Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

04 September 2008

16 September: Pandangan anak Sabah

16 September 1963, seluruh rakyat di Borneo Utara tanpa mengira kecil, besar, tua, muda pada masa itu bersama-sama rakyat Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bergembira meraikan kelahiran sebuah nama keramat iaitu MALAYSIA. Walaupun mendapat tentangan dari beberapa negara jiran, MALAYSIA tetap lahir dan akhirnya menjadi sebuah negara yang berjaya keluar dari kepompong negara mundur menjadi sebuah negara yang berdaya saing menuju kemajuan. Walaupun Singapura akhirnya meninggalkan Malaysia, namun negara bertuah ini tetap makmur dengan kepintaran para pemimpinnya... Itulah yang saya, dan kita semua rakyat Malaysia yang pernah baca sewaktu mempelajari mata pelajaran Sejarah di sekolah menengah.
Kira-kira 20 tahun yang lalu, semasa saya masih lagi seorang budak hingusan di sekolah rendah, pernah saya tertanya-tanya kenapa TYT (Tuan Yang Terutama Yang DiPertuan Negeri Sabah) menyambut harijadi pada dua tarikh yang berlainan dalam satu tahun, tiada siapa yang dapat memberikan jawapan yang saya mahukan (mungkin juga saya belum cukup memahami jawapan yang diberikan kepada saya pada masa itu). Mungkin pembaca dari semenanjung Malaysia juga tidak memahami apa yang saya perkatakan ini. Untuk pengetahuan pembaca, terutamanya yang berada di Semenanjung, tarikh 16 September setiap tahun adalah merupakan cuti umum di Sabah bagi menyambut harijadi TYT Sabah, dan kemudiannya harijadi sebenar TYT Sabah seperti yang tertera pada sijil kelahiran beliau juga akan diumumkan sebagai cuti umum bagi negeri Sabah. Sekali pun tidak pernah saya mendengar cuti umum pada 16 September adalah bagi memperingati hari Malaysia ditubuhkan.
Kini dengan sentuhan politik tiba-tiba tarikh itu menjadi sebuah tarikh keramat yang menjadi sebuah polemik antara Kerajaan BN dengan pimpinan barisan pembangkang yang lebih dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Jika setiap tahun 31 Ogos disambut dengan meriah sekali, 16 September hanyalah cuti umum harijadi TYT di Sabah. Tidak ada stesen TV yang berlumba-lumba menyiarkan dokumentari pembentukkan Malaysia yang juga merupakan hari kemerdekaan anak-anak Sabah dan Sarawak, atau sumbangan penyertaan Sabah dan Sarawak, serta fakta paling penting iaitu kelahiran sebuah nama baru di peta dunia yakni Malaysia. Jika ada yang berpendapat ianya telah dipelajari di sekolah dan tidak perlu diperbesarkan atau diingati setiap tahun, maka saya ingin mencadangkan 31 Ogos juga perlu diingati sekadar hari kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu/ Semenanjung Tanah Melayu. Memadailah ianya diumumkan sebagai cuti umum sempena hari keputeraan Rasmi SPB Yang DiPertuan Agung!
Kepada sesiapa yang tidak bersetuju dengan kenyataan saya dahulu bahawa warga Sabah mendapat layanan warga kelas kedua, inilah antara contoh yang paling ketara.
Sudah semestinya saya sebagai anak jati Sabah sangat-sangat bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan 16 September mendapat haknya yang telah dinafikan selama hampir 45 tahun. Inilah hak Anak Sabah Anak Malaysia yang seharusnya dituntut oleh bukan sahaja anak-anak Sabah dan Sarawak, tetapi juga saudara- saudari di semenanjung yang menggelarkan diri sebagai Anak Malaysia kerana JIKA TIADA PENYERTAAN SABAH DAN SARAWAK, JIKA TIADA 16 SEPTEMBER 1963, YANG WUJUD PADA HARI INI HANYALAH PERSEKUTUAN TANAH MELAYU, TIADALAH SEBUAH NEGARA YANG BERNAMA MALAYSIA.
Anak Sabah Anak Malaysia --- Lambunau.

16 September 2008 Pak Lah Gabra Dan Mula Dapatkan Simpati Pemimpin Sabah..?

Oleh zublizainordin

Tiba-tiba, media kerajaan 04 September 2008, melaporkan Abdullah Ahmad Badawi, semalam tiba di satu majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, di Kota Kinabalu, Sabah.Adakah ketibaan Abdullah Ahmad Badawi secara tiba-tiba ini, ada kena mengena dengan Agenda Rakyat Malaysia yang bakal tiba pada 16 September, 2008..? Khususnya, Ahli Parlimen, Yang Berhormat, Pemimpin, Parti, ada yang dari Barisan Nasional di Sabah, akan berpindah ke Pakatan Rakyat. Sumber dalaman memaklumkan, ketibaan Abdullah Ahmad Badawi di Sabah tidak ada kena mengena dengan 16 September, 2008. Ketibaan ini sekadar berbuka puasa, yang telah beberapa lama dirancangkan. Anjuran Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.Baiklah.Dalam pertemuan itu, Abdullah Ahmad Badawi meminta kerajaan negeri Sabah mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan sebagaimana yang telah diumumkan dalam bajet 2009.Ya, bajet yang hambar itu.Abdullah Ahmad Badawi juga menyatakan, dia akan melawat beberapa tempat lagi untuk memantau sendiri pelaksanaan projek pembangunan di Sabah.Negeri-negeri lain bagaimana? Tidakkah mendapat perhatian nan sama, atau mula dipinggirkan?Puas diteliti ucapan Abdullah Ahmad Badawi, namun apa yang dilaporkan semacam, tidak perlu dia ke Sabah. Di PutraJaya, boleh dibuat hebahan kepada semua pemimpin negeri seluruh Malaysia.Masih ada yang tertanya, Abdullah Ahmad Badawi kelihatan gabra, dan mahukan simpati para pemimpin di Sabah, supaya terpelihara survival politik peribadinya.Dari majlis yang sama, Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, dilaporkan berkata, kerajaan Sabah tetap kukuh.Lain macam sahaja bunyinya!Jadi majlis berbuka puasa ini tidak ada kena mengena dengan 16 September, 2008, Lah ya?Sila teliti apa kata Musa Aman, ketika berucap di majlis yang sama.Kerajaan Sabah yang dipilih menerusi mandat rakyat tetap kukuh dan tidak akan terjejas dengan keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Musa Aman menambah.Tidak perlulah kita asyik berpolitik, apatah lagi membuang masa dengan isu melompat, isu kerajaan baru pada 16 Sept, atau isu remeh-temeh politik yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu, terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR).Seterusnya, Musa Aman, sedikit "over" memperlantunkan pujian berikut kepada Abdullah Ahmad Badawi."Sesungguhnya, semua ini jelas membuktikan keikhlasan, keprihatinan dan komitmen tinggi kerajaan pusat, khususnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sabah."Ia juga sekaligus menggambarkan bahawa kerajaan pusat sememangnya sentiasa memberikan perhatian yang serius untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Sabah, sejak dulu, kini dan selamanya," tambahnya. Sememangnya benar, sumbangan Sabah kali ini, khususnya kepada Barisan Nasional pimpinan Abdullah Ahmad Badawi, mendapat majoriti, bukan dua per tiga, untuk membolehkan Abdullah Ahmad Badawi membentuk kerajaan.Namun kekerapan melawat dan memberi, semacam mengula-gula, sama ada gula-gula getah, atau seumpama, di Sabah, boleh menimbulkan dan menyebabkan rasa tidak puas hati di negeri-negeri lain.Terutama pembangunan yang tidak seimbang di seluruh Malaysia, dan ini satu daripada sebab kegagalan Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin.Satu lagi, ialah petanda bahawa Abdullah Ahmad Badawi kini, sedang mengikut rentak yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim. Ya, Anwar Ibrahim yang tahu bahawa ada pantauan dan intipan dibuat terhadap Ahli Parlimen, terutama mereka yang bertemu dan berbincang dengannya sehubungan 16 September, 2008. Adakah Abdullah Ahmad Badawi sedang gabra? Berjayakah jika ada tagihan simpati olehnya, dari para pemimpin Sabah..? Dalam hari yang sama, terdahulu SAPP telah mengecam permohonan maaf Mohd Najib Abdul Razak bagi pihak parti UMNO, sehubungan kenyataan Ahmad Ismail, yang sebelum ini didakwa "perkauman", sehingga laporan polis telahpun dibuat.Namun, Abdullah Ahmad Badawi, belum menangani isu ini, dan kelihatan belum memuaskan pihak SAPP. Semakin jelas petanda Abdullah Ahmad Badawi gagal mengekang ketibaan 16 September 2008, hari di mana Sabah merasa nostalgia menyertai penubuhan Malaysia 1963, dan barangkali akan nostalgia pula bila 16 September 2008, dihadiahkan sebagai cuti. Rujukan: SAPP Kata Umno Perlu Bertindak Tegas Terhadap Ahmad Ismail Dan Bukan Mohon Maaf http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=35701202. 03 September, 2008 23:47 PM Abdullah Minta Kerajaan Sabah Percepat Laksana Projek Pembangunan http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=35701403. 03 September, 2008 23:50 PM Kerajaan Sabah Tetap Kukuh, Kata Ketua Menteri http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=357015"

23 August 2008

Zakat Fitrah Sabah Tertinggi di Malaysia

Zakat fitrah di Sabah mungkin yang tertinggi di negara ini selepas Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menetapkan kadar RM7.70 bagi setiap umat Islam yang bermastautin di negeri ini. Pengerusi MUIS, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, kadar tersebut berasaskan sukatan 2.7 kilogram beras yang dimakan oleh majoriti penduduk Sabah itu meningkat RM2.50 berbanding RM5.20 seperti yang ditetapkan tahun lalu. ``Kadar ini adalah sesuai dengan keadaan semasa termasuk peningkatan harga minyak, barangan makanan termasuk beras serta kos pengangkutan,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma MUIS, di sini hari ini. Sebelum ini beberapa negeri mengumumkan kadar zakat masing-masing yang turut meningkat berbanding tahun lalu. Kadar zakat fitrah bagi negeri Melaka ditetapkan RM6.30, Pahang (RM7.30), Kedah (RM7) dan Perlis (RM6). Syed Abas berkata, dengan peningkatkan kadar zakat fitrah itu, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan pada tahun ini kira-kira RM7.5 juta berbanding RM5.03 juta tahun lalu. Menurut beliau, MUIS melantik 31 amil di bawah majlis tersebut serta 1,900 amil tambahan untuk membantu mengutip zakat fitrah di seluruh negeri sepanjang bulan Ramadan nanti. Katanya, setiap mereka akan dibekalkan dengan kad kuasa bagi mengelak daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab menipu orang ramai dengan mengutip zakat secara tidak sah. ``Saya juga menyeru kepada semua amil agar menganggap tugas ini sebagai satu amanah Allah dan Rasulnya dan umat Islam keseluruhannya. Jauhkan diri daripada menjadikan tugas ini sebagai medan untuk mengaut keuntungan duniawi. ``Kita juga berharap para amil mempunyai sikap yang telus dan jujur dalam melaksanakan pungutan zakat ini demi memelihara keutuhan institusi zakat serta imej MUIS sendiri,'' katanya. Beliau memberitahu, pembayaran zakat fitrah tahun lalu melibatkan 976,621 orang meningkat 61,476 pembayar berbanding 915,145 orang atau 6.72 peratus berbanding tahun 2006. Jelas beliau, sepanjang tahun lalu, pihaknya mengagihkan zakat kepada lapan kategori penerima berjumlah RM18.8 juta dan pada bulan Ramadan sahaja sebanyak 24,848 terdiri daripada golongan fakir, miskin dan mualaf menerima agihan masing-masing. ``Pada tahun ini, kita memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta untuk diagihkan kepada fakir, miskin dan mualaf bagi memastikan mereka turut dapat membuat persiapan menyambut 1 Syawal dalam keadaan selesa dan gembira seperti orang lain,'' katanya. Mengenai pelantikan amil tambahan, beliau berkata, mereka adalah terdiri daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), penjawat awam, imam, ketua kampung, pemimpin masyarakat dan golongan orang perseorangan. Tambah beliau, mereka akan turut dibekalkan dengan resit rasmi zakat fitrah mengikut zon masing-masing dan MUIS akan menjalankan pemantauan bagi membanteras kegiatan amil yang tidak bertauliah
Sumber: Sabah-kita.net

Minyak oh minyak

Harga petrol RON97 turun 15 sen Kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen kepada 2.55 sen seliter berkuatkuasa hari ini. Pada masa ini, harga minyak petrol RON97 adalah RM2.70 seliter. Manakala harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter. Harga diesel pula diturunkan 8 sen, daripada RM2.58 kepada RM2.50 seliter. Penurunan harga bahan bakar itu berkuatkuasa mulai tengah malam ini. Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan semalam.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau: Jemaah Menteri hari ini telah mengambil keputusan untuk mempercepatkan tarikh penguatkuasaan pelarasan harga petrol baru. Keputusan ini diambil setelah mengambil kira penurunan harga minyak dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini serta peningkatan kadar inflasi ke tahap lebih tinggi pada bulan Julai 2008. Sehubungan itu, Kerajaan ingin mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON97 akan dikurangkan sebanyak 15 sen iaitu daripada RM2.70 seliter kepada RM2.55 seliter. Pada masa yang sama, harga runcit petrol RON92 akan dikurangkan sebanyak 22 sen iaitu daripada RM2.62 seliter kepada RM2.40 seliter. Harga-harga berkenaan ditentukan dengan mengambil kira harga sebenar petrol daripada 1 Ogos 2008 hingga 21 Ogos 2008, serta penetapan subsidi 30 sen seliter, untuk kedua-dua RON97 dan RON92. Di samping itu, Kabinet juga mengambil keputusan untuk mengurangkan harga runcit diesel sebanyak 8 sen seliter, iaitu daripada RM2.58 seliter kepada RM2.50 seliter. Berdasarkan harga RM2.50 seliter ini, subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan untuk diesel ialah sebanyak 50 sen setiap liter. Pelarasan harga runcit petrol dan diesel ini akan berkuatkuasa mulai esok, 23 Ogos 2008. Sebagaimana yang diumumkan hari ini, Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan Julai 2008 berbanding Julai 2007 meningkat pada kadar 8.5 peratus. Adalah menjadi harapan Kerajaan agar pengurangan harga petrol dan diesel ini akan dapat membantu meringankan beban pengguna serta mengurangkan tekanan inflasi, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Keputusan Kerajaan ini juga dibuat berdasarkan perkembangan ekonomi semasa. Pada 1 Ogos 2008, Kerajaan telah mengumumkan bahawa harga runcit petrol sehingga akhir tahun ini akan diselaraskan pada 1 haribulan setiap bulan, dengan penetapan subsidi 30 sen seliter. Namun, formula pelarasan harga pam ini hanya akan dilaksanakan sekiranya harga runcit bagi petrol kurang daripada RM2.70 seliter. Sekiranya harga pasaran bagi petrol melebihi RM2.70 seliter, maka harga akan tetap berada pada RM2.70 seliter.

Lambunau Kembali Bersuara!!

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum, Selamat Sejahtera pada semua saudara dan sahabat pengunjung laman blog ini. Saya meminta maaf kerana telah membuatkan blog ini terbiar selama lebih dua bulan. Bukan kerana kecewa, atau ketandusan idea, tetapi sebagai manusia biasa saya tidak dapat lari dari menghadapi masalah. InsyaAllah blog ini tidak akan terbiar berkubur walaupun saya tidak lagi dapat menulis sekerap waktu dahulu. Alhamdulillah, hari ini saya dapat lagi menulis walaupun mungkin tidak ada sesiapa lagi yang mengunjungi blog ini setelah sekian lama terbiar sepi. Setelah agak lama tidak masuk ke alam siber, menulis di blog ini, membaca tulisan-tulisan di blog-blog sahabat blogger yang lain, saya terasa kerugian yang amat sangat kerana ketinggalan banyak isu untuk di ulas dan tidak dapat memberikan pandangan dan idea saya seperti selalunya..

Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada sahabat blogger yang lain kerana masih meletakkan blog ASAM-Lambunau ini dalam link blog mereka walaupun blog ini telah lama tidak aktif. Nampaknya semakin ramai anak-anak Sabah yang telah membina laman blog sendiri dengan pandangan dan idea masing-masing yang tersendiri. Apa pun pandangan dan luahan, yang pastinya semua mahukan kebaikan dan kemakmuran kepada negeri Sabah yang tercinta, teruskan perjuangan. Tulislah apa sahaja yang anda fikirkan demi kebaikan selagi tidak menggugat keamanan dan perpaduan rakyat Sabah khasnya, dan Malaysia keseluruhannya..


“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia