Dulu saya salah seorang anak kapal itu, betapa bangga dan megahnya menjadi anak kapal yang dikatakan sebagai antara kapal lanun terkaya di dunia, walaupun saya sekadar pencuci lantai sahaja di kapal yang mengamalkan kronisme dan nepotisme. Memanglah kaya, inilah kapal lanun terbesar di samudera indah bernama Malaysia. Semua lanun perlu membayar ufti kepadanya, nelayan pun harus bayar ufti, anak kapal yang berkoyan-koyan itu pun perlu bayar ufti.
Kapal hebat bernama UMNO itu adalah kepala kepada armada lanun bergelar Barisan Nasional, banyaknya kapal yang bergabung dalam armada ini ditunjangi olah kapal-kapal bernama MCA, MIC, Gerakan, SAPP, dan banyak lagi.
Kapal asal dengan nama serupa yang dibina pada 11 Mei 1946 telah tenggelam kerana terlanggar bongkah ais akibat kekalutan pelayaran semasa perebutan kuasa pihak yang hendak menjadi juragan kapal. Tetapi juragan yang menang pada masa itu masih sempat memindahkan segala harta rampasan perang dan peti-peti hasil ufti dari kapal lama ke kapal baru yang didakwa lebih kukuh dan terjamin. Juragan membuat undang-undang baru untuk memastikan tidak sewenang-wenangnya anak kapal mencabar kedudukannya. Bukan sedikit anak kapal yang terkorban dibuang ke laut untuk menjadi makanan jerung lapar.
Sungguhpun baru dan besar, tidak semua anak kapal yang lama mahu ikut belayar dengan kapal baru itu kerana juragan yang kalah telah mengambil sisa-sisa kayu dari kapal yang lama lalu membina sebuah kapal yang dinamakan Semangat46. Ramai juga anak-anak kapal yang berkedudukan tinggi dan tidak tinggi semasa di kapal lama menyertai pelayaran kapal baru dengan semangat lama ini. Sudah tentu harapan mereka untuk menjuarai samudera yang kaya dengan pelbagai hasil mahsul anugerah Allah.
Malangnya, pelayaran dan perjuangan Semangat 46 tidak lama. Dalam beberapa pertempuran dengan kapal lanun UMNO baru, kapal Semangat46 semakin tidak bersemangat. Senjata biologi/psikologi dengan nama klasiknya 'perpaduan melayu' yang digunakan pimpinan kapal UMNO baru akhirnya berjaya membuatkan juragan kapal semangat 46 mengajak anak-anak kapalnya meninggalkan Semangat 46. Maka reput dan tenggelamlah sebuah lagi kapal yang bernama semangat tapi telah hilang semangatnya. Lama-kelamaan perkataan baru yang ada pada Kapal UMNO itu pun luputlah jua kerana tiada lagi kapal lain yang mahu menggunakan nama UMNO itu, dikenalilah ia sebagai UMNO sahaja.
Di suatu masa yang lain pula Kapal UMNO ini telah menghantar wakilnya ke sebuah tempat di utara Pulau Borneo kononnya untuk membantu sebuah kapal bernama USNO yang sedang bertempur hebat dalam perang saudara dengan Kapal PBS yang juga seteru ketat yang dianggap pengkhianat kepada Barisan Nasional. Dalam kekalutan perjuangan yang sukar mendapatkan kemenangan menentang PBS, juragan dan anak-anak kapal USNO dipelawa untuk menjadi anak kapal di sebuah kapal yang besar dan hebat iaitu UMNO. Dengan tawaran persenjataan yang moden dan dana peperangan hebat yang ditawarkan UMNO, maka juragan tua Kapal USNO pun terpedaya lalu mengajak seluruh anak kapal USNO menyertainya meninggalkan Kapal USNO yang telah banyak berjasa.
Apabila juragan tua Kapal USNO telah naik ke kapal UMNO dan menenggelamkan sendiri kapalnya itu, barulah ia sedar akan tipu daya dan muslihat orang-orang dari Kapal UMNO ini sebenarnya hendak menguasai samudera Borneo Utara yang lebih besar kekayaan hasil mahsulnya. Namun nasi sudah menjadi bubur, kapal lama yang dibina dengan tangannya sendiri telah pun tenggelam. Demi memperjuangkan nasib warisan anak kapal USNO, juragan tua lebih sanggup untuk berkerjasama dengan musuh lamanya di Kapal PBS. Baginya biarpun PBS itu pernah menjadi seteru, tapi ia masih lagi saudara dekat berbanding sahabat dari jauh yang tidak ikhlas membantu dan mempunyai agenda tersirat. Ditakdirkan olah Yang Maha Kuasa maka juragan tua pun menghembuskan nafas akhirnya di atas Kapal PBS yang pernah diperanginya.
Dengan segala strategi dan muslihat licik yang disokong dana peperangan yang besar, bekas anak-anak kapal USNO yang kini menjadi anak kapal UMNO pun dapatlah menawan samudera yang dikuasai PBS.
Dipendekkan cerita, terbinalah sebuah kapal dinamakan UMNO Sabah yang merupakan gabungan anak-anak kapal dari USNO dan pengkhianat dari Kapal PBS. Tiadalah lagi mereka ingat akan perjuangan asal mereka kerana asyiknya berada di kapal mewah walaupun tidak semewah kapal induk UMNO. Juragan bersilih ganti tetapi semuanya asyik dengan pelbagai kesukaan peribadi. Terpinggirlah anak-anak kapal USNO yang dianggap tidak layak berada dalam kapal mewah UMNO Sabah, tiadalah mereka ini dianggap berjasa melainkan sekadar meramaikan jumlah anak kapal sahaja.
Khabarnya, anak-anak kapal dan waris juragan tua dari Kapal lama USNO kini sedang berusaha membina semula kapal baru dengan semangat kapal lama USNO. Semua bekas anak-anak kapal yang pernah berjuang dengan Kapal USNO akan dihimpunkan untuk membina semula kapal USNO sebagai menjaga amanat dan maruah juragan tua yang telah dikhianati. Malangnya lanun besar bernama UMNO tidak akan membiarkan perkara itu terjadi. Kini himpunan bekas anak kapal USNO dan waris juragan tua hanya dibenarkan membina kapal pesiaran yang tidak mempunyai senjata untuk bertempur dan terpaksa mengakui ketuanan UMNO di samudera Borneo Utara. Berterusanlah penguasaan Armada BN seluruhnya.
Namun, semilir indah yang membuai rasa tiba-tiba bertukar menjadi badai menghempas jiwa. Itulah lah yang berlaku pada 8 Mac 2008. Kemunculan sebuah armada kapal perang yang lebih hebat, lebih besar, gagah merentas segara Malaysia dengan gelar Pakatan Rakyat yang menjanjikan keamanan dan keadilan untuk semua telah mencabar dan menggegar tampuk kekuasaan armada Barisan nasional selama 50 tahun. Muncul bersama kehadiran Armada Pakatan Rakyat ini ialah bencana tsunami yang menenggelamkan beberapa orang juragan dan kapal dari armada Barisan Nasional.
Apakah Kapal Pesiaran USNO itu akan cuba mencari suaka dari Armada Pakatan Rakyat demi kelangsungan perjuangan, hanya masa yang menentukan dan persoalannya adakah Pakatan Rakyat memerlukan kapal tempatan untuk menawan kubu kuat yang dikuasai kapal-kapal lanun Barisan Nasional.
Kekalahan kapal lain dalam armada Barisan Nasional ini juga mengakibatkan kapal besar bernama UMNO, dilanda wabak kekalutan, kecelaruan dan kekusutan yang menghantui pemikiran dari juragan hinggalah kepada anak kapal yang hina kedudukannya. Sungguhpun mereka tidak kalah, tetapi melihat kapal lain yang tenggelam mereka menjadi tidak menentu, saling menyalahkan antara satu sama lain.
Mujurlah saya sempat meninggalkan Kapal UMNO selepas juragan tua UMNO menyerahkan kuasa pemerintahan kepada juragan baru yang suka tidur dan membiarkan anak menantunya mengawal kekuasaan armadanya memerintah segara luas malaysia.
Sebagai seorang bekas anak kapal UMNO yang masih hidup dan kini bebas sebagai nelayan tetapi dianggap lanun kecil di lautan siber merasakan sudah sampai masanya kapal UMNO di hantar ke Muzium Negara untuk bergandingan di ruang pameran dengan replika rakan-rakan lamanya iaitu Kapal UMNO yang dibina pada tahun 1946, Kapal Melayu Semangat 46, dan Kapal USNO yang telah lama tenggelam. Muzium negara sepatutnya menyediakan satu ruang khas untuk mempamerkan kapal-kapal lama yang telah dan akan tenggelam itu.
Nantikan nukilan saya yang akan datang mengenai pengkisahan bagaimana munculnya armada Pakatan Rakyat dan kaitannya dengan kekalahan Armada Barisan Nasional yang gagah berkuasa selama 50 tahun.
No comments:
Post a Comment