Assalamualaikum, Selamat Datang

Tanpa Sabah, Wujudkah Malaysia?

Paparan dalam blog ini tidak berniat untuk menghasut atau membuat sebarang provokasi melainkan sekadar untuk memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang bentuk penindasan atau diskriminasi terhadap anak-anak Sabah daripada mana-mana pihak.

Anak Sabah Anak Malaysia

"Barangsiapa yang Allah jadikan sebagai pemimpin rakyat, kemudian ia tidak jujur kepada mereka, maka Allah mengharamkan ke atasnya Syurga". (HR Al Bukhari)

30 April 2008

Membaca pelbagai komen pembaca terhadap artikel saya Kisah Dari Sabah yang tersiar di TKO membangkitkan bermacam perasaan, suka, geram, marah, bangga, segalanya berbaur. Namun yang menarik perhatian saya komen balas saudara serol terhadap komen hjmahat. Terima kasih saudara serul (yang mendakwa beliau orang Johor), sikap prihatin anda terhadap orang sabah saya hargai, inilah yang kami perlukan, semangat setiakawan bukannya pengkhianatan. Saya siarkan semula di sini, terpulang kepada anda pembaca menilaikannya.
hjmahat menulis
emnn... dah ramai org sabah masuk.. aku nak tukar pandangan.. aku setuju sabah keluar dari malaysia... memandangkan org2 sabah merasakan dorang adalah bumiputera kelas ke-2.. majulah sabah untuk org sabah.. -satu lagi komen hjmahat yang turut disentuh oleh serol telah saya siarkan sebelum ini
serol menulis
Pandangan yg bongok/ bodoh/ bangang/ bebal!!! Selesai masalah ke kalau buat camtu??? kita dulu punyalah susah perjuangkan penyertaan Sabah/ Sarawak ke dalam Malaysia masa Konfrontasi Malaysia-Indonesia paka aji senang2 nak lepas camtu jer??? Bukan salah anak Sabah yg tuntut keadilan/ kesaksamaan, itu hak mereka, tapi salah BN yg menutup ruang tersebut pada mereka.
..saya pun x pasti pak aji ni benar2 pernah pegi sana ke tak, sampai sesat2 lak tu.... besar benar Kota kinabalu tu yer..... Weeiiii pak aji.... ko buat lawak gaban lah.... saya pergi sana dua kali utk panjat G.Kinabalu.... First time memang harap kawan, selang lima tahun pergi solo pulak... siap drive sorang2 sampai panampang cari supply & gunung kinabalu (dua arah yg berbeza). Turun Gunung saya drive ke Poring x sesat pun.... Dari poring balik KK.... x sesat pun.... Jenguk anak sedara kat UMS x sesat pun.... Drive dalam bandar jgn cakap ler.... X SESAT PUN.....
Pak aji cakap keluasan Sabah susah nak dibangunkan macam selangor. Saya yakin rakyat sabah sarawak tak minta pun bandar2 mereka dimajukan sekelip mata.... apa yg mereka minta cuma biarlah adil.... kalau kat semenanjung ada highway, kat sabah mereka cuma minta jalan yg berkualiti saja, bukan berlubang sana sini yg boleh menjahanamkan kereta.... Kalau kat semenanjung ada sekolah wawasan lah, sekolah integrasilah, sekolah primerlah, mereka cuma minta cukuplah sekadar sekolah yg lengkap kemudahan utk anak2 mereka. kalau kat semenanjung ada masjid kristal, mereka cuma minta memadailah dengan masjid yg boleh memuatkan jemaah setempat... x nak grand2.... cukuplah sekadar mudah utk menunaikan solat jemaah terutamanya jumaat, kalau tak nak kena seberang sungai baru jumpa masjid, tu pun duit sendiri....
PAK AJI.... BESAR SANGATKAH PERMINTAAN MEREKA BERBANDING HARTA YG DIROMPAK DARI MEREKA GENERASI DEMI GENERASI????Pak aji, saya nak tanya satu soalan, kalau sampai sekarang pak aji masih bercawat, tapi org keliling pak aji pakai seluar, pak aji boleh terima ker?? tak tahu lah kalau pak aji memang suka pakai kopiah atas kepala, bawah pakai cawat jer????

Diskriminasi terhadap orang Sabah

Perasaan tidak senang orang sabah bukan pada orang semenanjung secara individu tetapi pada cara dan dasar persekutuan yang berpusat di semenanjung.
Secara peribadi saya nyatakan ramai ahli keluarga saya yang berasal dari semenanjung, saya mempunyai 5 orang abang/kakak ipar orang semenanjung. Kalau kami anti semenanjung, mungkinkah kami kan menerima orang semenanjung menjadi ahli keluarga.
Seperti yang saya nyatakan dalam artikel tersebut, isu siaran tv hanyalah satu daripada isu kecil. Saya belum lagi menulis mengenai keadaan jalanraya, bekalan air dan elektrik di Sabah. Mengapa saya tidak boleh membandingkan dengan negeri yang lebih maju? Dengan kekayaan hasil bumi yang saya yakin lebih daripada negeri lain di semenanjung hatta selangor sendiri pada masa penubuhan Malaysia, mengapa Sabah tetap jauh ketinggalan.
Perasan tidak senang ini timbul akibat terlalu banyak diskriminasi yang dilakukan terhadap negeri Sabah dan anak-anak Sabah. Terlalu banyak perkara yang boleh menjadi contoh untuk menyokong hujah ini.
Perbezaan Elaun Kakitangan Awam
Saya ambil contoh terdekat yang berkaitan dengan bidang saya sendiri untuk lebih jelas lagi. Guru-guru dari semenanjung mendapat durian runtuh apabila ditempatkan bertugas di Sabah. Elaun khas yang diperoleh mereka dijumlahkan dengan gaji pokok sahaja boleh menandingi malah ada yang mengatasi pendapatan guru tempatan (orang Sabah) yang sepuluh tahun lebih senior daripada mereka, walaupun mempunyai kelayakan akademik dan ikhtisas yang sama.
Adakah wajar mereka memperoleh elaun perumahan hingga rm700-rm800 di kawasan pedalaman yang purata kadar sewa rumah hanyalah sekitar rm300-400 (malah ada yang lebih murah sekiranya tahu bergaul dengan orang tempatan) berbanding dengan kami guru berasal dari Sabah yang bertugas di semenanjung (saya dihantar ke sebuah negeri maju yang sekiranya pendapatan RM1500 ke bawah boleh ditafsirkan sebagai miskin) hanya layak mendapat elaun perumahan rm400-rm600. Saya sendiri cuma layak menerima elaun perumahan sebanyak rm450 sahaja, bagi rakan-rakan di kawasan lebih maju seperti Puchong mereka mendapat elaun perumahan cuma rm600 sahaja. Bagi yang masih bujang memang tidak bermasalah kerana boleh berkongsi dengan rakan membayar sewa rumah. Bagaimana pula mereka yang telah berumahtangga?
Rakan-rakan di sini mengatakan kami beruntung mendapat pelbagai faedah kerana bertugas seberang laut, tetapi apakah lebih beruntung berbanding mereka yang dihantar ke Sabah? Di Sabah, dengan sewa rm400 ke atas
Mereka yang berasal dari semenanjung mampu untuk menabung sebahagian daripada pendapatan mereka kerana kos sara hidup lebih murah di Sabah berbanding di semenanjung. Di Sabah yang saudara hjmahat kata boleh sesat di kota kinabalu, tidak ada jalanraya yang bertol. Pergilah sahaja ke mana sahaja tidak ada samseng berlesen ( yang mendapat lesen samseng jalanan dari kerajaan) yang menanti untuk meminta duit kalau kita nak lalu.
Saya masih ingat lagi kata-kata pengarah pelajaran Selangor semasa kami mula-mula tiba di sini, 'elaun tuan-tuan lebih rendah kerana di Sabah kos sara hidupnya tinggi".. itulah jawapan apabila ada yang mempersoalkan kenapa ada perbezaan elaun, seolah-olah tinggal di negeri maju ini lebih rendah kos sara hidupnya.
Melihat dari segi itu pun sudah nyata ketidakadilan terhadap anak-anak Sabah. Itu baru satu contoh yang sebenarnya masih panjang lagi huraiannya tetapi kita perlu beralih kepada contoh lain pula.
Kemajuan Bandar
Selama merdeka, bandar-bandar di Sabah yang dikenali hanyalah Kota Kinabalu, Sandakan, Labuan (kini bukan milik Sabah lagi), dan Tawau. Tempat-tempat lain rasanya belum layak digelar sebagai bandar jika dibandingkan dengan bandar-bandar di semenanjung. Pergilah ke Kudat, Beaufort, Keningau, Tenom, dan banyak lagi, itulah rupa bandar bagi kami orang Sabah.
Tiada apa yang hendak dibanggakan selain daripad keharmonian pelbagai kaum hidup dalam suasana aman tanpa ada puak-puak berasaskan kesukuan. Mungkin itu sebahagian hikmah bandar yang tidak maju, masyarakat lebih saling mengenali, dan kadar jenayah tidak setinggi di negeri maju. Itu sahaja fakta bandar kebanggaan anak Sabah.
Pelaburan/Perindustrian
Sabah boleh dimajukan sebenarnya walaupun tidak semaju negeri-negeri maju di semenanjung. Sekiranya Sabah mempunyai kawasan perindustrian seperti yang ada di semenanjung, ia pasti akan menjejaskan kepesatan industri di semenanjung kerana tenaga buruh yang banyak dan murah serta keluasan kawasan yang berpotensi akan menarik ramai pelabur sedia ada di semenanjung untuk memindahkan pelaburan mereka ke Sabah.
Perladangan
Kebanyakkan ladang-ladang kelapa sawit yang besar dimiliki oleh individu atau syarikat yang berasal dari semenanjung. Pekerja ladang pula lebih ramai pendatang asing. Apakah untungnya kepada anak-anak Sabah? Bukankah itu namanya bumi dipijak milik orang?
Seperti yang pernah didedahkan oleh saudara Abdul Rahman Yakub (bekas calon PKR bagi DUN Klias dalam PRU12) dalam kempen pilihanraya 2004, pegawai-pegawai FELDA di Sabah bukanlah terdiri daripada anak-anak Sabah walaupun FELDA mendapat tanah ladang dari kerajaan Sabah secara percuma. Tidak adakah unsur keraguan dalam perkara tersebut, baiknya hati pemimpin Sabah memberikan tanah secara percuma dengan tidak membawa keuntungan kepada rakyat tempatan.
Pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang berasal dari semenanjung berbahagi tanah di Sabah untuk membuka ladang-ladang kelapa sawit. Salah satu yang terbongkar ialah kes Bekas Ketua Polis Sabah yang dituduh menyalahguna kuasa melawat ladang sawitnya dengan helikopter kerajaa.
Penutup
Pasti ada yang akan mempersoalkan bahawa bukan kerajan persekutuan sahaja yang bertanggungjawab dalam soal pembangunan di Sabah. Ya, saya akui perkara tersebut. Perkara ini terjadi kerana ramainya pemimpin dalam kerajan Sabah yang tidak mempunyai taraf pendidikan yang membanggakan tetapi diangkat sebagai pemimpin oleh kerajaan persekutuan. Tidakkah anda melihat ad agenda tersembunyi disitu?
Pemimpin yang tidak mempunyai asas pendidikan tinggi ini mudah untuk diperbudakkan dan kurang intergriti untuk tetap dalam perjuangan. Perjuangan asal untuk rakyat bertukar menjadi perjuangan untuk diri sendiri.Kerajaan PBS ditumbangkan oleh UMNO kerana adanya pemimpin sebegini.
Saya berdoa dan berharap sekiranya Pakatan Rakyat yang berteraskan keadilan menjadi pemerintah, ruang-ruang diskriminasi ini tidak lagi wujud kerana kita semua adalah rakyat Malaysia. Sekali lagi saya nyatakan, saya bukan anti semenanjung kerana bagi saya kita semua adalah samasama anak Malaysia.
Anak Sabah Anak Malaysia

kata hjmahat

Sungguh sedih saya baca artikel saudara... sedih kerana ada juga perasaan org sabah yang tidak senang dgn malaysia, walaupun sekelumit. Saya bukan lah penyokong kerajaan yang haprak yang ada sekarang ini.. tapi melihat peratusan keluasan sabah berbanding malaysia adalah tidak logik untuk membangunkan sabah seperti negeri2 maju seperti selangor dengan serta merta..
Di malaysia ini bukan sahaja sabah yang tak dapat siaran tv.. kg saya terengganu, pahang, kelantan.. sama sahaja. tapi kami rasa sangat bersyukur dengan malaysia, tiada sekelumit pun terasa nak bersendirian..
Sebenarnya utk bersendirian nampak kita akan senang dan selesa.. tapi hakikatnya mungkin sebaliknya.. contoh terdekat ada dengan kita...
Sabah pada hakikatnya sudah banyak perubahan... perbezaan dalam tahun2 90-an dan sekarang sungguh ketara. Saya boleh sesat di kota kinabalu sekarang.kadang2 terasa untungnya sabah berbanding terengganu ataupun kelantan.
Salah satu masaalah lagi ada org sabah mengangap kami org semenanjung ini nak menakluk sabah, saya tak paham kenapa.
-Komen ini adalah seperti yang tersiar di ruangan komen untuk artikel saya bertajuk Kisah Dari Sabah. Anda boleh membacanya di

29 April 2008

Alahai Sabah Tanah Airku

Membaca berita dari New Sabah Times (28 April 2008) dengan tajuk "Ramai penduduk pedalaman tidak pernah menonton TV" membuatkan saya terpanggil untuk membuat sedikit coretan di blog ini setelah beberapa hari tidak membuat apa-apa posting. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru, malah saya sendiri pernah mengalaminya dan orang tua saya yang masih di kampung kini bergantung kepada perkhidmatan berbayar ASTRO untuk mendapatkan siaran TV yang lebih jelas.
Alangkah malangnya menjadi rakyat di negara yang telah 50 tahun merdeka tetapi tidak dapat mengecapi sedikit nikmat kemerdekaan seperti yang dinikmati oleh orang lain. Kehidupan rakyat asing yang berhijrah mencari rezeki membanjiri tanahair kita mungkin lebih baik daripada mereka. Untuk mendapatkan siaran TV yang sepatutnya percuma, masyarakat pedalaman pula perlu mengeluarkan belanja sekurang-kurangnya RM50 sebulan. Jika hendak meminta kerajaan memberikan subsidi kepada mereka ini pastinya tidak sesuai pula.
Isu siaran TV yang tidak jelas ini hanyalah satu isu kecil daripada pelbagai isu lagi yang membuatkan kita tertanya-tanya apakah mereka yang berada di kawasan pedalaman itu hanya diperlukan ketika pilihanraya sahaja? Mungkin pihak berkuasa melihat mereka ini tidak ada apa-apa sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara, maka seharusnyalah mereka dipinggirkan.
Kerajaan telah lupa ataupun buat-buat lupa bahawa hasil balak dari kawasan pedalaman inilah yang mula-mula menjadi pemacu ekonomi Sabah di awal kemerdekaan dahulu sehingga politik Sabah sentiasa panas kerana menjadi rebutan bukan sahaja di kalangan ahli politik Sabah tetapi juga mereka dari negeri lain yang ingin menumpang semangkuk hasil kekayaan bumi Sabah itu.
Seharusnya pedalaman tidak terpinggir setelah puluhan tahun membekalkan hasil balak yang pastinya mencecah angka bernilai billion ringgit kepada ekonomi negeri dan negara. Situasi ini mengingatkan saya kepada hasrat kerajaan negeri Sabah (pemerintahan PBS) pada tahun 90-an yang ingin memiliki stesen TV sendiri. Mungkin perkara ini perlu ditimbulkan semula.
Itu cuma sekelumit kisah dari negeri di bawah bayu, banyak lagi kisah yang lebih menyedihkan selain cerita tentang tv. Mungkin di lain hari kita boleh berkisah mengenai keadaan jalanraya yang tidak patut digelar jalanraya, kisah sekolah yang daif, dan pelbagai lagi kedaifan yang seharusnya tidak lagi wujud setelah 50 tahun merdeka, apatah lagi kini bercita-cita hendak menuju negara maju.
Seorang teman yang geram dengan keadaan pembangunan tidak seimbang antara Sabah dengan negeri-negeri lain di Malaysia pernah berkata, " Malaysia perlu membuat pilihan untuk menjadi negara maju, pilihan pertama memajukan negeri Sabah sama seperti negeri lain yang maju, atau pilihan kedua, lepaskan sahaja Sabah agar ia tidak menjejaskan status negara maju Malaysia."

Ramai penduduk pedalaman Sabah tidak pernah tonton TV

KENINGAU : Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Sairin Hj Karno berkata,masih ramai rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman tidak pernah menonton televisyen,berikutan kesukaran menerima siaran daripada stesen penyiar.
Katanya,jurang itu berlaku bukan kerana rakyat tidak mampu memiliki set televisyen,tetapi disebabkan sukar untuk menerima ‘siaran’. Sairin berkata,siaran televisyen di sebahagian besar kawasan pedalaman diterima dengan ‘kabur’,atau sama sekali tidak menerima siaran.
"Terdapat rakyat yang langsung tidak berpeluang untuk menonton televisyen,atau tidak pernah menonton siaran RTM,TV3 atau siaran-siaran yang lain,” katanya.
Sehubungan dengan itu,beliau menyarankan kepada kerajaan melalui Kementerian Penerangan Malaysia,agar memberi kelonggaran kepada rakyat di kawasan ini untuk menggunakan parabola,sebagai penerima siaran televisyen.
Katanya,rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman hanya menerima siaran televisyen apabila menggunakan parabola sebagai penerima pemancar atau penerima pemancar Astro.
Sungguhpun begitu katanya,bayaran perkhidmatan Astro yang terlalu tinggi mengakibatkan ramai rakyat yang langsung tidak berpeluang untuk menonton televisyen sepanjang hayatnya.
Beliau turut mencadangkan agar pengendali siaran Astro mengkaji semula bayaran perkhidmatan di kawasan luar bandar,apa yang beliau cadangkan sebagai ‘bayaran perkhidmatan mampu bayar’.
"Terlalu mahal,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Kaamatan dan Kesyukuran Kemenangan Wakil Rakyat bagi peringkat Kg Keritan Laut pada Ahad.
Sairin yang merupakan Wakil Rakyat Liawan berkata,penyaluran dasar-dasar kerajaan melalui program televisyen amat penting,justeru mereka wajar diberi kemudahan agar menerima siaran televisyen itu,sama seperti rakyat yang tinggal di kawasan bandar.
Katanya,ramai rakyat yang berpaling tadah pada pilihan raya yang lalu,disebabkan mereka tidak menerima maklumat yang jelas mengenai dasar-dasar kerajaan.
"Saya benar-benar memandang serius mengenai masalah ini,” katanya.
Sumber- New Sabah Times
28th April, 2008

“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.

Hakikat Satu Malaysia

Hakikat Satu Malaysia