Gempar
Apakah yang lebih menggemparkan buat anak Sabah apabila melihat Warkah Berdarah ini? Perkara-perkara sebegini lah yang mencetuskan idea saya menulis artikel dengan tajuk USNO Harus Bangkit Dari Kubur Untuk Membela Nasib Rakyat Sabah.
Dalam penghujung tulisan saya dengan tajuk yang sama (bahagian 1) saya menyatakan mengenai hilangnya kebebasan anak Sabah dalam mentadbir negeri sendiri.
Kisah Rumah Kami
Bagaimanakah agaknya perasaan anda sekiranya ada orang yang mengaku sahabat datang ke rumah anda kemudian mengatakan anda tidak tahu cara menjaga dan menguruskan rumah anda? Lalu orang yang mengaku sebagai sahabat itu tadi meminta kita menyerahkan kuasa sebagai ketua rumah supaya mudah pula dia mengemas dan mengurus rumah itu. Apabila kita masuk kembali, dengan rumah yang sudah dikatakan dikemas, kita tidak lagi dibenarkan melakukan apa sahaja sesuka hati seperti sebelum rumah kita dikemaskan. Mungkin ianya positif bagi tabiat atau kelakuan kita yang tidak baik yang mencemarkan keadan dalam rumah. Apakah waras kita dengan penghuni seramai lima orang contohnya, tetapi hanya dibenarkan memasak makanan hanya untuk kurang dari dua orang, walaupun bekalan makanan sebenarnya cukup untuk sepuluh orang lagi. Tetapi kerana kita hanya mengikut nasihat sahabat yang datang 'membantu' menguruskan rumah, cukup atau tidak kita tidak boleh lagi membantah. Tetapi sekiranya segala urusan dalam rumah kita sendiri tidak boleh kita lakukan tanpa persetujuan 'sahabat' itu, apakah ertinya rumah itu dikatakan rumah kita? Takkan hendak masak pun kena dapat persetujuan si sahabat? Cukuplah nasihat 'sahabat' mengenai bagaimana nak menghias rumah agar cantik, penghuni dapat duduk dengan 'sejahtera, aman, dan makmur'..
Secara peribadi, keadaan rumah kita adalah terpulang kepada kita untuk menguruskannya selagi keadaan rumah tersebut tidak mengganggu jiran dan sahabat. Tidak ada pergaduhan yang merunsingkan, tiada penghuni yang kebuluran. Sesekali memang kita perlu nasihat orang lain dari luar rumah. Sesekali apabila perlukan nasihat untuk sesuatu permasalahan kita undang sahabat untuk bertandang, mungkin masa itu lebih sesuai kita berbicara dengan sopan meminta pandangan. Tetapi menjemput sahabat itu untuk berkuasa dan menentukan siapakah ketua rumah, apakah yang boleh dan tidak boleh, memang satu tindakan kurang waras. Itulah kisah rumah kami yang bernama Sabah.
Semua itu sekadar kiasan kepada apa yang berlaku kepada negeri Sabah dengan kehadiran UMNO yang menguasai Kerajaan BN di Sabah. Saya tahu pembaca sekalian mempunyai minda yang mampu memahami kiasan tersebut dengan jelas.
Kerajaan BN-UMNO di Sabah, lebih-lebih lagi setelah ditiadakan penggiliran jawatan Ketua Menteri, dikuasai oleh orang Sabah yang tidak lagi berjiwa Sabah. Jika mereka berjiwa Sabah, mereka seharusnya faham dan jelas apakah yang benar-benar diperlukan oleh Sabah dan rakyatnya. Setiap tahun ke perhimpunan Agung UMNO di PWTC, apakah mereka tidak sedar akan jurang perbezaan pembangunan fizikal antara semenanjung Malaysia dengan Sabah? Tidakkah mereka merasa sedikit pun keinginan untuk melakukan sesuatu yang mampu menjana pembangunan sebegitu. Sekiranya ada kalangan mereka yang terbaca tulisan ini pastinya mereka mengatakan yang sebaliknya, maka keluarlah Koridor Pembangunan Sabah kononnya untuk menjana pembangunan, Sabah lebih membangun berbanding sebelum BN mengambilalih kuasa pemerintahan negeri.
Kenapa USNO perlu bangkit?
Pada dasarnya kebanyakan pemimpin UMNO di Sabah adalah bekas pemimpin USNO. Tetapi ramai yang telah alpa dan leka, terlupa dengan perjuangan asal semasa meninggalkan perahu kecil USNO untuk menyertai kapal besar dan mewah UMNO. Di awal pentadbiran UMNO BN di Sabah, taring UMNO belum berapa kelihatan kerana masih ada PBS. Tetapi apabila PBS kembali ke pangkuan BN, SABAH ADALAH UMNO, UMNO ADALAH SABAH. Manakala seorang demi seorang pejuang asal USNO tersingkir dan terpinggir. Mungkin ada yang terlupa atau langsung tidak mengetahui bahawa pengasas dan pemimpin agung USNO yang juga merupakan Bapa Kemerdekaan Sabah telah meninggal dunia bukan dalam Parti Barisan Nasional, tetapi meninggal dunia dalam barisan pembangkang pada masa itu yang dikenali sebagai PBS+(plus). Kenapakah beliau meninggalkan UMNO yang beliau sendiri membawanya ke Sabah? Pastinya ada 'sesuatu' yang daya sendiri tidak dapat huraikan disini.
Seperti yang dikatakan oleh dikyang dalam komennya terhadap artikel saya terdahulu menyatakan bahawa "minda politik orang-orang di sabah berbeza dgn mereka di semenanjung. Mereka hanya akan 'berubah' parti sekiranya ada parti 'sabah' yg khusus utk memperjuangkan nasib atau hak orang2 di sabah. walaupun PKR da cukup baik di sabah tapi bagi orang2 sabah, mereka lebih suka sekiranya ada parti seperti USNO / BERJAYA yg boleh mereka percayai utk berjuang demi hak mereka sebagai peribumi sabah. sebab itu kalau kita lihat ramai calon2 bebas tdk menang di sabah kerana bagi mereka calon2 bebas tdk mempunyai pendirian / haluan yg tepat... seperti apa yg berlaku kepada calon bebas di Kuala Penyu, Sabah, pada saat2 akhir pilihanraya ke-12 menyerahkan ADUN Kuala Penyu kpd parti BN.Orang2 Sabah kecewa dgn keadaan seperti ini... mereka amat berharap ada parti 'Sabah' yg benar-benar memperjuangkan hak mereka...
USNO diperlukan bagi menyatupadukan seluruh rakyat Sabah agar bergabung dalam satu kesatuan yang kuat agar suara rakyat Sabah didengar oleh pemimpin persekutuan.. Bukan tidak mahukan kehadiran Parti Keadilan Rakyat (PKR), bukan tidak percayakan mereka. USNO adalah satu legenda kepada rakyat Sabah yang mempunyai kesedaran siasah.
Dari segi rasionalnya, menyertai PKR ada sedikit persamaan dengan menyertai UMNO seperti pada masa sekarang. Apabila tiba saat perhimpunan atau mesyuarat agung, maka berbondong-bondonglah rakyat Sabah menaiki kapal terbang untuk ke semenanjung tentunya. Secara tidak langsung inilah antara punca berlakunya rasuah politik yang istilahnya dalam UMNO 'Politik Wang'.
Pada masa ini pemimpin-pemimpin bekas USNO telah menubuhkan sebuah kelab yang di kenali sebagai Ex-USNO. Mereka telah berjaya mengumpulkan ramai bekas ahli USNO dan mendapat sambutan yang positif daripada mereka. Dengan diketuai oleh Datu Badaruddin Bin Tun Datu Mustapha, saya secara peribadi berharap beliau akan mendaftarkan semula USNO sebagai sebuah pertubuhan politik (parti) yang boleh bertanding dalam pilihanraya. Sungguhpun mungkin tidak mampu membentuk kerajaan, namun pasti ada kerusi yang mampu dimiliki USNO yang akan pastinya menjadi suara sebenar rakyat Sabah. USNO telah 'mati dari segi pendaftaran pertubuhan tetapi TIDAK PERNAH MATI DALAM HATI PEJUANG-PEJUANG DAN PENYOKONGNYA. Ingatlah akan slogan USNO ini, BERJUANG TERUS BERJUANG!
Sia sokong USNO dihidupkan untuk Rakyat Sabah.. Kenapa teda orang komen ini blog.. ok la ni untuk blogger baru..
ReplyDeleteHidupkan semula United Sabah National Organisation (USNO). UMNO tidak sepatutnya ada di Sabah. Hanya presiden parti yang berasal dari tempat kita yang layak dan akan berusaha bersungguh-sungguh menegakkan hak kita di Sabah..
ReplyDeleteSayang sekali PBS sudah hilang taring, SAPP dituduh bermuka-muka, BERJAYA tidak cukup dana berkempen, USNO digantikan dengan UMNO... LDP tak mendapat sokongan bukan Cina...
PAS,Kedailan,DAP bukan berteraskan kepada Sabah.... Siapa yang kita harapkan lagi? Pemimpin Sabah yang benar-benar sayangkan Sabah perlu membuka mata dan wujudkan semula SATU PARTI berteraskan Sabah.. Bukan semangat kenegerian, tetapi hakikatnya Sabah JUARA dalam semua yang buruk di antara 13 negeri dalam Malaysia kecuali AIDS dan Penagih Dadah.... Oleh itu, Sangat perlu diwujudkan parti berteraskan Sabah iaitu USNO.. Kalau PBS itu seperti naga atau harimau yang sedang tidur... TOLONGLAH BANGUN!!!!!