Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

26 September 2008

BPR DIGESA SIASAT PENDEDAHAN DATUK RAYMOND TAN

(Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin merujuk pendedahan Datuk Raymond Tan bekas Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 22 September 2008 mengenai campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya Datuk Seri Yong Teck Lee Presiden SAPP ditahan oleh pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) berikutan keputusan SAPP untuk melancarkan undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri beberapa bulan yang lepas. Pendedahan tersebut, sekiranya didapati benar, pastinya amat mengejutkan rakyat. Ini berikutan sebelum ini Abdullah acapkali menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencampuri sebarang urusan penyiasatan oleh mana-mana badan penguatkuasa negara malah berusaha untuk menjadikan badan-badan tersebut bebas dari sebarang campurtangan pihak pemerintah. Justeru, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dibaca, ratusan laporan rasuah yang pernah dikemukakan oleh AMK dan komponen Pakatan Rakyat lainnya ‘dibakul-sampahkan’ BPR biarpun ia mempunyai bukti dan melibatkan kepentingan rakyat terbanyak. Sebaliknya kes-kes meskipun tidak mempunyai asas, asal saja ianya melibatkan Pakatan Rakyat, BPR akan bertindak sepantas kilat. Pendedahan Raymond ini, sekaligus membuktikan bahawa dakwaan juak-juak Umno-BN bahawa Abdullah komited dan ikhlas memerangi rasuah adalah sesuatu yang tidak masuk dek akal. Ia juga secara tidak langsung membenarkan syak wasangka rakyat Malaysia mengenai campurtangan pihak-pihak tertentu di dalam kes-kes rasuah di negara ini. Sehubungan itu AMK menuntut supaya Abdullah memberikan penjelasan segera mengenai pendedahan Raymond tersebut kerana ianya menimbulkan persoalan yang munasabah mengenai campurtangan Perdana Menteri di dalam kes-kes tertentu. AMK juga menuntut penjelasan yang sewajarnya dari pihak BPR terhadap pendedahan yang dibuat oleh Raymond yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah. Sumber: www.politictoday.com

20 September 2008

Komponen BN wajar contohi SAPP

Oleh: Sahar Abdul Majid Sat | Sep 20, 08 | 9:17:18 am MYT KOTA KINABALU, 20 Sept (Hrkh) - Parti KeADILan Sabah menyifatkan keputusan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar dari Barisan Nasional (BN) satu tindakan berani dan wajar dicontohi oleh parti komponen lain dalam BN. Iklan Ketua Angkatan Muda Keadilan Sabah Abdul Razak Jamil berkata, tindakan yang diambil oleh SAPP itu merupakan tindakan berani menyatakan prinsip perjuangan parti dan ianya wajar dicontohi. Sambil menyambut baik keputusan SAPP itu, Razak yang juga merupakan seorang peguam muda berkata, langkah bijak parti itu telah menyebabkan BN Sabah mula goyah. Menurutnya,walaupun selama ini BN Sabah sering mendakwa parti itu amat kukuh dan sukar untuk digugat oleh mana-mana parti pembangkang, namun suasana politik ketika ini menolak tanggapan itu. "Walaupun BN Sabah menafikannya, namun apa yang berlaku sekarang ini ramai di kalangan ahli BN sama ada yang berjawatan ataupun ahli biasa bakal menyertai Pakatan Rakyat di negeri ini," kata Razak ketika dihubungi semalam. Sehubungan dengan itu, beliau mempelawa SAPP menyertai Pakatan Rakayat kerana dengan gandingan mantap itu, hak bersama dan hak rakyat Sabah dapat diperjuangkan dengan sebaik mungkin yang tidak diperolehi semasa berada dalam BN sebelum ini. Ketika ditanya sama ada Pakatan Rakyat Sabah telah membuat pertemuan dengan parti itu bagi membincangkan halatuju perjuangan rakayat selain mempelawanya menyertai Pakatan Rakyat,beliau berkata,"setakat ini belum ada apa-apa pertemuan yang dirancangkan dan kita menyerahkannya kepada pucuk pimpinan negeri tetang hal ini." Pada 17 September baru-baru ini, perkembangan politik Sabah melakar satu lagi sejarah baru dalam politik tanah air apabila SAPP bertindak keluar daripada BN selepas tidak lagi yakin dengan kepimpinan BN untuk membela rakyat. - Harakahdaily._
16 September
Tanggal 16 September telah pun berlalu, bagi mereka yang menantikan sesuatu peristiwa bersejarah (perubahan tampuk pemerintahan negara) berlaku pada tarikh itu, merasakan ia cuma satu hari biasa yang tidak membawa apa-apa makna.
Bagi saya sebagai Anak Sabah Anak Malaysia, tarikh itu tetap merupakan satu tarikh keramat setiap tahun. Kerajaan berubah atau tidak, siapa pun perdana menteri, 16 September tetap harus diraikan setiap tahun sebagai Hari Malaysia! Harapnya bukan 16 September 2008 sahaja Hari Malaysia diperingati dan dirayakan di Semenanjung seperti yang dilakukan oleh para pendukung Pakatan Rakyat. Semoga ia menjadi acara tahunan yang diraikan di seluruh negara bagi memperingati kelahiran sebuah negara Malaysia yang berdaulat.
Semoga impian melihat perayaan Hari Malaysia yang meriah di seluruh negara akan menjadi kenyataan. Saya berkeyakinan bahawa ia bukanlah impian saya seorang tetapi ia adalah impian seluruh Anak Malaysia yang sedar betapa penting dan bermaknanya tarikh tersebut selain tarikh 31 Ogos.
Politik Sabah
Yong Teck Lee dan SAPP (Parti Maju Sabah) akhirnya telah menunjukkan semangat Malaysia Boleh dengan mengumumkan untuk meninggalkan BN yang semakin rapuh ikatan antara komponennya. Walaupun SAPP tidak menyertai Pakatan Rakyat, yang pastinya BN telah kehilangan dua orang MP di parlimen.
Perbuatan Datuk Yong dan partinya itu walaupun tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari timbalan dan naib presiden SAPP, tetap menjadi tamparan hebat kepada BN, lebih-lebih lagi untuk menghadapi pilihanraya kecil Pensiangan.
Insya Allah, jika ada kelapangan saya akan turun ke Pensiangan bagi melihat secara langsung perjalanan kempen pilihanraya di sana nanti.

04 September 2008

16 September: Pandangan anak Sabah

16 September 1963, seluruh rakyat di Borneo Utara tanpa mengira kecil, besar, tua, muda pada masa itu bersama-sama rakyat Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bergembira meraikan kelahiran sebuah nama keramat iaitu MALAYSIA. Walaupun mendapat tentangan dari beberapa negara jiran, MALAYSIA tetap lahir dan akhirnya menjadi sebuah negara yang berjaya keluar dari kepompong negara mundur menjadi sebuah negara yang berdaya saing menuju kemajuan. Walaupun Singapura akhirnya meninggalkan Malaysia, namun negara bertuah ini tetap makmur dengan kepintaran para pemimpinnya... Itulah yang saya, dan kita semua rakyat Malaysia yang pernah baca sewaktu mempelajari mata pelajaran Sejarah di sekolah menengah.
Kira-kira 20 tahun yang lalu, semasa saya masih lagi seorang budak hingusan di sekolah rendah, pernah saya tertanya-tanya kenapa TYT (Tuan Yang Terutama Yang DiPertuan Negeri Sabah) menyambut harijadi pada dua tarikh yang berlainan dalam satu tahun, tiada siapa yang dapat memberikan jawapan yang saya mahukan (mungkin juga saya belum cukup memahami jawapan yang diberikan kepada saya pada masa itu). Mungkin pembaca dari semenanjung Malaysia juga tidak memahami apa yang saya perkatakan ini. Untuk pengetahuan pembaca, terutamanya yang berada di Semenanjung, tarikh 16 September setiap tahun adalah merupakan cuti umum di Sabah bagi menyambut harijadi TYT Sabah, dan kemudiannya harijadi sebenar TYT Sabah seperti yang tertera pada sijil kelahiran beliau juga akan diumumkan sebagai cuti umum bagi negeri Sabah. Sekali pun tidak pernah saya mendengar cuti umum pada 16 September adalah bagi memperingati hari Malaysia ditubuhkan.
Kini dengan sentuhan politik tiba-tiba tarikh itu menjadi sebuah tarikh keramat yang menjadi sebuah polemik antara Kerajaan BN dengan pimpinan barisan pembangkang yang lebih dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Jika setiap tahun 31 Ogos disambut dengan meriah sekali, 16 September hanyalah cuti umum harijadi TYT di Sabah. Tidak ada stesen TV yang berlumba-lumba menyiarkan dokumentari pembentukkan Malaysia yang juga merupakan hari kemerdekaan anak-anak Sabah dan Sarawak, atau sumbangan penyertaan Sabah dan Sarawak, serta fakta paling penting iaitu kelahiran sebuah nama baru di peta dunia yakni Malaysia. Jika ada yang berpendapat ianya telah dipelajari di sekolah dan tidak perlu diperbesarkan atau diingati setiap tahun, maka saya ingin mencadangkan 31 Ogos juga perlu diingati sekadar hari kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu/ Semenanjung Tanah Melayu. Memadailah ianya diumumkan sebagai cuti umum sempena hari keputeraan Rasmi SPB Yang DiPertuan Agung!
Kepada sesiapa yang tidak bersetuju dengan kenyataan saya dahulu bahawa warga Sabah mendapat layanan warga kelas kedua, inilah antara contoh yang paling ketara.
Sudah semestinya saya sebagai anak jati Sabah sangat-sangat bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan 16 September mendapat haknya yang telah dinafikan selama hampir 45 tahun. Inilah hak Anak Sabah Anak Malaysia yang seharusnya dituntut oleh bukan sahaja anak-anak Sabah dan Sarawak, tetapi juga saudara- saudari di semenanjung yang menggelarkan diri sebagai Anak Malaysia kerana JIKA TIADA PENYERTAAN SABAH DAN SARAWAK, JIKA TIADA 16 SEPTEMBER 1963, YANG WUJUD PADA HARI INI HANYALAH PERSEKUTUAN TANAH MELAYU, TIADALAH SEBUAH NEGARA YANG BERNAMA MALAYSIA.
Anak Sabah Anak Malaysia --- Lambunau.

16 September 2008 Pak Lah Gabra Dan Mula Dapatkan Simpati Pemimpin Sabah..?

Oleh zublizainordin

Tiba-tiba, media kerajaan 04 September 2008, melaporkan Abdullah Ahmad Badawi, semalam tiba di satu majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, di Kota Kinabalu, Sabah.Adakah ketibaan Abdullah Ahmad Badawi secara tiba-tiba ini, ada kena mengena dengan Agenda Rakyat Malaysia yang bakal tiba pada 16 September, 2008..? Khususnya, Ahli Parlimen, Yang Berhormat, Pemimpin, Parti, ada yang dari Barisan Nasional di Sabah, akan berpindah ke Pakatan Rakyat. Sumber dalaman memaklumkan, ketibaan Abdullah Ahmad Badawi di Sabah tidak ada kena mengena dengan 16 September, 2008. Ketibaan ini sekadar berbuka puasa, yang telah beberapa lama dirancangkan. Anjuran Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.Baiklah.Dalam pertemuan itu, Abdullah Ahmad Badawi meminta kerajaan negeri Sabah mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan sebagaimana yang telah diumumkan dalam bajet 2009.Ya, bajet yang hambar itu.Abdullah Ahmad Badawi juga menyatakan, dia akan melawat beberapa tempat lagi untuk memantau sendiri pelaksanaan projek pembangunan di Sabah.Negeri-negeri lain bagaimana? Tidakkah mendapat perhatian nan sama, atau mula dipinggirkan?Puas diteliti ucapan Abdullah Ahmad Badawi, namun apa yang dilaporkan semacam, tidak perlu dia ke Sabah. Di PutraJaya, boleh dibuat hebahan kepada semua pemimpin negeri seluruh Malaysia.Masih ada yang tertanya, Abdullah Ahmad Badawi kelihatan gabra, dan mahukan simpati para pemimpin di Sabah, supaya terpelihara survival politik peribadinya.Dari majlis yang sama, Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, dilaporkan berkata, kerajaan Sabah tetap kukuh.Lain macam sahaja bunyinya!Jadi majlis berbuka puasa ini tidak ada kena mengena dengan 16 September, 2008, Lah ya?Sila teliti apa kata Musa Aman, ketika berucap di majlis yang sama.Kerajaan Sabah yang dipilih menerusi mandat rakyat tetap kukuh dan tidak akan terjejas dengan keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Musa Aman menambah.Tidak perlulah kita asyik berpolitik, apatah lagi membuang masa dengan isu melompat, isu kerajaan baru pada 16 Sept, atau isu remeh-temeh politik yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu, terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR).Seterusnya, Musa Aman, sedikit "over" memperlantunkan pujian berikut kepada Abdullah Ahmad Badawi."Sesungguhnya, semua ini jelas membuktikan keikhlasan, keprihatinan dan komitmen tinggi kerajaan pusat, khususnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sabah."Ia juga sekaligus menggambarkan bahawa kerajaan pusat sememangnya sentiasa memberikan perhatian yang serius untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Sabah, sejak dulu, kini dan selamanya," tambahnya. Sememangnya benar, sumbangan Sabah kali ini, khususnya kepada Barisan Nasional pimpinan Abdullah Ahmad Badawi, mendapat majoriti, bukan dua per tiga, untuk membolehkan Abdullah Ahmad Badawi membentuk kerajaan.Namun kekerapan melawat dan memberi, semacam mengula-gula, sama ada gula-gula getah, atau seumpama, di Sabah, boleh menimbulkan dan menyebabkan rasa tidak puas hati di negeri-negeri lain.Terutama pembangunan yang tidak seimbang di seluruh Malaysia, dan ini satu daripada sebab kegagalan Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin.Satu lagi, ialah petanda bahawa Abdullah Ahmad Badawi kini, sedang mengikut rentak yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim. Ya, Anwar Ibrahim yang tahu bahawa ada pantauan dan intipan dibuat terhadap Ahli Parlimen, terutama mereka yang bertemu dan berbincang dengannya sehubungan 16 September, 2008. Adakah Abdullah Ahmad Badawi sedang gabra? Berjayakah jika ada tagihan simpati olehnya, dari para pemimpin Sabah..? Dalam hari yang sama, terdahulu SAPP telah mengecam permohonan maaf Mohd Najib Abdul Razak bagi pihak parti UMNO, sehubungan kenyataan Ahmad Ismail, yang sebelum ini didakwa "perkauman", sehingga laporan polis telahpun dibuat.Namun, Abdullah Ahmad Badawi, belum menangani isu ini, dan kelihatan belum memuaskan pihak SAPP. Semakin jelas petanda Abdullah Ahmad Badawi gagal mengekang ketibaan 16 September 2008, hari di mana Sabah merasa nostalgia menyertai penubuhan Malaysia 1963, dan barangkali akan nostalgia pula bila 16 September 2008, dihadiahkan sebagai cuti. Rujukan: SAPP Kata Umno Perlu Bertindak Tegas Terhadap Ahmad Ismail Dan Bukan Mohon Maaf http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=35701202. 03 September, 2008 23:47 PM Abdullah Minta Kerajaan Sabah Percepat Laksana Projek Pembangunan http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=35701403. 03 September, 2008 23:50 PM Kerajaan Sabah Tetap Kukuh, Kata Ketua Menteri http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=357015"


“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia