Mykad atau kad pengenalan yang menggunakan Chip 64K yang ditaksirkan sebagai kad pengenalan bermutu tinggi,berkualiti dan termahal di Asia Tenggara, sebenarnya tidak ubah seperti ikan kering yang berbau hapak!
"Saya mana tahu kenapa jadi begini? Sepanjang masa dalam dompet sahaja. Tapi tengoklah sendiri, betul-betul macam ikan kering yang berkulat dan berulat," ujar Padli Shahibon yang menetap di Taman Pantai Lok Kawi, Kinarut, Papar.
Menurut Padli, beliau telah menjaga kad pengenalannya dengan baik tetapi mungkin kualitinya yang rendah, maka mykad yang dibanggakan Kerajaan Malaysia berkenaan mudah rosak dan tidak berkualiti langsung.
Kata Padli, beliau beberapa kali digertak polis kerana kad pengenalannya dituduh sebagai kad pengenalan palsu.
"Saya anak jati Sabah dan berasal dari Kota Belud. Kalau mykad yang rosak kenapa saya pulak mau ditangkap," ujar Padli yang telah beberapa kali ke pejabat Pendaftaran Negara untuk menukarkan mykadnya tetapi disebabkan beliau tidak mempunyai masa untuk menunggu maka ianya masih tertangguh.
Padli menggesa agar Jabatan Pendaftaran Negara Sabah menyediakan program khas bagi membolehkan mereka menukarkan mykad yang rosak tanpa perlu menunggu lama.
"Jika mereka boleh membuka pejabat pada hari minggu untuk mendaftar kad pengenalan hijau untuk warga asing, tetapi tidak boleh buka kaunter khas untuk rakyat tempatan menukarkan mykad mereka yang rosak," ujar Padli yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kontraktor yang membekalkan kad plastik kepada JPN kerana dikhuatiri tidak bermutu.
Kata Padli, bukan beliau sahaja yang mengalami kerosakan kad pengenalan, malah ribuan rakyat Sabah menghadapi masalah serupa terutama meletakkan mykad mereka di dalam dompet kulit.
Oleh itu, kata Padli, beliau tidak hairan jika ramai pendatang tanpa izin memiliki mykad palsu dan kad pengenalan projek disebabkan mykad yang mudah dipalsukan atau mudah didapati dengan memalsukan keterangan diri.
No comments:
Post a Comment