" dan bukannya slogan kurang popular "Projek diutamakan, Rakyat didungukan".
Assalamualaikum kepada tuan/puan
Mohon jasa baik kepada semua tuan/puan untuk mencari anak kawan saya telah hilang sejak 11 Nov 2009 dan minta forwardkan maklumat ini seberapa banyak yang mungkin, jasa baik tuan/puan dikenang.
Zainal Abidin - 019-2119119
Email asal dari ayahnya
Assalamualaikum,
Zainal, gambar anak Aiman Amanina berumur 16 tahun. Telah keluar dari rumah semenjak 11 Nov 2009. Dipercayai ada sekitar KL.
Wassalam.
Rahim - 019-2881788
Menurut pengadu yang mewakili empat buah kampung yang terlibat, ketiadaan air sejak bulan September lepas memaksa penduduk bergantung sepenuhnya dengan sumber air laut, air hujan dan juga air mineral yang dibeli dari mesin kiosk.
“Kami amat tertekan dengan situasi ini. Bagi penduduk yang tinggal berdekatan dengan laut mereka terpaksa menggunakan sumber tersebut walaupun air laut masin dan menyebabkan kulit gatal. Bagi kami yang tinggal jauh dari laut pula kami hanya mampu bergantung kepada air hujan, jika tidak ada hujan kami terpaksa membeli air mineral dari mesin kiosk bagi membolehkan kami menjalankan aktiviti harian seperti mandi dan memasak,” katanya.
“Kami masih boleh bersabar jika bantuan lori tangki air di hantar ke kawasan kami, tetapi sehingga ke hari ini kami belum pernah menerima bantuan dari lori tangki air tersebut…. Kami terus berharap agar ada air yang di hantar oleh Jabatan kepada penduduk namun harapan kami tidak pernah tertunai,” adunya dengan nada sedih.
Hairan dengan situasi yang sudah berpanjangan, pengadu mendakwa pernah menemui Jabatan Air Beaufort bertanyakan masalah berkenaan namun jawapan yang diberi ialah ‘pam rosak’.
“Kami cuba faham situasi mereka namun bagi saya sesiapapun yang berada di tempat kami pasti akan timbul rasa tidak puas hati. Bayangkanlah dalam setahun hampir empat atau lima kali perkara seperti ini berlaku dan jika ditanya alasan yang sama diberikan ‘pam rosak’,” ujarnya lagi.
“Kami cuma berharap agar perkara ini dapat diselesaikan segera sebelum ia bertambah teruk,” tambahnya lagi dengan harapan pihak yang berkenaan dapat mencari alternatif lain untuk membantu penduduk yang terlibat dengan masalah tersebut.
Jurucakap bagi Jabatan Air Beaufort ketika dihubungi oleh ActionLine mengakui sedia maklum akan masalah itu.
Menurut beliau kejadian tersebut dikatakan berpunca daripada kerosakan pam air di loji air Beaufort.
“Kami telah menerima banyak aduan yang sama tetapi kami hanya mampu memaklumkan bahawa terdapat kerosakan pada sebuah pam air sungai (Intake Pam) kami,” ulasnya sambil menjelaskan bahawa hanya terdapat lima buah pam air di loji air mereka; tiga daripada pam tersebut digunakan untuk menyedut air dari sungai dan dua buah lagi digunakan untuk membekalkan air bersih ke setiap tangki air di sekitar Beaufort.
Katanya, “Catuan elektrik yang kerap juga menyebabkan janakuasa elektrik kami tidak dapat menampung kuasa mesin pam air dan menyebabkan punca tekanan air semakin rendah di daerah ini dan akhirnya gagal memenuhi bekalan air bagi kawasan yang jauh seperti Weston… ”
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa kebocoran paip saluran juga sering berlaku disebabkan tindakan kontraktor cuci parit yang cuai dan kelewatan pihak kontraktor berkenaan memaklumkan kepada Jabatan Air Beaufort berhubung kebocoran menyulitkan lagi aliran air di daerah itu.
Menjawab kepada soalan berhubung bekalan air tangki yang tidak di hantar, beliau menjelaskan pembaikkan pam air tangki sedang dijalankan dan penghantaran segera akan dibuat sebaik sahaja pembaikian pam air tangki selesai.
“Untuk membantu masalah air penduduk daerah ini, pihak kami telah menyediakan paip untuk mengambil air secara percuma yang beroperasi 24 jam di hadapan pejabat Jabatan Air Beaufort. Buat masa ini kami sedang berusaha memperbaiki segala kesulitan yang berlaku,” jelasnya lagi.
Sumber- http://www.sabahdaily.com
Ini bukan cerita dongeng zaman dahulu kala tetapi realiti apa yang berlaku pada zaman RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN.. Paip air disediakan di hadapan pejabat air Beaufort sedangkan tahukah tuan/puan para pembaca bahawa jarak antara Kg. Weston dan Pekan Beaufort adalah jauh. Betulkah itu dapat membantu penduduk kg. Weston yang ketiadaan bekalan air???Salah satu punca ketiadaan air ialah disebabkan masalah bekalan elektrik yang sering dicatu, bukan saya yang kata, tetapi itulah kenyataan yang diberikan jurucakap Jabatan Bekalan Air Beaufort. Nampak seperti hendak jadi lagu "Bangau Oh Bangau" pula.. Saya malas hendak komen panjang-panjang kerana anda para pembaca lebih layak memberikan komen mengenai perkara ini..
KEMUNGKINAN besar mantan Naib Presiden PKR Kebangsaan Datuk Dr Jeffrey Kitingan tidak akan melayani apa-apa pun bentuk hasil keputusan ‘pelan damai’ yang diilhamkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) beberapa minggu lalu, yang menyebabkan Datuk Dr Jeffrey (DDJ) mendiamkan diri seketika sebagai menghormati kata dua DSAI yang mahukan DDJ terus berada dalam kepimpinan PKR.
Meskipun keputusan perbincangan di TVRC pada November 5,2009 yang dihadiri kira kira lebih 200 pemimpin akar umbi yang datangnya daripada bahagian bahagian ( kecuali Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Tawau tidak dapat hadir kerana kesuntukkan masa) rata rata memberi bayangan bahawa DDJ perlu menubuhkan parti baru sebagai kesinambungan perjuangan mereka sebelum ini, kerana merasakan bahawa PKR sudah tidak bertempat dihati mereka.
Malahan beberapa pemimpin bahagian tanpa segan silu dan tidak berselindung lagi menyuarakan pelbagai pandangan dan cadangan keperluan sebuah parti baru ditubuhkan adalah kerana setelah PKR yang sudah tidak relevan lagi digunakan sebagai landasan perjuangan untuk membetulkan ‘kecelaruan kuasa autonomi politik’ yang dipelopori Umno sehingga Sabah perlu mendapatkan restu Kuala Lumpur dalam pelbagai keputusan yang dikatakan ada persamaan dengan kepimpinan PKR.
Jika tidak keadaan yang sama akan terus berlaku sepertimana sekarang jika pun PKR yang membentuk kerajaan di Sabah. Kerana semuanya akan ditentukan KL termasuklah siapa akan menjawat Ketua Menteri kelak.
Dalam pada itu, DDJ sendiri difahamkan telah membayangkan akan berbuat sedemikian seandainya ‘pelan damai’ tidak membuahkan hasil maksudnya pendemokrasian kepimpinan PKR tidak berubah dan terus bertahan dalam sistem lama seiras dengan sistem yang ada dengan UMNO.
Menurut sumber rapat dengan kem DDJ, beberapa siri mesyuarat telah pun diadakan di Sokid Villa iaitu selepas perbincangan ‘pelan damai’ tamat tempohnya yang diberikan DDJ kepada MP Batu Tian Chua (Wakil perunding DSAI), dimana telah dihadiri kira kira 18 bahagian PKR yang masih setia dengan beliau telah membincang dan merumuskan hala tuju perjuangan parti baru yang mungkin akan memperolehi kelulusan rasmi pendaftaran seawal tahun depan (2010).
Sumber rapat dengan DDJ itu berkata, bahawa panel Peguam DDJ kini sedang beriya iya menanti pengumuman ROS berhubung pendaftaran parti baru itu, tetapi mereka pasti akan memperolehinya sekurang kurangnya Januari, 2010 jamin seorang daripada panel Peguam itu.
Sumber itu juga tidak memberitahu sama ada parti baru itu berstatus nasional atau state, tetapi hanya memberi andaian bahawa kemungkinan ia berstatus state. Bagaimana pun tambahnya lagi, imej kepimpinan parti baru sangat menarik kerana bukan sahaja ia dibarisi dikalangan professional dan korporat dari golongan muda, bahkan ia turut dibarisi dari pelbagai suku kaum yang ada di Sabah.
Teras perjuangan parti baru kemungkinan tertumpu kepada intipati ‘Deklarasi Tambunan’ dan memperjuangkan hak hak rakyat Sabah berbilang bangsa dan keturunan sepertimana yang terkandung didalam 20 Perkara.
Selain itu usaha membanteras RASUAH DAN PENYELEWENGAN, fokus perjuangan juga turut tertumpu kepada kaedah penyelesaian ekonomi yang semakin merudum diSabah, pengangguran, kemiskinan, dan mengkaji semula projek projek mega yang sedang dan telah dilaksanakan kerajaan BN yang tidak berstatus keutamaan ditangguhkan, jelas sumber itu.
Ketika ditanya satu soalan kepada sumber berkenaan sama ada parti baru yang bakal didaftarkan apakah ia akan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR) atau SAPP yang bukan dalam PR untuk menumbangkan BN pada PRU ke-13 sumber itu berkata, sudah tentu itulah misi dan visi parti baru pimpinan DDJ, kerana apa yang penting kerajaan BN dan Umno akan tumbang di Sabah.
Kepada soalan lain, apakah benar desas desus DDJ akan membawa parti baru itu untuk bersekongkol dengan BN pada atau selepas PRU13 sumber itu berkata, semua itu spekulasi semata mata kerana tiada kemungkinan akan berlaku, dimana DDJ telah mempersetujui kehendak dan suara barisan kepimpinan parti baru bahawa apa pun yang dilakukan beliau selaku Presiden hendaklah mendapat persetujuan suara 2/3 daripada akar umbi.
Sumber itu juga turut menepis beberapa andaian dari pihak tertentu yang tidak bertanggung jawab yang sengaja merendah rendahkan kredibiliti DDJ kononnya DDJ sudah hilang sokongan masyarakat KDM malah DDJ dianggap seorang pemimpin yang tidak boleh diharap, semua itu adalah kata kata bagi mereka yang dalam barisan ‘seteru politik’ dengan DDJ yang hanya mewakili dirinya sahaja.
Tambahnya lagi, kita akan lihat dan saksikannya sendiri apabila tiba masanya nanti dimana di situ kita akan lihat dan kagum dengan perjuangan pelapis muda sudah berada di barisan hadapan untuk sama sama berjuang dengan DDJ bagi menentukan hala tuju dan masa depan generasi muda kita di negeri di bawah bayu Sabah yang suatu ketika dahulu sebuah negeri yang kaya dan aman damai.
Ditulis oleh: GONOD http://www.sabahkini.net