Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

28 April 2009

Akan Adakah Perubahan?

Perlantikan ramai pemimpin politik dari Sabah dalam Kabinet "Satu Malaysia" DS Najib memang dialu-alukan, namun rakyat Sabah belum boleh bergembira sebenarnya. Biarlah ahli keluarga dan rakan-rakan rapat mereka yang terpilih itu bergembira kerana seharusnyalah golongan tersebut meraikannya sejajar dengan amalan nepotisme dan kronisme yang berleluasa dari dulu, kini dan harapnya bukan selamanya.

Kita (anak-anak Sabah) hanya boleh bergembira sekiranya ada perubahan positif yang jelas mengubah lanskap sosio ekonomi Sabah hasil perlantikan mereka ke jawatan yang mereka impikan. Apakah kita mahu berbangga jika perlantikan mereka sekadar untuk kesenangan mereka dan keluarga serta para kroni yang sentiasa laparkan agihan projek?

Apakah kita boleh berbangga jika Ahli Parlimen kawasan kita menjadi menteri tetapi pembangunan fizikal kawasan yang diwakilinya masih tidak berubah, taraf sosio ekonomi penduduk yang memberikan mereka kedudukan yang dijawat sekarang kekal di takuk lama?

Saya menulis bukan dengan perasaan prejudis atau bersikap pesimis. Niat saya sekadar mengingatkan anak-anak sabah agar tidak terlalu mengharap perubahan besar akan berlaku dengan tingginya kedudukan wakil rakyat kita dalam parti atau kabinet Malaysia.

Saya ( juga rakyat Sabah yang lain) mengharap para pemimpin ini telus memperjuangkan hak dan impian rakyat Sabah yang terlalu jauh ketinggalan dengan apa yang dinikmati saudara-saudara kita di Semenanjung Malaysia. Kita tidak minta menara yang besar, tinggi dan gah seperti KLCC, kita tidak minta Litar Formula One, tetapi apa yang kita harapkan KEADILAN LAYANAN DAN PEMULANGAN HAK yang telah lama dirompak di depan mata kita. Cakaplah mengenai royalti minyak, semua rakyat Sabah bersetuju lima peratus itu tidak adil, tidak berbaloi. Terbaru saluran gas asli dari Kimanis (Kawasan yang diwakili Datuk Anifah Hj. Aman, Menteri Luar) yang hasilnya akan dinikmati di Bintulu, kesannya jelas merugikan SABAH dan anak-anak Sabah. Sabah bukan sahaja kerugian hasil bumi (gas) malah kehilangan padang pekerjaan untuk rakyatnya yang sangat ramai memerlukan pekerjaan. Kenapa saya katakan sangat ramai, pada masa ini ramai anak-anak Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia, malah hingga ke luar negara seperti Brunei, Singapura malah hingga ke New Zealand dan Australia.

Lihat pula pembangunan fizikal, seperti saya tuliskan di atas kita tidak minta KLCC, cukuplah dahulu jika jaringan jalan raya yang ada di Sabah ini tidak memalukan sebuah negara yang telah berpuuh tahun mengecapi kemerdekaan. Hanya jaringan perhubungan yang baik sahaja akan mampu membawa pembangunan fizikal dan sosio ekonomi yang lebih baik. Apalah guna berbangga dengan kemajuan bandaraya Kota Kinabalu yang besarnya tidak sam[ai pun lima peratus keluasan negeri Sabah. Apa ertinya bangunan Lapangan terbang yang cantik dan canggih seandainya Hospital sudah hampir roboh, antara dua bangunan itu yang manakah lebih penting kepada rakyat yang pendapatan perkapitanya hanya RM4,868 (statistik yang dikeluarkan pada tahun 2008).

Seandainya para YB yang terpilih menganggotai Kabinet tidak mampu untuk menunaikan harapan di atas, sekurang-kurangnya tunaikanlah permintaan ini; bekalan air bersih dan tenaga elektrik ke seluruh pelusuk negeri Sabah. Inilah hak yang paling asas bagi Negara yang 'teringin' sangat hendak mencapai status Negara maju. Jika perkara ini pun tidak mampu dilakukan, malulah penduduk yang diwakili Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah!! Terlalu lama anak-anak Sabah terpinggir dari arus kemajuan, sekaranglah masanya untuk para pemimpin tersebut menunjukkan bahawa mereka benar-benar berjuang untuk rakyat, bukan berjuang untuk perut anak-isteri dan para kroni.

 

Semoga ada perubahan positif di Sabah Tanahairku...

 

1 comment:

  1. Salam Saudara Lambunau.

    Ya, saya setuju. Bagi penduduk negeri Sabah, bukan bangunan besar, cantik, berkilau-kilau dan tinggi mendongak langit yang diperlukan rakyat biasa. Rakyat biasa yang berpendapatan rendah dan sederhana hanya mampu melihat kemegahan bangunan-bangunan tertentu di KK, yang mengaut keuntungan dan kekayaan ahli-ahli perniagaan dan orang-orang besar saja. Yang penting bagi penduduk Sabah terutama di luar bandar dan pedalaman ialah kemudahan asas seperti jalan raya, air, elektrik, tempat tinggal, bantuan pendidikan dan bantuan untuk meningkatkan taraf hidup. Kita sudah begitu lama menanti dan terpinga-pinga, ke manakah begitu banyak hasil bumi Sabah seperti minyak, kayu balak dan sebagainya? Rakyat juga mahu merasai hasil kekayaan negeri ini supaya mampu terus membangun dan maju seiring dengan penduduk di Semenanjung.

    ReplyDelete


“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia