Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

14 November 2008

PENGUMUMAN

Assalamualaikum.. Selamat Sejahtera.. Saya meminta maaf kepada para pengunjung blog ini kerana buat masa ini tidak ada apa-apa post terbaru yang dapat dipaparkan di blog ini. Bagi yang telah mengikuti blog ini dari ianya bermula pasti tahu bahawa telah beberapa bulan blog ini terbiar. Blog ini tidak akan ditutup tetapi hanya dapat dijenguk sekali-sekala. Oleh itu saya sedang mencari orang yang boleh diharapkan untuk mengendalikan blog ini sementara ketiadaan saya.

28 September 2008

Kenapa Sukar Untuk Mendapatkan Lesen Memandu?

Kali ini saya ingin membawa sebuah topik baru yang sering menjadi pertanyaan kepada diri saya sendiri dan mungkin orang lain juga pernah terfikir perkara ini tetapi jarang diperkatakan di media massa. Saya tidak mempersoalkan kenapa perlu lesen memandu, kalau itu yang dipersoalkan memang tidak wajar kerana umum mengetahui apakah peranan dan fungsi lesen memandu itu sendiri. Apa yang ingin saya persoalkan ialah prosedur dan perbelanjaan untuk mendapatkan lesen memandu yang sah di negara kita. Sebenarnya banyak perkara yang boleh dan perlu dipersoalkan dalam prosedur permohonan mendapatkan lesen memandu. Pertama sekali ialah soal perbelanjaan. Kenapa perlu diwajibkan mendaftar dengan Sekolah/Akademi memandu dan membayar sejumlah amaun yang agak besar bagi mereka yang kurang berkemampuan? Mungkin ada yang akan mengatakan kalau tidak ada duit, tidak ada kenderaan, buat apa ambil lesen, sedangkan lesen memandu adalah merupakan salah satu keperluan untuk hidup pada zaman ini. Terdapat banyak iklan tawaran jawatan kosong yang mensyaratkan pemohon memiliki lesen memandu yang sah.Seolah-olah ada komplot untuk kepentingan kepada pemilik sekolah/akademi memandu agar perniagaan mereka bertambah maju. Saya berpendapat (berdasarkan pengalaman sendiri dan kenalan lain) tidak semua pemandu memerlukan bantuan dari sekolah/akademi untuk belajar memandu kenderaan. Mengenai kelas pemanduan berhemah, bukankah seharusnya ia dilakukan oleh pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan. Saya ada pengalaman mengikuti dua kelas pemanduan berhemah di akademi dan negeri yang berlainan, iaitu di Sabah dan Selangor. Apa yang dapat saya perhatikan, ada perbezaan dalam kedua-duanya walaupun menggunakan modul yang sama dari JPJ. Bayaran untuk mendapatkan lesen memandu juga berbeza-beza antara negeri-negeri di Malaysia, malah antara bandar dalam sebuah negeri yang sama. Kelas/bengkel yang diadakan sekadar melepas batuk di bawah tangga. Hakikatnya, yuran mengikuti kelas lebih utama daripada segalanya. Bagi pemohon lesen, persoalan utama adalah perbelanjaan, mungkin ini bukan isu bagi mereka yang berpendapatan besar atau dari golongan keluarga berada, tetapi bagaimana pula nasib mereka yang kurang berkemampuan. Kebanyakkan mereka yang memohon lesen biasanya adalah terdiri daripada yang sudah mempunyai pengetahuan asas, malah apa yang melucukan walaupun seseorang pemohon itu bekerja sebagai mekanik kenderaan, hukumnya tetap wajib untuk mengikuti kelas yang memperkenalkan kegunaan spanar, pembuka tayar dan pelbagai perkara yang sudah pastinya diketahui oleh mekanik berkenaan. Bukankah mudah andainya kita hanya perlu mendaftar bagi ujian-ujian wajib bagi mendapatkan lesen memandu, dan bagi yang betul-betul tidak mempunyai asas memandu bolehlah melanggani perkhidmatan yang disediakan oleh akademi/kelas memandu. Lebih baik lagi andai pihak berkuasa (JPJ) mengadakan kuliah/ceramah pemanduan berhemah dalam bentuk VCD/DVD kerana ia pastinya lebih seragam, atau menjadikan kelas pemanduan berhemah ini sebagai sebuah subjek wajib di sekolah menengah.

26 September 2008

BPR DIGESA SIASAT PENDEDAHAN DATUK RAYMOND TAN

(Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin merujuk pendedahan Datuk Raymond Tan bekas Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 22 September 2008 mengenai campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya Datuk Seri Yong Teck Lee Presiden SAPP ditahan oleh pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) berikutan keputusan SAPP untuk melancarkan undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri beberapa bulan yang lepas. Pendedahan tersebut, sekiranya didapati benar, pastinya amat mengejutkan rakyat. Ini berikutan sebelum ini Abdullah acapkali menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencampuri sebarang urusan penyiasatan oleh mana-mana badan penguatkuasa negara malah berusaha untuk menjadikan badan-badan tersebut bebas dari sebarang campurtangan pihak pemerintah. Justeru, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dibaca, ratusan laporan rasuah yang pernah dikemukakan oleh AMK dan komponen Pakatan Rakyat lainnya ‘dibakul-sampahkan’ BPR biarpun ia mempunyai bukti dan melibatkan kepentingan rakyat terbanyak. Sebaliknya kes-kes meskipun tidak mempunyai asas, asal saja ianya melibatkan Pakatan Rakyat, BPR akan bertindak sepantas kilat. Pendedahan Raymond ini, sekaligus membuktikan bahawa dakwaan juak-juak Umno-BN bahawa Abdullah komited dan ikhlas memerangi rasuah adalah sesuatu yang tidak masuk dek akal. Ia juga secara tidak langsung membenarkan syak wasangka rakyat Malaysia mengenai campurtangan pihak-pihak tertentu di dalam kes-kes rasuah di negara ini. Sehubungan itu AMK menuntut supaya Abdullah memberikan penjelasan segera mengenai pendedahan Raymond tersebut kerana ianya menimbulkan persoalan yang munasabah mengenai campurtangan Perdana Menteri di dalam kes-kes tertentu. AMK juga menuntut penjelasan yang sewajarnya dari pihak BPR terhadap pendedahan yang dibuat oleh Raymond yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah. Sumber: www.politictoday.com

20 September 2008

Komponen BN wajar contohi SAPP

Oleh: Sahar Abdul Majid Sat | Sep 20, 08 | 9:17:18 am MYT KOTA KINABALU, 20 Sept (Hrkh) - Parti KeADILan Sabah menyifatkan keputusan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar dari Barisan Nasional (BN) satu tindakan berani dan wajar dicontohi oleh parti komponen lain dalam BN. Iklan Ketua Angkatan Muda Keadilan Sabah Abdul Razak Jamil berkata, tindakan yang diambil oleh SAPP itu merupakan tindakan berani menyatakan prinsip perjuangan parti dan ianya wajar dicontohi. Sambil menyambut baik keputusan SAPP itu, Razak yang juga merupakan seorang peguam muda berkata, langkah bijak parti itu telah menyebabkan BN Sabah mula goyah. Menurutnya,walaupun selama ini BN Sabah sering mendakwa parti itu amat kukuh dan sukar untuk digugat oleh mana-mana parti pembangkang, namun suasana politik ketika ini menolak tanggapan itu. "Walaupun BN Sabah menafikannya, namun apa yang berlaku sekarang ini ramai di kalangan ahli BN sama ada yang berjawatan ataupun ahli biasa bakal menyertai Pakatan Rakyat di negeri ini," kata Razak ketika dihubungi semalam. Sehubungan dengan itu, beliau mempelawa SAPP menyertai Pakatan Rakayat kerana dengan gandingan mantap itu, hak bersama dan hak rakyat Sabah dapat diperjuangkan dengan sebaik mungkin yang tidak diperolehi semasa berada dalam BN sebelum ini. Ketika ditanya sama ada Pakatan Rakyat Sabah telah membuat pertemuan dengan parti itu bagi membincangkan halatuju perjuangan rakayat selain mempelawanya menyertai Pakatan Rakyat,beliau berkata,"setakat ini belum ada apa-apa pertemuan yang dirancangkan dan kita menyerahkannya kepada pucuk pimpinan negeri tetang hal ini." Pada 17 September baru-baru ini, perkembangan politik Sabah melakar satu lagi sejarah baru dalam politik tanah air apabila SAPP bertindak keluar daripada BN selepas tidak lagi yakin dengan kepimpinan BN untuk membela rakyat. - Harakahdaily._
16 September
Tanggal 16 September telah pun berlalu, bagi mereka yang menantikan sesuatu peristiwa bersejarah (perubahan tampuk pemerintahan negara) berlaku pada tarikh itu, merasakan ia cuma satu hari biasa yang tidak membawa apa-apa makna.
Bagi saya sebagai Anak Sabah Anak Malaysia, tarikh itu tetap merupakan satu tarikh keramat setiap tahun. Kerajaan berubah atau tidak, siapa pun perdana menteri, 16 September tetap harus diraikan setiap tahun sebagai Hari Malaysia! Harapnya bukan 16 September 2008 sahaja Hari Malaysia diperingati dan dirayakan di Semenanjung seperti yang dilakukan oleh para pendukung Pakatan Rakyat. Semoga ia menjadi acara tahunan yang diraikan di seluruh negara bagi memperingati kelahiran sebuah negara Malaysia yang berdaulat.
Semoga impian melihat perayaan Hari Malaysia yang meriah di seluruh negara akan menjadi kenyataan. Saya berkeyakinan bahawa ia bukanlah impian saya seorang tetapi ia adalah impian seluruh Anak Malaysia yang sedar betapa penting dan bermaknanya tarikh tersebut selain tarikh 31 Ogos.
Politik Sabah
Yong Teck Lee dan SAPP (Parti Maju Sabah) akhirnya telah menunjukkan semangat Malaysia Boleh dengan mengumumkan untuk meninggalkan BN yang semakin rapuh ikatan antara komponennya. Walaupun SAPP tidak menyertai Pakatan Rakyat, yang pastinya BN telah kehilangan dua orang MP di parlimen.
Perbuatan Datuk Yong dan partinya itu walaupun tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari timbalan dan naib presiden SAPP, tetap menjadi tamparan hebat kepada BN, lebih-lebih lagi untuk menghadapi pilihanraya kecil Pensiangan.
Insya Allah, jika ada kelapangan saya akan turun ke Pensiangan bagi melihat secara langsung perjalanan kempen pilihanraya di sana nanti.

“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia