Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

26 April 2009

Pembangunan Membakut

Sumber Artikel: http://membakut2u.wordpress.com/

Terdapat khabar daripada beberapa sumber yang mengatakan bahawa kawasan Kampung Saga-Saga Pimping akan terus dimajukan sebagai sebuah bandar baru menjelang tahun 2025. Antara usaha yang dicadangkan ialah pembinaan sebuah balai bomba baru dan pembinaan beberapa deret kedai SEDCO. Jika dilihat pembangunan semasa di Saga-Saga, kini terdapat sebuah sekolah menengah, sebuah sekolah rendah dan kediaman guru yang baru dan moden, dianggarkan menelan kos melebihi RM10 juta, Pusat Giat Mara, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Pusat E-Desa dan Pusat Penghasilan Makanan Tradisi Kampung.

 

Pada pendapat saya, Kampung Saga-Saga Pimping lebih sesuai dimajukan sebagai kawasan Kampung Komuniti Bestari bukannya sebagai pekan atau bandar baru. Kampung Saga-Saga seharusnya dikekalkan sebagai kampung tradisi bagi majoriti masyarakat kaum Brunei dengan suasana dan budaya kaum Brunei. Dalam masa yang sama masyarakat di kampung ini dan sekitarnya terus menikmati arus pembangunan dalam bidang pertanian, ekonomi, infrastruktur dan komunikasi seiring dengan kemajuan pesat negara tanpa mengorbankan budaya dan nilai murni yang telah diwarisi sejak turun-temurun.

 

Kita boleh mengambil contoh kejayaan GDW Kampung Bayangan Keningau yang mencipta nama bukan sahaja di peringkat negeri bahkan di peringkat kebangsaan. Semangat muafakat, toleransi, kerja keras dan kerjasama penduduk di kampung cemerlang itu sepatutnya menjadi contoh kepada kita yang tinggal di Membakut ini. Oleh itu, saya berpendapat, adalah wajar bagi pemimpin Membakut, YB Datuk Hj. Ariffin Hj. Arif memberikan sepenuh daya dan tumpuan untuk membesarkan dan memodenkan Pekan Membakut dalam setiap aspek; pentadbiran, pengurusan, ekonomi, infrastruktur dan kemudahan sosial.

 

Pekan Membakut bukan sahaja didiami oleh pelbagai suku kaum seperti Kadazandusun, Brunei, Cina dan Paitan bahkan menjadi tempat persinggahan para pengunjung dari luar daerah. Pekan Membakut perlu mempunyai kemudahan yang lengkap dan memaparkan identiti serta imejnya tersendiri. Misalnya dengan mewujudkan cawangan atau agensi pentadbiran kerajaan pusat dan negeri seperti bangunan hospital baru, balai bomba baru, pejabat polis baru, pejabat pos baru, cawangan Telekom, perpustakaan baru, masjid baru dan sebagainya. Demikian juga halnya dalam bidang ekonomi, peluang pendidikan dan pekerjaan. Bidang-bidang ini perlu diwujudkan dengan lebih banyak di Pekan Membakut untuk memberikan peluang kepada masyarakat di daerah ini meningkatkan taraf ekonomi, taraf pendidikan dan kemahiran.

 

Saya mencadangkan agar peluang perniagaan dan ekonomi dibuka dengan seluas-luasnya kepada masyarakat Membakut menerusi agensi kerajaan seperti SEDCO, FAMA dan MARA. Banyak bidang perniagaan boleh diceburi oleh penduduk tempatan seperti menjual hasil-hasil pertanian, makanan, kraftangan dan sebagainya. Malah bagi skala yang lebih besar dan boleh memberikan manfaat ekonomi jangka panjang kepada penduduk dan daerah, kerajaan boleh mempelawa syarikat-syarikat tempatan atau antarabangsa melabur dengan membina kilang-kilang memproses makanan atau hasil-hasil pertanian, memajukan kawasan-kawasan yang berpotensi untuk pelancongan seperti air terjun dan kawasan pantai, mendirikan restoran makanan segera seperti KFC, MacDonald atau Sugar Bun.

Untuk mewujudkan suasana yang bersih, selesa dan mendamaikan di pekan ini, pihak berkuasa tempatan hendaklah menghiasi pekan ini dengan tanaman bunga-bungaan dan landskap yang indah. Kemudahan awam seperti tandas awam, taman dan tempat duduk awam hendak disediakan dan diuruskan dengan baik.

 

Dalam bidang pendidikan dan kemahiran pula, kerajaan boleh mendirikan cawangan-cawangan institusi pendidikan awam seperti institusi pendidikan cawangan MARA (MRSM atau UiTM), UMS, Institusi Latihan Belia, Institusi Jabatan Tenaga Manusia, Institusi Pertanian, Pusat Latihan Agama, Sekolah Vokasional, Politeknik atau cawangan-cawangan IPT swasta yang boleh memberikan latihan Bahasa Inggeris, ICT dan kemahiran lain dengan kos yang berpatutan kepada anak-anak muda tempatan. Pekan Membakut juga boleh menjadi pusat maklumat, bahasa, sastera dan kebudayaan dengan mewujudkan Pusat Informasi & Kebudayaan Membakut. Masyarakat tempatan dan luar boleh mendapatkan maklumat tentang sejarah, profil dan perkembangan semasa Membakut serta dalam masa yang sama menikmati keindahan bahasa, sastera serta budaya pelbagai kaum yang terdapat di daerah kecil ini. Tidak ada yang mustahil, terpulang kepada kesungguhan dan usaha kita untuk merealisasikan semua cita-cita ini.

 

Pekan Membakut tidak seharusnya menjadi pekan yang sunyi lagi, yang hanya meriah pada hari tamu (hari Rabu dan Ahad) atau pada musim-musim keramaian tertentu sahaja. Pekan Membakut perlu dibangunkan, dibesarkan dan dimodenkan. Dalam masa yang sama penyediaan infrastruktur yang baik dan selesa, seperti kemudahan jalan raya, bekalan air, elektrik dan tempat tinggal tidak sepatutnya tertumpu di sesebuah kawasan sahaja, seperti di kawasan majoriti masyarakat Brunei, tetapi juga perlu adil dan seimbang ke seluruh Daerah Membakut. Kaum lain di Membakut seperti Kadazandusun, Cina, Paitan dan sebagainya juga perlu diberikan peluang menikmati arus pembangunan dan kemajuan yang sama rata untuk mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan kukuh dengan semangat perpaduan. Pembangunan dan kemajuan yang adil dan seimbang juga boleh mengelakkan masyarakat kaum lain daripada terus ketinggalan dalam arus persaingan dan kemajuan negara hari ini.

 

Diharapkan pendapat dan cadangan saya ini mendapat maklum balas yang positif daripada para pemimpin di Membakut. Sebarang usaha untuk membina masa depan Membakut tidak seharusnya dikuasai dan ditentukan oleh individu-individu tertentu yang mempunyai kepentingan kuasa dan politik sahaja. Idea, pendapat dan saranan masyarakat terutama golongan belia juga perlu diambil kira kerana lazimnya golongan belia mempunyai idea dan pemikiran yang sesuai dengan keperluan masyarakat dan perkembangan semasa.

Sila layari LAMAN WEB KOMUNITI MEMBAKUT (http://www.membakut.info) untuk mengikuti perbincangan dalam ruangan Forum tentang hal ini. Terima kasih

No comments:

Post a Comment


“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia